Tuesday, November 20, 2012

Kerana itu, aku bersyukur



"Malamnya bagai rahib merintih sayu, 
Dihiris dosa air mata,
Siangnya bagaikan singa di rimba,
Memerah keringat meluah tenaga"

~sunnah berjuang

10 tahun lalu, saya asyik sekali melayan lagu-lagu dakwah Nada Murni. Antara percaya dan tidak akan kewujudan figura-figura mujahid dalam lagu-lagu itu tetapi sungguh, saya asyik.

Perlahan-lahan saya menjejak jalan. Tatkala mendengar tentang perjuangan Ikhwanul Muslimin ketika sekolah menengah yang saya kurang periksa daripada mana, akal saya beberapa kali mendetikkan persoalan-persoalan tentang mereka dan apa yang mereka bawa, namun akhirnya berlalu tanpa jawapan.

Saya ingat sekali saat menelaah tentang Imam Hassan Al-Banna dalam buku Pendidikan Quran dan Sunnah tingkatan lima, saya khusyuk memberi tumpuan. Buat kesekian kalinya hati saya berkata, siapa dia?

Saya dihadiahkan helaian Sekuntum Mawar Berduri, tulisan Fatimah Syarha oleh seorang guru pelatih Fizik. Saya dibalut cemburu pada watak-watak yang punya masul yang berkongsi rahsia hidup, perjuangan. Rabitah usrah yang utuh. Saya tak punya itu ketika bersekolah. Hingga saya takjub saat itu, hal cinta pun dibawa ke halaqah dan dibincangkan dengan penuh matang. Saya fikir itu hanya angan-angan, kalaulah!

Saat cuti menanti keputusan SPM, saya disarankan kawan baik saya Umairah untuk membaca buku Tautan Hati tulisan Fatimah Syarha. Seusai itu, saya mengagumi sosok Asiah Yusro yang giat pergi bilik ke bilik di mahallah UIAM untuk menawarkan halaqah membina iman. Ditolak, dihambur kata-kata kesat. Baru kini saya mengerti mengapa segigih itu dia mencintai manusia-manusia disekelilingnya. Menyampaikan dakwah secara fardi, kepada seorang demi seorang.

Semua itu dulu. Lafaz syukur yang tak mungkin akan setimpal dengan nikmat yang dikurnia. Jalan ini ditemukan Allah kepada seorang demi seorang dengan cara yang berbeza. Pesoalannya bukan bila dan bagaimana tetapi apa yang dilakukan sebagai tanda syukur.

Adakah kita ingin memberi sebahagian saja daripada diri, dan sebahagian lain disimpan buat menjamah lazatnya nikmat-nikmat dunia. Andai itu yang berlaku, percayalah kita pasti akan menyesal! Dikisahkan beit muslim Sayyidina Ali dan Fatimah. Saat itu mereka dihadiahkan sebuah makanan lalu dibedak-bedakkan kepada tetangga sebagaimana lazimnya amalan para sahabat.

Lalu ditanya kepada Sayyidatina Fatimah, "Apa yang tinggal untuk kita?"
Sayyidatina Fatimah menunjukkan sebahagian kecil bahagian.
Kata Sayyidina Ali, "Semua untuk kita, kecuali yang ini."

Semua yang disedekahkan kerana Allah telah dijamin ganjarannya yang kekal, sedang yang masih kita simpan untuk diri kita belum tentu milik kita.

Nikmat memahami agama ini tanpa tasyadud (berlebihan) atau ringan dan longgar, adalah satu nikmat yang mahal di zaman fitnah ini.


عن معاوية رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم 
" من يرد الله به خيراً يفقهه في الدين ". رواه البخاري، ومسلم
Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, difaqihkan(fahamkan) agamanya.


Di saat fikrah manusia bercampur-baur. Pertarungan bukan lagi antara hitam dan putih, tetapi putih-kelabu, putih-krim. Muncul fikrah Islam liberal, Islam moderat dan apa-apa sahaja ideologi yang menyandarkan dirinya dengan Islam namun pastinya tidak sesekali! Islam bukan A+B atau Islam + X. Islam adalah Islam. Tidak ada penambahan atau penolakkan. Tidak kurang dan tidak lebih. Ambil semuanya atau sesekali jangan gelarkan itu Islam.

ياأيها الذين آمنوا ادخلوا في السلم كافة ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين
Wahai orang-orang beriman, masuklah Islam sepenuhnya dan janganlah ikut jalan-jalan syaitan. Sesungguhnya dia bagimu, musuh yang nyata.

Legasi perjuangan ini diwarisi daripada baginda Ar-Rasul. Batonnya bergerak merentas waktu dan sempadan hingga kini diwariskan kepada kita. Ambillah dengan penuh kuat dan tabah. Saat dunia menghindar, kita mara ke depan dan mengangkat bendera kebenaran. Yang kita kendong itu adalah cahaya harapan umat. Samada mereka sedar atau tidak, terima atau tolak, kita akan terus melangkah kerana yang kita inginkan bukan mereka, bukan nama, bukan pengiktirafan manusia. Semata-mata redha Allah seperti yang dihadiahkan kepada para sahabat,

رضي الله عنهم ورضوا عنه
Allah redha akan mereka dan mereka redha akan Allah.

Ya pasti. Saya yang tertatih ini telah melakukan banyak kesilapan. Berkali-kali terjatuh. Dihindar orang. Terkadang qudwah tercalar dek lemahnya sebagai manusia dan hamba Tuhan. Tak menagapalah, jika itu yang saya mampu persembahkan untuk agama ini maka saya bersama kelemahan-kelemahan saya ini tetap akan terus melangkah membawa agenda warisan ini. Cuba membaiki diri dari masa ke masa. Anda yang jauh lebih hebat, pasti boleh melakukannya!

Apakah sukar sekali menjadi hamba yang bersyukur?

 .

No comments :