Thursday, December 13, 2012

Secawan moka dan hati penuh cinta

Jika dunia adalah syurga, untuk apa berpenat-penat ke sana?



Alangkah
Aku teringin sekali bersandar di dinding kaca
Berbirai kristal
Saat hujan luruh
dan aku 
dengan secawan moka, sebatang pen dan hati penuh cinta
dan buku, dan buku...

Sesaat itu potret Khaled Meshal di sudut meja
Membuat aku terjaga
Alangkah janji Tuhan lebih
Membahagia!

ps: apabila aku hilang kosa kata, baru ku sedar sudah beralih bahasa ;)

Catatan Gaza Arinah



Arinah baru pulang daripada perkongsian Misi Solidarity Gaza anjuran Aman Palestin. Terpujuk hati yang dibalut cemburu. Sedikit keletihan setelah 9 jam di Sekolah Perubatan Kasr Al-Ainy, ditambah 2 jam bertalaqi kita Fiqh Sunnah di Masjid Cahaya. Arinah meneguk air kosong. Matanya sedikit sembap dek tangisan yang tertahan-tahan merindui tanah Al-Aqsa. Ditatap gambar Khaled Meshal yang sedang sujud syukur sesaat menjejakkan kaki di bumi yang diperjuangkan walau dalam buangan. Arinah menulis di tepi gambar itu: Tanah tidak menyucikan kita. Sebuah tajuk daripada buku Muntolaq, silsilah fiqh dakwah karangan Ahmad Ar-rasyid.

Malam semakin larut. Arinah menyanyi kecil lagu, Intifadhoh Bersinar seraya merenung ole-ole daripada perkongsian tadi. Catatan yang ditulis dengan pena air mata.

1. Wartawan penyiaran TV3 Helmi Yusuf: Usia beliau hanya 25 tahun. Telah ke Ghaza bukan sekadar untuk berjalan-jalan atau untuk ambil roh jihad untuk diri sendiri, tetapi juga menghidupkan roh jihad masyarakat Malaysia terutamanya. Apa sahaja latar belakang dan siapa pun beliau, yang paling mengesani saya adalah ciri 'mutamaiyiz' (cemerlang dalam kerjanya, terserlah kesungguhan dan cita-cita)  yang ada pada beliau menyebabkan beliau terpilih untuk memikul amanah itu instead of senior-senior tv3 yang lain.
Nina terkenang hadis ini :
"Manusia itu umpama logam. Sebaik-baik mereka ketika Jahiliyyah adalah sebaik-baik mereka ketika Islam, jika mereka faham (tentang deen)"
(Bukhari)
Nina tidak maksudkan isu jahiliyyah itu, tetapi sifat mutamaiyyiz (istimewa, tersendiri) itu. Sayyidina Umar mutamayyiz pada kepintaran dan keberaniannya, antara sebab Rasulullah SAW berdoa akan keislamanya. Sayyidina Abu Bakr mutamayyiz pada kelebihan mengenali suku-suku Arab, luasnya pergaulan, kaya, berakhlak mulia, antara sebab menjadi antara sahabat pertama yang diseru Islam kepadanya.
Harus kita sebagai pemuda yang faham kewajipan memikul risalah ini, menjadi mutamayyizah. Cari bahagian sendi yang mana yang mampu kita sedekahkan pada agama ini. Jangan terlalu merendah diri dan pesimis (mudah berputus-asa). Kita cari kelebihan-kelebihan diri yang mampu kita sumbangkan secara optimum dan konsisten untuk agama ini.
 Menulis? Bercakap? Memasak? Melukis? Merawat? Mendengar?
Nina terkenang hadis ini: "Setiap sendi anak Adam, ke atasnya sedekah..."
Apa mutamayyiz Nina?

2. Ah, Nina rasa tak keruan! Kenapa sejak akhir-akhir ini Nina mudah sekali tersentuh dengan perkataan syahadah? Nina akan tamat belajar 2014, dan akan dapat sijil perubatan atau dengan erti lain Nina akan graduate. Sijil dalam bahasa arab disebut syahadah. Setelah berhempas-pulas selama enam tahun, memastikan keseimbangan hidup terjaga, akhirnya Nina akan dapat syahadah perubatan itu. Namun, apa sangatlah dibandingkan jika Nina berhempas-pulas untuk agama ini, dan Allah kurniakan syahadah? Alangkah! Telah pun berlalau lima tahun, sejak Nina 'Islam' kembali. Harus Nina apakan agar Allah sudi beri Nina syahadah di sisiNya? T__T

"Jangan disangka mereka yang syahid itu mati, bahkan mereka hidup dan di sisi Tuhan, mereka mendapat rezeki"

3. Briged Al-qassam, tahajudnya setiap malam, puasa Isnin dan Khamis. Nina terkenang Muhannad Tohir, beliau pun begitu. Nina harus mendisiplinkan kembali diri. Walau mungkin Nina tidak dapat menjadi sebahagian daripada mereka secara zahir, tetapi Nina insyaAllah menjadi ibu kepada insan-insan seperti mereka. Yeah! ....nampaknya Nina harus belajar bersabar ditinggal-tinggalkan ;)

4. Penduduk Ghaza melayan semua seperti saudara. Semua! Kisah itu, kisah ini. Bukankah itu sosok daie sejati? Nina terbayangkan wajah-wajah yang Nina sayang. Mereka-mereka disekeliling Nina. Nina perlu baiki sensitiviti untuk melayan semua orang seperti keluarga. Rangkulan hangat, senyuman manis, tidak berkira dan ya, Nina harus beri perhatian dan pandangan apabila bercakap dengan mereka! ;) Seperti mereka di Ghaza, berukhwah ikhlas tanpa minta dibalas. Mungkin orang akan pandang Nina pelik dan cuba ambil kesempatan. Biarlah. Nina akan buktikan tiada yang pelik dalam menghidupkan agama ini.

5. Ketika sambutan ulang-tahun 25 HAMAS, setelah nakbah pertama pada 1987, ada juga bendera Fatah yang berkibar ditengah-tengah hijau bendera HAMAS. Dan segelintir warga Ghaza adalah orang-orang Fatah, Saraya Al-Quds, namun mereka bersepakat untuk tidak tanazul (berkompromi) dalam mempertahankan tanah umat Islam itu. Nampaknya Fatah sudi menundukkan ego secara terhormat demi agama ini. Nina fikir, Fatah akan selamanya menjadi duri dalam daging namun, Allah telah buka jalan. Apa yang penting, berkerjalah! Satu demi satu pintu kemenangan akan terbuka.
 
6. Umat ini masih ada harapan...Masih! Nina dah tak larat...

Arinah lantas mengepil catatan itu di fail Palestin di blognya. Selamat malam, selamat tidur, selamat memulakan perjalanan jihad baru! Esok akan dicetak sehelai gambar Khaled Mashal buat pembakar semangat!



ps: Selamat mengenali Muhannad Tohir

Monday, November 26, 2012

Air mata dan syurga



Setelah beberap ketika, lalu air mata gugur akhirnya.

"Moga halangan-halangan kecil, tak meregut syurga daripada kita."

Cita-cita tak akan terpadam selagi cinta masih menyala.

Al-Quds: Labbaikallah

"Labbaikallah!" =)



Adib hangat sekali mendengar ucap tama Barrack Obama ketika lawatannya ke Thailand,
“Amerika Syarikat sepenuhnya menyokong tindakan penceroboh Israel, atas alasan mempertahankan diri sendiri.”
“Hangat, hangat!”
“Apa yang hangat? Suhu dah mencecah 26 darjah Celcius,” sahut Faris.
“Presiden US yang seorang itulah. Ilmu logik mana yang dipakainya sampai boleh jadi presiden US untuk penggal kedua? Logik sangatlah kalau Israel pertahankan diri dengan bunuh anak-anak. Tak faham, tak faham….”
“Logik ilmu penjajahlah Adib. Logik sekali untuk mereka,” balas Faris.
“Patut kita bom sahaja syaitan dua beradik itu,” Adib mengepal-ngepal penumbuknya.
Haziq tiba daripada belakang menatang dulang berisi teh susu panas dan keledek goreng.
“Mampu?” tanya Haziq.
Adib menggeleng-geleng kepala. Umat Islam masih ketinggalan di sudut ketenteraan. Sejata nuklear buatan Iran mungkin sedikit melegakan namun krisis syiah dan polisi Iran dengan Gaza yang di bawah pimpinan HAMAS masih tidak dapat dipastikan.
“Semalam tengok video Dr. Raghib Sarjani. Dikisahkan kata-kata seorang Yahudi, jika saf umat Islam ketika solat subuh berjemaah menyamai solat jumaat, Israel akan tumbang. Isunya bukan pada bilangan saf solat. Isunya pada jiwa-jiwa yang sanggup tinggalkan gebar dan selimut untuk solat. Tinggalkan nikmat tidur untuk sesuatu yang sangat lazat. Menghadap Allah,” kata Haziq. Tangannya menuang teh susu yang masih berwap ke dalam tiga mug.
“Firman Allah dalam Al-Muzammil, wahai orang-orang yang berselimut. Bangunlah untuk solat pada malam hari kecuali sebahagian kecil.”
“Sedikit sahaja yang menyahut seru bangun solat ini. Sebab susah nak putuskan mimpi-mimpi yang indah. Apatah lagi musim sejuk.”
Faris dan Adib terus memasang telinga.
“Kita memang berharap, akhirnya kita mampu berdepan secara langsung dengan mereka. Tidaklah selamanya berhutang maruah pada HAMAS sahaja sebagai frontliners. Nak juga wakil-wakil daripada negara umat Islam yang lain. Namun, dalam tempoh ini, kitalah yang harus menjadi dan mencari siapa calon-calon syuhada al-muntazhir[1]. Hingga akhirnya masyarakat disekeliling kita adalah orang-orang yang jika di seru mempertahankan agama, jawabnya Labbaikallah[2]! Ubah diri, ubah jiwa sebab Allah tak akan ubah nasib umat kita ini selagi umat ini tak ubah jiwa mereka. Jiwa saya, Abang Faris dan Adib. Biar kita jadi sekental saudara frontliners kita di Gaza.”
Jeda. Tiba-tiba…
“Jangan subuh gajahlah!” usik Faris.
“Woi!” Adib baling bantal, Faris mengelak. Adib mengangguk kepala seraya menghirup teh susu panas.
Pecah tawa.
***
‘Daripada mukmin yang ramai itu, ada rijal yang telah membenarkan perjanjiannya dengan Allah. Dan dalam kalangan mereka ada yang telah gugur dan ada dalam kalangan mereka yang masih menunggu. Dan mereka sedikit pun tak akan menukar janji itu.’
Haziq menghabiskan ayat ke 23 daripada surah Al-Ahzab seraya memejam mata dan mengerut-ngerut dahi.
‘Andai di belakang aku ini F-16 buatan US itu, aku akan mara atau mengerekot ketakutan?’ akalnya mula bicara.
F-16 yang mungkin sekali sumbangan umat dunia kepada Israel melalui agen-agen ekonominya tanpa malu meratah tubuh kecil di pinggir Gaza. Agen makanan segera, rokok, minuman berkabonat. Semua itukan hasil sumbangan umat ini? Ironi sekali. Minum Coca-Cola sambil memakai butang di baju bertulis,
‘Kita akan solat di Al-Quds tidak lama lagi’.
Haziq menggeleng-gelengkan kepala. Dia tutup quran terjemahan lusuh itu. Quran terjemahan yang diangkut kemana-mana sejak kaki menjejak ke bumi Nil ini. Musim sejuk sudah tiba. Mentari segan-segan memunculkan diri. Malam panjang. Sebentar lagi azan subuh bakal berkumandang. Haziq pantas mengejutkan teman sebiliknya Faris.
“Abang, bangun perang!” usiknya dalam mamai Faris.
Faris sekadar tersenyum sambil menggosok-gosokkan mata lalu beredar ke tandas. Lampu di depan sudah cerah. Adib sedang menghabiskan muka surat ketiga daripada surah Al-Kahfi. Pernah katanya,
“Aku ini pemuda kahfi. Tak gentar walau siapa jua.”
Adib bangun awal hari ini. Haziq melemparkan senyuman pada Adib.
“Tahniah!”
Adib sengih.
“Pemuda Kahfi sambut seruan jihad!” balasnya.
“Tak akan pemuda Kahfi kalah dengan gebar dan bantal,” balas Haziq.
Pintu rumah dikunci.
Hayya ‘ala solah, hayya ‘alal falah
Labbaikallah[2]!

[1] Syuhada al-muntazhir: Syuhada menanti
[2] Labbaikallah: Aku sahut ya Allah

http://ismamesir.com/v2/2012/11/al-quds-labbaikallah/

Tuesday, November 20, 2012

Kerana itu, aku bersyukur



"Malamnya bagai rahib merintih sayu, 
Dihiris dosa air mata,
Siangnya bagaikan singa di rimba,
Memerah keringat meluah tenaga"

~sunnah berjuang

10 tahun lalu, saya asyik sekali melayan lagu-lagu dakwah Nada Murni. Antara percaya dan tidak akan kewujudan figura-figura mujahid dalam lagu-lagu itu tetapi sungguh, saya asyik.

Perlahan-lahan saya menjejak jalan. Tatkala mendengar tentang perjuangan Ikhwanul Muslimin ketika sekolah menengah yang saya kurang periksa daripada mana, akal saya beberapa kali mendetikkan persoalan-persoalan tentang mereka dan apa yang mereka bawa, namun akhirnya berlalu tanpa jawapan.

Saya ingat sekali saat menelaah tentang Imam Hassan Al-Banna dalam buku Pendidikan Quran dan Sunnah tingkatan lima, saya khusyuk memberi tumpuan. Buat kesekian kalinya hati saya berkata, siapa dia?

Saya dihadiahkan helaian Sekuntum Mawar Berduri, tulisan Fatimah Syarha oleh seorang guru pelatih Fizik. Saya dibalut cemburu pada watak-watak yang punya masul yang berkongsi rahsia hidup, perjuangan. Rabitah usrah yang utuh. Saya tak punya itu ketika bersekolah. Hingga saya takjub saat itu, hal cinta pun dibawa ke halaqah dan dibincangkan dengan penuh matang. Saya fikir itu hanya angan-angan, kalaulah!

Saat cuti menanti keputusan SPM, saya disarankan kawan baik saya Umairah untuk membaca buku Tautan Hati tulisan Fatimah Syarha. Seusai itu, saya mengagumi sosok Asiah Yusro yang giat pergi bilik ke bilik di mahallah UIAM untuk menawarkan halaqah membina iman. Ditolak, dihambur kata-kata kesat. Baru kini saya mengerti mengapa segigih itu dia mencintai manusia-manusia disekelilingnya. Menyampaikan dakwah secara fardi, kepada seorang demi seorang.

Semua itu dulu. Lafaz syukur yang tak mungkin akan setimpal dengan nikmat yang dikurnia. Jalan ini ditemukan Allah kepada seorang demi seorang dengan cara yang berbeza. Pesoalannya bukan bila dan bagaimana tetapi apa yang dilakukan sebagai tanda syukur.

Adakah kita ingin memberi sebahagian saja daripada diri, dan sebahagian lain disimpan buat menjamah lazatnya nikmat-nikmat dunia. Andai itu yang berlaku, percayalah kita pasti akan menyesal! Dikisahkan beit muslim Sayyidina Ali dan Fatimah. Saat itu mereka dihadiahkan sebuah makanan lalu dibedak-bedakkan kepada tetangga sebagaimana lazimnya amalan para sahabat.

Lalu ditanya kepada Sayyidatina Fatimah, "Apa yang tinggal untuk kita?"
Sayyidatina Fatimah menunjukkan sebahagian kecil bahagian.
Kata Sayyidina Ali, "Semua untuk kita, kecuali yang ini."

Semua yang disedekahkan kerana Allah telah dijamin ganjarannya yang kekal, sedang yang masih kita simpan untuk diri kita belum tentu milik kita.

Nikmat memahami agama ini tanpa tasyadud (berlebihan) atau ringan dan longgar, adalah satu nikmat yang mahal di zaman fitnah ini.


عن معاوية رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم 
" من يرد الله به خيراً يفقهه في الدين ". رواه البخاري، ومسلم
Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, difaqihkan(fahamkan) agamanya.


Di saat fikrah manusia bercampur-baur. Pertarungan bukan lagi antara hitam dan putih, tetapi putih-kelabu, putih-krim. Muncul fikrah Islam liberal, Islam moderat dan apa-apa sahaja ideologi yang menyandarkan dirinya dengan Islam namun pastinya tidak sesekali! Islam bukan A+B atau Islam + X. Islam adalah Islam. Tidak ada penambahan atau penolakkan. Tidak kurang dan tidak lebih. Ambil semuanya atau sesekali jangan gelarkan itu Islam.

ياأيها الذين آمنوا ادخلوا في السلم كافة ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين
Wahai orang-orang beriman, masuklah Islam sepenuhnya dan janganlah ikut jalan-jalan syaitan. Sesungguhnya dia bagimu, musuh yang nyata.

Legasi perjuangan ini diwarisi daripada baginda Ar-Rasul. Batonnya bergerak merentas waktu dan sempadan hingga kini diwariskan kepada kita. Ambillah dengan penuh kuat dan tabah. Saat dunia menghindar, kita mara ke depan dan mengangkat bendera kebenaran. Yang kita kendong itu adalah cahaya harapan umat. Samada mereka sedar atau tidak, terima atau tolak, kita akan terus melangkah kerana yang kita inginkan bukan mereka, bukan nama, bukan pengiktirafan manusia. Semata-mata redha Allah seperti yang dihadiahkan kepada para sahabat,

رضي الله عنهم ورضوا عنه
Allah redha akan mereka dan mereka redha akan Allah.

Ya pasti. Saya yang tertatih ini telah melakukan banyak kesilapan. Berkali-kali terjatuh. Dihindar orang. Terkadang qudwah tercalar dek lemahnya sebagai manusia dan hamba Tuhan. Tak menagapalah, jika itu yang saya mampu persembahkan untuk agama ini maka saya bersama kelemahan-kelemahan saya ini tetap akan terus melangkah membawa agenda warisan ini. Cuba membaiki diri dari masa ke masa. Anda yang jauh lebih hebat, pasti boleh melakukannya!

Apakah sukar sekali menjadi hamba yang bersyukur?

 .

Tuesday, November 13, 2012

Waqfah November

Bismillahirrahmanirrahim...

Berderet draf minta disemak (edit) untuk publish. Namun, jiwa separa rasional, mengajak jari bermain-main di laptop ini. Ingin merangsang cas positif sebelum saya terus menelaah kitab clinical cardiology dan helaian sirah Syeikh Ali Solabi. 

Tahun Enam, sungguh...

Pengalaman baru. Lebih menghargai dewan kuliyah, beatbox Dr Ashraf Zaki The Legend. Pengalaman dakwah yang baru, amal yang lebih matang.

Ramai yang mengadu penat. Letih. Mencari-cari supplement. Geng pencatu makanan (geng diet) pun, agaknya harus bubar kerana hidup sehari-hari benar-benar menyerap tenaga. 

Kita melalui hidup sehari-hari. Menghadam sedaya mungkin ilmu di dewan kuliyah. Hingga kadang-kadang kita lupa, di sana ada sebab yang mengaitkan kerjaya kita dengan dakwah, iaitu qudwah. Lalu kaki diangkat pergi dan balik, tanpa sepicing rasa untuk mengesani manusia sekeliling dengan cahaya hidayah. Melayan rasa penat dan sibuk memungkinkan sekali untuk kita mentidakapakan orang disekeliling kita. Mana hilang senyumnya? Sudah makankah dia? Apa gersang imannya? Jika dibiar masa berlalu, maka akan terputuslah connection antara kita dan dia, maka walau mata bertentang mata tetap offline.


Menelusuri denai dakwah. Menguruskan kerja idari, mentadbir amal tarbawi, pasti menyerap tenaga dan masa. Jangan dibiar menjadi rutin tanpa jiwa. Haruslah menghayati setiap amal dengan roh perindu syurga, pencinta syahid. Dengan itu, setiap sengal-sengal menjadi hiburan, bibir ringan mengangkat senyuman. Baliklah atas tujuan asal kita menjejakkan kaki ke daerah ini. Bukan untuk menjadi jaguh atau penongkah arus tetapi semata-mata ingin menamatkan nafas sebagai hamba yang mampu mengulang kata-kata baginda di haji wida3, 

الا قد بلغت, اللهمّ فاشهد

Ayuh, terus menghidupkan malam-malam kita. Ayuh, menjaga amal-amal fardi kita. Berhati-hatilah daripada menjadi tong kosong, bising. Berkata mengiku nafsu. Hati penuh amarah dan dendam.

Menapaklah dalam kehidupan dengan penuh tenang. Melangkahlah dengan penuh hati-hati. Namun, siap-siaga membuka kuda-kuda. Semua orang hidup, semua orang penat.
Yang bezanya kenapa?

ورضوان من الله أكبر. ذلك هو الفوز العظيم
dan KEREDHAAN Allah itu lebih besar, itulah kejayaan yang agung!
~attaubah


walau tertatih kaki ini berjalan, jiwa perindu syahid tak akan tergoyahkan...



Monday, November 12, 2012

Bangkit



Kadang-kadang istilah all or none law, tak terpakai.
Kadang-kadang istilah accomplish or do not begin, tak terpakai.
Betapa cita-cita melangit adakalanya menerbangkan aku yang tiada kepak.
Seinci lagi hampir tersembam,
Mujur Allah mentsabatkan langkah
Idea escapisme mula menggodaku

Akhirnya ada kaedah syarak yang mengajar, 
ما لا يدرك كله لا يترك كله
Jika tidak dapat semua, jangan tinggal semua.
Aku bersandar kelegaan...sebentar

Pandanganku tembus di celah dua menara Masjid Nur
Aku kemudiannya menyenarai satu-persatu whishlistku di Mesir
Aku terkadang menggapai-gapai mencari nafas
Ada masa aku rasa ingin duduk di tangga Metro Damerdash dan tak bergerak-gerak
Sekadar memerhati manusia lalu-lalang 
dan aku bakal mencela diriku yang menyerah sebelum berjuang

Ini nota hati, seorang aku yang menghitung baki usia di Mesir tercinta
Aku berhutang seluruh hidupku dengan Mesir serta isinya
Bahkan aku berhutang akhiratku juga.

Aku tidak beriman dengan escapisme
Tidak
Setiap hari adalah hari baru.
Apa yang terlepas bukan rezekiku
Hari ini aku bangkit berjuang lagi!
dan esok, dan esoknya...

Tuesday, October 23, 2012

Arash




Apabila mereka bertanya
"Mengapa?"
Aku hanya mampu tersenyum dan ku jawab,
"Tak apa."

Bukan sekadar jarak yang aku ukur 
tetapi pemandangan arash di atas jemala.

Thursday, September 13, 2012

ASET


Mengimani pertemuan kembali di syurga yang kekal tidak menjadikan perpisahan ini manis. Tetap perit. Apalagi jika harus mengorbankan perasaan orang yang tersayang. Mengorbankan perasaan sendiri mungkin tidaklah seperit itu.
“Setelah setahun berlalu, aku tidak tahu lagi untuk menangis. Yang ada hanya rintihan-rintihan bisu bagai gelombang kecil bersembunyi di dasar lautan yang ada masa-masanya tiba-tiba mengganas bak tsunami. Di waktu itu tiada lagi esak tangis bahkan sedu-sedan yang tak tertahan-tahan. Aku akan tergagap-gagap menyusun bicara. Bibir bawah digetap untuk menyembunyikan getar di kerongkong sedang pipi terus dibanjiri air mata.”
Betapa perjuangan ini memerlukan lebih daripada hanya kata-kata.
-Ummu Musaab, IUG2012
Umairah terjelepok ke tanah. Cuba menelan ayat yang teramat pahit itu. Cuba menenangkan diri dengan mengandai-andaikan dirinya adalah jelmaan Musaab bin Umair yang kacak. Muhajir terawal ke Madinah, kalau boleh digelarkan begitu. Belum ada arahan hijrah secara langsung daripada Allah, tetapi arahan daripada Rasulullah untuk pulang ke Madinah bersama penduduk Yathrib selepas perjanjian Aqabah I. Menjadi duta yang mengetuk pintu hati ahli Yathrib. Angin musim sejuk bertiup kasar, menghulur salam pertemuan. Mujur Allah mencipta bulu mata, jika tidak pastilah berparut korneanya diguris pepasir.
Beza antara dia dan Musaab bukan hanya dia wanita dan Musaab adalah jejaka. Musaab adalah pemuda pilihan Nabi. Wajar dia sehebat itu. Aku tak hebat. Aku tak mampu!
“Bukankah aku juga pilihan? Pilihan Allah. Jika tidak, takkan aku masih di sini menghirup bayu bumi Solahuddin,” bisik jiwa besarnya.
Umairah membuka sneaker biru mudanya yang dibanjiri pasir. Membalik-balikkan. Pasir-pasir halus terbang keluar. Habaan mansura. Debu-debu yang berterbangan. Umairah tak sanggup menggadaikan tiketnya ke syurga. Amal-amalnya bagaikan debu. Apa patut kini dia menyiakan peluang yang hadir sekali seumur nafas?
Panggilan ke Malaysia semalam benar-benar menyesak nafas.
“Baliklah Maia. Ummi bukan sihat sangat. Balik!” ringkas kata-kata Insyirah sebelum talian mati. Talian internet terputus. Umairah menghamburkan air mata ke lantai bagi menyisihkan resah menggunung di dada.
Andai Insyirah tahu, pilihannya tidak semudah itu. Perjalanan masuk memakan masa berminggu-minggu. Masih Umairah sabar berulang-alik ke pejabat kedutaan. Penahanan berjam-jam di pintu masuk Rafah bertemankan isy baladi semata-mata untuk menjaga pengaliran wang keluar.
“TIADA BAJET PULANG,” begitu dicoret dalam diari kecilnya setiap hari. Motivasi diri!
Jika hanya sebelah kaki dihulur ke luar sempadan sekalipun, dia bakal mimpi siang seumur hidup untuk kembali berbakti di situ lagi.
“Maia, ni ummi nak cakap.”
“Ummi.”
Umairah memandang sayu lapangan Islamic University Ghaza (IUG). Universiti termuda antara 8 universiti di sekitar Ghaza ini menampung kira-kira 20,000 mahasiswa dan mahasiswi. Sayap timurnya hancur kesan amukan Zionis yang tak pernah surut dendam.
“Ah, masih berbaki 3 bulan!”
Umairah sedang mengusahakan sistem perpustakaan baru buat institut pengajian tinggi ini setelah hancur dalam serangan Zionis pada tahun 2009. Mengumpulkan bahan yang sedia ada, membawa masuk bahan dari luar dan menyusun atur. Sepenuh daya. IUG yang hampir lumpuh menelan kira-kira USD35 juta untuk proses membaik pulih. Makmal kejuruteraan dan bioperubatan yang telah musnah pasti diberi tempat duduk yang lebih utama. Maka, sistem sumber ilmu ini terpaksa dianak tirikan buat sementara waktu. . Melainkan jika ada yang suka dan rela membantu. Tiada sistem kod elektronik seperti di Malaysia. Segalanya manual. Sekurang-kurangnya buat masa ini.
Umairah mengetuai sekumpulan anak muda dari Malaysia yang secara sukarela menawarkan diri untuk membangunkan sistem sumber ilmu di IUG ini. Kerja mereka tidak kompleks, tidak hebat. Hanya mereka ini darah muda yang beriman dengan sabda baginda ar-Rasul.
“Sebaik-baik daripada kamu, yang bermanfaat untuk orang lain.”
Mereka pegang utuh pada hadis menyedekahkan sendi-sendi di jalan Allah. Mereka ingin memanfaatkan diri menjadi aset umat, bukan liabiliti.
“Achoo!”
Umairah mengesat hujung matanya yang berair. Alergi. Umairah alah pada udara lembap Malaysia. Umairah mengesat lagi hujung matanya. Makin deras, makin lebat. Bercampur baur antara kesedihan meninggalkan IUG dan bimbang rintangan yang menanti di hadapan. Akhirnya, sireh pulang ke gagang. Belut pulang ke lumpur.
Azimat nafi’un lighayriha akan bertebaran di bumi pendekar. Pendekar beriman itulah mujahid. Umairah membayangkan sentuhan-sentuhan yang bakal menghidupkan jiwa anak singa yang telah lama menjadi kijang. Lalu singa-singa ini meneruskan legasi sentuhan keramat warisan ar-Rasul. Ini manfaat terbesar buat umat yang sedang sakit. Bahkan mungkin lebih besar daripada jerih payah merentas sempadan Rafah.
“Satu rijal seribu umat,
darah pahlawan ku genggam azimat,
diriku manfaat dan aset umat,
akan aku hantar lebih ramai pendekar ke sana!”
Glosari
Muhajir : Orang yang berhijrah
Habaan mansura : Debu-debu berterbangan
Nafi’un lingairihha : Bermanfaat pada orang lain
Mujahid : Orang yang berjihad
Rijal : Seorang pemuda


Sunday, September 9, 2012

My happy ending!




Bismillahiirrahmanirrahim

Urgent! Urgent! Urgent call to satisfy my writing-craving and self-spilling.

I'm going through the ups and downs of being a pure growing up lady. Macam burung terbang tinggi ada masa 'ter'terbang rendah. Apabila rendah, mulalah terikat dengan cantiknya Teluk Kemang. Rasa nak duduk di darat sebab letih mengepak. Dalam kononnya penat mengepak tu sempat pula dating ke Hadiqah Azhar. Sambil duduk-duduk di dalam belakang Trianon yang di atas sebuah bukit, seeokor burung putih tiba-tiba mengepak di depan mata. Macam puppet yang tergantung-gantung. Si burung mengepak setempat.
Si dia kat sebelah,

ما يمسكهنّ الا الرحمن
Tiada yang memegangnya melainkan Ar-Rahman

Petikkan ayat daripada surah Al-Mulk tentang burung. Betul-betul terasa burung tu dipegang. Ya Allah, rasa nak menangis tapi muscle stiffnees.


Hari ini sempat menelaah kembali tulisan Sayyid Qutb tentang ayat,

تبارك الذي بيده الملك

Ayat pertama surah Al-Mulk. Indeed He has it all! 
Maha Hebat Allah yang memegang kerajaan langit dan bumi. Allah memiliki semua, segala sesuatu. Tak tertinggal sedikit pun. In the ups and downs of life, sometimes we taught we've loose it all. We always forget that we don't have anything in the first place. It's all His.
Nyawa kita, jiwa kita, fikiran kita, pancaindera, oksigen, hidrogen, namakan apa sahaja, semua dia bawah pentadbirannya. Bak kata Sayyid Qutb dalam Zilalnya,

فليست المسألة مصادفة بلا تدبير. وليست كذلك جزفا بلا غاية
Bukan kebetulan tanpa tadbir. Dan bukan random tanpa tujuan.

Semua ketentuan Allah, hidup, mati semuanya bertujuan dan ada hikmah disebaliknya. Episod ujian dalam kehidupan tak akan pernah tamat. Cerita tamat bila heroin mati. Sebelum kita ~heroin~ mati, cubalah buat jalan cerita itu menarik dan ada happy ending. Saya pernah baca dalam paper, long time ago, ada panggung kena bakar sebab filem tu sad ending. It shows how  we~human being desperately want that 'happily ever after' baca: hereafter. Makin berpenat-penat kita di dunia, makin kita nak rehat-rehat di sana
atau
makin kita nak rehat-rehat di sana, makin kita berpenat-penat di dunia. 

Manusia normal mesti nak penamat yang baik. Maka, selagi Allah sudi beri kita nyawa, izinkan kita menunggang bumiNya, masih sempat jadi heroin yang solehah dan bergerak untuk happily ever after. And the added value as a daieyah, we want everyone to happily ever after.



How I miss my blog! Relieved and refilled. =)


p/s: Inilah catatan caca-merba seorang saya yang sudah lama dah tak menulis... dengan hati.

Wednesday, June 27, 2012

Kakak seindah sederhana


sederhana, namun indah ~sumber: FB



Dia sederhana saja. Dengan blouse longgar ataupun t shirt dipadankan dengan kain  berpotongan lurus, tudung dipinkan ke bawah, kaca mata dan senyuman. Ya, senyuman yang mencerahkan. Entah kenapa, ingatanku padanya tak lekang walau kami dipisahkan rantau, masa dan cerita. Mungkin sekali aku yang bertepuk sebelah tangan. Aku tak kisah. Padaku, dia antara sosok yang bertanggung-jawab membawa aku ke muka pintu dakwah. Dia ada saat aku rasakan realnya lagu-lagu nada murni. Sunah berjuang, nun di sana dan lain-lain. Imaginasi aku tentang mujahid dakwah dijelmakan depan mata. Mungkin tidak sesempurna yang aku bayangkan, tetapi cukup bagi aku sekadar kalimah, “Ada!”

Ada manusia yang mewakafkan hidupnya di jalan Allah. Tak dikenali manusia, tidak popular. Mesra, menyentuh hati, murah senyuman. Ada, yang sungguh mengesani hatiku. Masih aku ingat bagaimana mencurah-curah air mataku turun di petang asar itu, tidak dapat menahan rasa terharu bahawa Allah telah membuka satu lagi pintu rahmatNya untuk aku menyentuh pintu-pintu dakwah yang ditunjukkan kader-kaderNya. Ya, memang kemudiannya aku bergabung dengan yang lain, namun masih pada matlamat akhir yang sama, semangat yang serupa meski cara berbeza. Mungkin ini yang membuatkan aku mampu tunduk hormat pada mereka dan ringan berlapang-dada.

Dia antara sosok yang memberi inspirasi. Menjemput aku pergi balik dengan kenarinya. Setia. Dia membaktikan hujung minggunya untuk kami si adik-adik. Aku tahu ada yang masih kekal di jalan ini, ada yang sudah bertebaran. Namun, aku yakin Allah tetap akan memanjangkan pahalanya. Betapa besar jasanya padaku. Menerima aku bertatih di lamannya sebelum aku berangkat ke bumi ribath ini. Dan akhirnya dia telah berjodoh dengan akh yang turut berjasa padaku. Senyumku sampai ke telinga mendengar khabar itu. Moga Allah sudi memanjangkan langkahnya di jalan ini hingga ke syurga.

Moga bercahaya hidupmu J Sungguh aku sampaikan salam pada langit subuh Kaherah, biar awannya menaungi kau sekeluarga.

Sunday, June 24, 2012

Mesir dapat Presiden baru


Sumber:FB

Rasa macam faham perasaan Dr. Morsy atau sekurang-kurangnya saya membayangkan perasaan Dr. Morsy. Saya pernah dilantik untuk mengetuai seangkatan kecil organisasi. Kesannya terasa hingga kini. Apabila menyedari tanggung jawab di bahu kita, rasa bagai gunung menghempap dada. Hati menjadi terlalu sensitif atas setiap perubahan dalam teritorry, bidang tugas kita. Salah kita, salah kita. Salah orang, salah kita. Kita bersalah hati menangis, anak buah salah air mata kita juga mengalir. Apatah lagi kalau dia tak rasa bersalah lagilah kita rasa bersalah J

Saat melihat gambar Dr. Morsy pasca-kemenangan, dan riuh-rendah sambutan di luar rumah, pelbagai rasa menyusup masuk. Cuba memakai kasut Dr. Morsy walau saya terlalu amat kerdil, hati saya berbisik,
“Janganlah tak solat diorang ni sebab seronok sangat aku menang!”

Mungkin jika saya yang diumumkan menang oleh Farouq Sultan sebentar tadi, lumpuh anggota badan seperti mana saat saya dilantik mengetuai organisasi kecil kanak-kanak saya. Air mata tumpah. Pasti Dr. Morsy jauh-jauh lebih kuat daripada saya tapi mungkin jauh-jauh di hati kecil beliau ini juga yang beliau rasa. Cuma bezanya kasut beliau lebih besar daripada saya, sesuailah menampung badan dan jiwa yang lebih besar.

Hari ini hari bersejarah Mesir. Antara hari-hari bersejarah. Mesir kaya sejarah. Keputusan yang diumumkan kira-kira jam 4++ pm waktu Mesir: Dr Muhammad Morsy adalah Presiden Republik Arab mesir yang baru. Menggantikan diktator Hosni Mubarak. Kemenangan tipis jika boleh dikatakan begitu, kerana terpisah dengan Ahmad Syafiq (saki-baki rejim) dengan margin 3.4%. Betullah. Siapa yang tidak gembira. Terlalu dan amat. Namun, bagi mereka yang menyedari jalan juang masih panjang dan cita-cita belum terlaksana, saya kira kegembiraan ini belum sampai ke puncak. Gembira dalam syukur. Adrenaline mendadak naik namun belum sampai exhaust. Jangan habis lagi adrenaline, kerja banyak lagi.

Harus diingati, ini bukan ghayah. Ini hanya wasilah. What's next? Dalam gembira dan terharu, harus saya ungkapkan getar di dada. Mengangkat bendera agama bermakna mengangkat panji perang. It just begun, just begun! Ketahuilah para daieyah, kemenangan ini menuntut hati yang lebih tunduk pada Allah, minda yang lebih tekun untuk dakwah, jiwa yang lebih tegap menanggung fitnah. 

Kefahaman saya yang dangkal ini, masih terlalu banyak ranjau yang bakal ditempuhi Mesir dan umat Islam. Dr. Morsy menang, namun kuasa dokongan belum cukup kuat. Saya baca, dokongan yang ‘mahu islam’ belum cukup ramai. Jika ikut kira-kira  40% rakyat mesir (yang mengundi Ahmad Syafiq) menanti apa yang bakal dilakukan Dr. Morsy. Pahat akan berbunyi. Kuat atau tidak, kita tunggu dan lihat. Kefahaman saya yang dangkal, impian kita melihat tertegaknya daulah Islam belum tercapai. Masih tidak boleh duduk bersandar kelegaan. Jangan terlalu naif. Doa panjang, tahajud berair mata masih perlu diteruskan. Anggaplah kemenangan ini booster dose. Umat kita belum sihat lagi.

Bersedialah untuk pertembungan hak dan batil yang lebih sengit. Mahu turut serta? Angkatlah senjata. Angkat doa, teruskan berkerja (dan study final exam ;)

~tahniah mesir, anda bangkit dengan darah ribuan syuhada bertahun2 lama, lautan air mata. dan pengorbanan ini akan diteruskan sehingga tiada lagi fitnah dan deen ini untuk Allah! 

(at-taubah: wajaala kalimatal lazina kafarussufla wakalimatullahi hiyal u’lya)
(al-anfal: waqatiluhum hatta latakuna fitnah. Wayakunad deenu kulluhu lillah)

Saturday, June 16, 2012

::Mentari merah




Lemas dalam rindu tenggelam dalam tangisan,
Kau telah pergi tapi masih ada, yang kau tinggalkan dalam kalbuku ~Mentari Merah di Ufuk Timur

:: tribute perjalanan malam naik ke sidaratul muntaha, Baitul Maamur, bertemu Rabbul A3lamin





Allah berfirman, di Jannah Firdawsil A3la, manusia bisa bersemuka denganNya.
Izinkan kami bermimpi dan berharap untuk pertemuan itu.

Thursday, June 14, 2012

Selamatkanlah

sumber: FB. hidup ini meniti tititan ke syurga, bila alpa jatuh ke neraka, bezanya masih di dunia, ada SOS!


Ya, kita boleh mengeluarkan kata-kata yang menggegarkan. Ya, boleh dilihat daripada mata-mata yang mendengar kekhusyukan, sekali-sekala menganggung-angguk tanda setuju. Turut sama terbuai dengan tazkirah yang sifatnya membasah. Namun, jangan hairan andai ia tinggal angguk dan geleng, sedang amal bisu tak berkata-kata. Harus sekali kau koreksi daripada mana asal peringatan yang kau hamburkan. Adakah kerana akal yang membengkak namun hati kotor bernanah. Maka ia sampai ke telinga pendengar namun tak bisa menembus amal.

Betapa Allah menutup aib manusia. Jika tidak, mungkin hanya Rasulullah saja yang rasa-rasanya sanggup berdakwah. Sedang yang lain bergelut dengan aib dan kelemahan manusia yang dhoif.

Betapa nafsu dan iman itu sifatnya berseteru. Tak mungkin duduk semeja dan bergurau-senda. Allah... betapa isu iman, isu multilevel! Tak diukur berapa lama  kau mengucap syahadah, tak diukur berapa lama kau lalui proses pentarbiyahan. Yang diperlukan syahadah yang dibenarkan dan tarbiyah yang berterusan.

Manusia yang tak mampu menundukkan nafsunya takkan mampu menundukkan apa pun, siapa pun!

Kata Rasulullah, "At-taqwa ha huna" sambil menunjukkan ke dada baginda sebanyak tiga kali.

Maka aku akhiri dengan kalam mudah, "Selamatkan aku ya Allah!"

Tuesday, June 5, 2012

Mampu


sumber: internet




Tidak semua mampu menangis
Begitu gemulah Atuk yang bersipongang di telingaku
Hingga hatiku membengkak
Sarat isinya air mata yang tertahan
Bagai awan kumulus gempal di langit gelap
Namun hujan masih tidak turun-turun

Atuk tambah
Air mata itukan hadiah
Orang tua berdarah pendekar ini masih saja membebel sendiri
Aku memejamkan mata dan bersiul perlahan
Entah apa yang ku tahan
Mungkin darah pendekar atuk mengalir pekat dalam darah
Lagi-lagi dia aku salahkan
Sedang dia sujud berembun pada Pencipta
Janggut putihnya basah dek air mata
Mengingatkan aku Tuan Al Farouk
Khalifah kedua itu

Tidak semua mampu menangis
Aku masih cuba menelan kalimat itu
Pahit air liur aku telan
Atuk kata
Bukan muslim kalau penipu
Aku tak mahu menipu diri menangis sedu-sedan
sedang mata itu masih saja liar
Tapi atuk bilang
Untuk yang ini kau boleh menipu
Perlu menipu
Bukankah air dari mata itu milik Dia?
Kali ini atuk senyum
Tangan tuanya mengusap belakangku
Seolah-olah cuba mengesan bahagian hati yang mana
Yang degil benar
Kata akhir atuk
Lainlah kalau kau dah tak kenal Dia…
ps; terutama buat yang menghadiahkan lagu Rabithah, tangisan...

Thursday, May 31, 2012

Ekstrovert yang bisu



Biarlah saya menarik diri sebentar. Isu-isu panas itu benar-benar menyejat iman saya. Dengan bahasa-bahasa perlian bagai pengangur mencari pekerjaan, tak terjumpa lalu mengetuk gendang memberi isyarat pada orang-orang kampung bahawa dia sedang menganggur. Hingga saya yang mujur lalu terasa bingit. Terover dose agaknya saya berlama-lama di situ. Setelah membesarkan akal, berasa terhuyung-hayang. Hati dan anggota turut minta dibesarkan. Lalu iman memanggil pulang untuk saya selesaikan agenda yang lebih utama.

Juga menarik diri, bak kata Sayyid Qutub, beruzlah jiwa. Bersama manusia namun jiwa bersama Tuhan. Saya memang bukan Rabiatul Adawiyah tapi ruang untuk berusaha tak pernah Allah tutup bukan? Mengapa dirumitkan falsafah hidup yang ringkas? Allah mengganjar pada usaha bukan hasilnya. Mempraktikkan hadis berkata baik atau diam dan hadis meninggalkan perkara yang tidak berkaitan (rujuk hadis 40 imam Nawawi).

Juga konflik penting vs lebih penting haruslah saya tatapi dengan segenap tawakal. Menyerah sepenuh pengharapan, minta Allah menjadi pemutus mutlak dengan berlalunya masa. Allah mengajar saya erti tawakal dan percaya padaNya. Dulu saya guna-pakai kebanyakan masanya untuk peperiksaan. Ternyata kini kehidupan yang membesar skalanya melangkau dewan peperiksaan. Apa gunanya melayan rawan di hati, andai sedikit tak mengubah keadaan. Bukan sebaiknya sujud padaNya? Pasti. Dia pasti mengemukakan jalan yang terbaik. Saya hanya harus percaya!

Indahnya Mesir telah saya akui sejak awal kaki menjejakkan kaki ke bumi Sayyidina Musa ini. Kini saya sedang meneroka panorama Abbasiyah. Ternyata akan menjadi mimpi dan kenangan indah seorang dewasa seperti saya.

Apa-apalah saya menulis tanpa sebarang dalil dan hujah ilmiah. Mencatat itu dan ini pakai emosi semata. Namun jangan risau, ayat Allah ada dua. Ayat maktubah (Al-quran) dan ayat yang terbentang pada alam raya. Sekalipun kata ini tiada gunanya buat kamu, manfaatnya ternyata besar buat saya, seorang esktrovert yang bisu. 

Sunday, May 20, 2012

Kisah air daripada mata


Jangan bersedih: kerana kesedihan melemahkan engkau untuk beribadah, melumpuhkan engkau untuk  berjihad, mewariskan engkau akan kehampaan, memanggil-manggil engkau untuk berburuk-sangka dan mencampak engkau ke daerah pesimis.

Safiyyah melabuhkan pandangan pada Nil yang tak henti-henti mengalir. Akal fiksinya menerawang. Andai sahaja ada hikayat Mesir Purba, dan Nil ini adalah air mata para ibu tentu sahaja aku percaya. Cukup luka hatinya melihat air jernih mengalir di pipi seorang ibu. Bahkan yang lebih melukakan, air mata itu diiring senyuman. Seorang ibu kepada anak comel yang membusung perutnya. Apa kata orang di hospital? Ya, ascitis. Hati anak itu rosak. Safiyyah kata, jangan kau salah tafsir kawan. Hati maknawinya tidak kotor, bahkan suci. Hati yang di bawah peparu itu yang rosak.

Safiyyah rawan mengenangkan ini bukan air mata yang pertama bahkan insyaAllah bukan yang terakhir yang akan dihadapkan kepadanya. Hari-harinya kelak akan berdepan lagi dengan kisah air mata. Dia seolah-olah diasak-asak dengan satu persoalan,
“Nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?”

Safiyyah memejamkan matanya yang sudah mula berair. Lagi wajah ibu itu berlegar-legar dengan tenang menyatakan,

“Tiga anak perempuanku sudah pulang bertemu Allah .”

Wahai ibu, dari mana datangnya tenaga itu? Kuasa apa yang mencampak tenang itu? Memang beliau sedang diuji. Keempat-empat anaknya menghidap masalah kesihatan atas sebab genetik.

Safiyyah dalam gigil angin Kaherah mengusap air mata cemburu yang setitis demi setitis jatuh mengalir bersama Nil. Cemburu amat akan si ibu. Kesedihan tak menjadikannya lupa Tuhan. Masih waras dan menyimpan harapan untuk yang keempat kembali sihat. Itu azimat kental ibrah daripada proses kelahiran yang menyakitkan. Sungguh, sakit bertarung dengan nyawa namun akhirnya tangisan si bayi ternyata ubat mujarab buat ribuan salur darah yang terputus. Setiap kesakitan bakal lahir daripadanya harapan.
Sesungguhnya bersama sesuatu kesusahan itu kesenangan yang luas.

Jangan bersedih: Sesungguhnya Allah bersama engkau, para malaikat memohon ampun bagi engkau, dan para mukmin menyertakan engkau dalam doa mereka di setiap solat, Nabi S.A.W memberi syafaat , Quran menjanjikan engkau akan janji yang benar dan yang lebih baik daripada semua ini rahmat daripada Arham Ar-rahimin.

Safiyyah menyelak helaian demi helaian buku La Tahzan karangan Dr. Aidh Al-Qarni. Ternyata daerah air mata menjadi modal penulis hebat ini. Ternyata Allah meraikan daerah air mata. Terbentang 1001 ayat pujukkan daripada Allah.

2: 153 :Sungguh Allah berserta orang-orang yang sabar
2: 186 : … maka sesungguhnya aku dekat.
2:124 : …sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
3:123 : … Allah telah menolongmu dalam perang Badar padahal kamu dalam keadaan lemah. Kerana itu, bertawakal kepada Allah…
3: 173 : … “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik Pelindung.

Baru surah ke 3. Safiyyah menyanyi-nyanyi kecil, asma ul husna versi Sami Yusuf. Apa yang tiada pada Tuhan kita yang Maha Hebat ini. Azhim! Dengan WadudNya, RahmanNya, RahimNya, HalimNya.

Kehalusan rasa bukan suatu kekurangan. Begitu Safiyyah menyimpulkan. Membuang jauh kegoan pada Tuhan. Mengembalikan hamba pada hakikat penciptaan.

Mentari Kaherah bakal tenggelam, memanggil-manggil Safiyyah untuk pulang. Kering air mata disejat udara sejuk. Sekalipun air daripada mata disorok jauh ternyata ia ada. Kisah air ini akan menemani perjalanan menuju Tuhan.


Musim sejuk 2012 kaherah.

Selamat menyelam dalam Paeds pula, Pembuka-pembuka  Gen07!

Saturday, May 12, 2012

Berkenaan "Menyedari Prestasi Sendiri?"

Bismillahirrahmanirrahim,

"Satu persoalan yang perlu kita bertanya kepada diri kita. Adakah kita ini layak digelar sebagai seorang da’ie? Persoalan ini penting kerana jika kita melihat realiti amal dakwah di kalangan generasi Harakah Islamiah menghadapi sindrom kegersangan dan ketepuan amal dakwah. Hilang identiti dakwah dan operasi dakwah yang praktis kepada sasaran dakwah. Hilang zatiah ad-daiyyah yang menjadi perangsang dan inspirasi amal bagi menggerak dan menjana amal dakwah..."http://www.ismaweb.net/v4/2012/05/menyedari-prestasi-dakwah-kita/ 

Merujuk link web di atas.

Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa saya memerlukan segenap tenaga dan ketenangan untuk menghabiskan tulisan tersebut. Saya juga mengaku telah berhenti membaca tulisan tersebut (sebelum menyambung semula setelah beberapa ketika) kerana jantung yang telah berlubang-lubang akibat ditembak.

Saya juga mengakui bahawa susahnya untuk menongkah arus semasa. Tak mudah untuk cakna isu semasa dan dalam masa yang sama, masih kekal fokus dengan misi dan agenda sendiri.

Maka saya menjemput mereka yang berkenaan untuk turut bermuhasabah dan terus atur langkah. Jangan jadi macam saya yang tersandar resah agak lama juga!

Terutama adik Gombak Disember saya. =)

Selamat exam Gen 7!

Tuesday, May 8, 2012

Lafaz yang tersimpan




Bismillahirrahmanirrahim

Salam pagi selasa. Beberapa hari lagi end round exam untuk Obstetric & Gynaecology. Saya teringat beberapa minggu lalu, saya telah ke labour room untuk melihat proses bersalin (delivery). Setiap pelajar perlu ke labour room untuk buat pemerhatian (observe) sekurang-kurangnya sekali. Hari itu adalah hari pertama saya ke labour room sepanjang pengajian dia Mesir. Teruja. Namun, yang paling penting, sampai sahaja di rumah saya terus membuat panggilan ke Malaysia, untuk bercakap dengan satu-satunya manusia yang telah melalui jerih dan payah yang sama ketika melahirkan saya, Ibu. Menurut ibu, sayalah anak yang paling sakit untuk dilahirkan. Primi gravida! Begitulah.

Hari Ahad lalu, suhu di Kaherah mendadak naik. Tidaklah terlalu tinggi, cuma mendadak. Arteri di kepala saya teruja dengan terkejut-tergemparnya suhu, maka aktiflah dia. Berdenyut-denyut. Saya singgah Nada untuk meletakkan kepala. Pejam mata dan pasang telinga. Saya terdengar lagu lama UNIC: Lafaz yang Tersimpan. Beberapa bait yang masih tak hilang daripada fikiran saya,

Monday, April 30, 2012

An Naziat untuk kita


1.       Sayyid Qutub dalam Tafsir fi Zilalil Quran mengulas kata-kata Firaun dalam Surah An-Naziat ayat 24 :

lalu dia berkata " Aku Tuhan kamu yang tertinggi"




Firaun berkata begitu atas kelalaian rakyat jelata (Bani Israel), tertipu dengan ketaatan dan kepatuhan mereka.

2.       Kata As-syahid lagi: Merekalah (Bani Israel) yang beri belakang mereka untuk ditunggang, beri leher untuk ditarik, tundukkan kepala untuk dilangkah dan mereka serahkan kemuliaan dan kehormatan untuk dilakukan sewenang-wenangnya.

3.       Setiap kisah dalam al-quran signifikan di setiap zaman. Berapa ramai Firaun dan Bani Israel pada zaman ini?

4.       Firaun digelar sebagai seorang yang thogut; yang didefinasikan oleh As-syahid Sayyid Qutub sebagai mereka yang melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan kehendak Allah. Berapa banyak thagut yang berleluasa dalam masyarakat kita, masyarakat muslim khususnya? Masyarakat muslim yang majoritinya diwakili Melayu di Malaysia?

Thogut pemikiran; pluaralisme, liberalisme (semuanya anak cucu sekularisme).
Thogut kepimpinan; rasuah, kroni.
Thogut akhlak; bahasa porno, claim lebih daripada hak, plagarisme, bohsia. 

5.       Bani Israel digelar sebagai kaum yang ghaflah yang bermaksud lalai. Atas kelalaian ini mereka dipijak-pijak Firaun. As-Syahid Sayyid Qutub cuba sampaikan betapa krisis masyarakat ini tidak berlaku kerana kejahilan atau kezaliman sebelah pihak sahaja. Ada faktor ‘penolak’ dan ‘penarik’. Bani Israel ada saham yang perlu dipertanggungjawabkan atas apa yang menimpa mereka. Kelalaian mereka, hati yang kosong daripada iman menyebabkan mereka mudah untuk ditunggangi. Betapa ramai ‘Bani Isarel’ yang bergerak dalam masyarakat kita. Mereka yang sibuk dengan arus hidup sendiri. Mengejar ringgit-ringgit untuk menempah bahagia sementara, malah tidak terjamin. Mereka-mereka ini dibeli jiwa dan harga diri dengan wang. Contoh mudah, rasuah!

6.       As-syahid Sayyid Qutub berpendapat, Firaun-firaun ini tak akan mampu melontarkan kata-kata takbur dan buruk seperti ayat tadi, jika ‘Bani Israel’ adalah manusia-manusia yang ada harga diri. Firaun tak akan mampu kerana pasti akan ada yang bangkit mempertahankan kebenaran.

7.       Contoh mudah, kisah Sayyidina Umar Al-Khatab, seorang wanita dan mahar. Umar yang juga khalifah ketika itu dalam khutbahnya telah menetapkan nilai mahar. Maka sesiapa yang meletakkan lebih tinggi daripada nilai tersebut akan diserahkan bakinya ke Baitul Mal. Tiba-tiba, bangkit seorang wanita, “Apakah kau mengharamkan apa yang dihalalkan Allah?” kerana Allah telah menyatakan dalam surah an-Nisa ayat 20, tidak dibenarkan mengambil kembali mahar yang telah diserahkan. Bahkan mahar adalah hak seorang wanita untuk menentukannya. Keberanian wanita yang berpegang teguh pada kata Allah dan Rasul ini, menyebabkan beliau bangkit dan menegur seorang Umar. Seorang Umar, yang syaitan sekalipun tak akan lalu lorong yang telah beliau lalu. Tambah menakjubkan khalifah kedua umat Islam ini dengan mudah menerima kebenaran daripada rakyat dibawah pemerintahannya. Isunya di sini, bukan sahaja Sayyidina Umar adalah ‘khalifah yang diberi petunjuk’  tetapi rakyatnya juga bukan ‘Bani Israel’ yang tak ada harga diri, yang tak kenal jati diri. Wanita itu bangkit mempertahankan kebenaran kerana tahu harganya sebagai seorang Muslimah. (ada pihak berpendapat kisah ini 'lemah').

8.       Contoh yang lebih dekat lagi, adalah organisasi/persatuan dikeliling kita. Mana-mana organisasi yang islami gaya fikirnya, pemimpin dan yang dipimpin, akan membawa nilai yang serupa dalam kisah ini. Pasti pimpinan tak akan sewenang-wenang menyalahi perintah Allah. Jika tersadung sekalipun, pasti ada yang bangkit mempertahankan keislamian gaya fikir mereka.

9.       Maka kedua-dua faktor iaitu pemimpin dan yang dipimpin ada peranan masing-masing dalam mengangkat ‘harga’ masyarakat. Tidak keterlaluan jika saya katakan, siapa di atas mencerminkan siapa di bawah. Mungkin kita mula menunding jari kepada orang lain disekeliling kita,
“Kaulah orang bawah yang menyebabkan orang sekian,sekian naik atas, menyebabkan sekularisme berleluasa, menyebabkan sistem ekonomi penuh riba. Aku juga kena tempias!” tetapi hakikatnya apabila masyarakat hilang jati diri dan diperhambakan pemikiran thaghut kitalah yang harus semak diri kita. Sejauh mana telah kita sampaikan kepada mereka? Sejauh mana kita telah cuba menyedarkan mereka yang terbelenggu. Sejauh manakah kita berperanan seperti nabi Musa yang bukan sekadar berdepan dengan Firaun tetapi turut cuba menjernihkan gaya fikir Bani Israel.

 Dakwah! Sedang mereka melihat thagut itu indah dan mempesona. 

Saturday, April 28, 2012

Mengundur tak boleh nak menapak tak berani



  • Perbualan dua adik-beradik sekeluarga. Keluarga mereka kecil. Namun tetap sama-sama menggenggam tangan mendepani mara bahaya yang mendatang. Katanya, adik-beradik ini sangat ingin dunia ini kembali bercahaya. Cahaya yang menyinari teman dan menyilau musuh. Mereka yakin hanya hanya satu cahaya yang mampu menerangi kekelaman dunia. Nur a3la nur. Cahaya di atas cahaya. Cahaya yang hanya tampil setelah percaya menjadi usaha. Teori jadi praktik. Mereka ingin sangat melihat jiran-jiran saling melemparkan senyuman apabila bertemu di jalanan, tiada yang kesempitan hingga menadah-nadah tangan meminta bantuan manusia, ingin kebenaran berdiri dan selainnya tertiarap. Mereka ingin setiap mata bersenang-senang dengan nikmat bayangan syurga. Setiap wajah yang ditatap melonjakkan iman dan menambah kerinduan pada syurga. 

    P: akkk
  • dah takde masa utk kata kita tak berrseedia
    • cuma tinggal ruang2 utk terus tasyji3 diri jeeee
    • semoga Allah teruskan thabatkan hati kita utk mmpu terima taklifan
    • nak undur tak boleh, nak menapak tak berani
    • kat mana kita?
    • antara syurga dan neraka



      Rupanya usaha mengembalikan cahaya yang pernah hadir menyinggah bumi 1400 tahun lalu perit dan penuh cubaan. Namun mereka telah berjanji dan saya doakan mereka termasuk: