Monday, November 26, 2012

Al-Quds: Labbaikallah

"Labbaikallah!" =)



Adib hangat sekali mendengar ucap tama Barrack Obama ketika lawatannya ke Thailand,
“Amerika Syarikat sepenuhnya menyokong tindakan penceroboh Israel, atas alasan mempertahankan diri sendiri.”
“Hangat, hangat!”
“Apa yang hangat? Suhu dah mencecah 26 darjah Celcius,” sahut Faris.
“Presiden US yang seorang itulah. Ilmu logik mana yang dipakainya sampai boleh jadi presiden US untuk penggal kedua? Logik sangatlah kalau Israel pertahankan diri dengan bunuh anak-anak. Tak faham, tak faham….”
“Logik ilmu penjajahlah Adib. Logik sekali untuk mereka,” balas Faris.
“Patut kita bom sahaja syaitan dua beradik itu,” Adib mengepal-ngepal penumbuknya.
Haziq tiba daripada belakang menatang dulang berisi teh susu panas dan keledek goreng.
“Mampu?” tanya Haziq.
Adib menggeleng-geleng kepala. Umat Islam masih ketinggalan di sudut ketenteraan. Sejata nuklear buatan Iran mungkin sedikit melegakan namun krisis syiah dan polisi Iran dengan Gaza yang di bawah pimpinan HAMAS masih tidak dapat dipastikan.
“Semalam tengok video Dr. Raghib Sarjani. Dikisahkan kata-kata seorang Yahudi, jika saf umat Islam ketika solat subuh berjemaah menyamai solat jumaat, Israel akan tumbang. Isunya bukan pada bilangan saf solat. Isunya pada jiwa-jiwa yang sanggup tinggalkan gebar dan selimut untuk solat. Tinggalkan nikmat tidur untuk sesuatu yang sangat lazat. Menghadap Allah,” kata Haziq. Tangannya menuang teh susu yang masih berwap ke dalam tiga mug.
“Firman Allah dalam Al-Muzammil, wahai orang-orang yang berselimut. Bangunlah untuk solat pada malam hari kecuali sebahagian kecil.”
“Sedikit sahaja yang menyahut seru bangun solat ini. Sebab susah nak putuskan mimpi-mimpi yang indah. Apatah lagi musim sejuk.”
Faris dan Adib terus memasang telinga.
“Kita memang berharap, akhirnya kita mampu berdepan secara langsung dengan mereka. Tidaklah selamanya berhutang maruah pada HAMAS sahaja sebagai frontliners. Nak juga wakil-wakil daripada negara umat Islam yang lain. Namun, dalam tempoh ini, kitalah yang harus menjadi dan mencari siapa calon-calon syuhada al-muntazhir[1]. Hingga akhirnya masyarakat disekeliling kita adalah orang-orang yang jika di seru mempertahankan agama, jawabnya Labbaikallah[2]! Ubah diri, ubah jiwa sebab Allah tak akan ubah nasib umat kita ini selagi umat ini tak ubah jiwa mereka. Jiwa saya, Abang Faris dan Adib. Biar kita jadi sekental saudara frontliners kita di Gaza.”
Jeda. Tiba-tiba…
“Jangan subuh gajahlah!” usik Faris.
“Woi!” Adib baling bantal, Faris mengelak. Adib mengangguk kepala seraya menghirup teh susu panas.
Pecah tawa.
***
‘Daripada mukmin yang ramai itu, ada rijal yang telah membenarkan perjanjiannya dengan Allah. Dan dalam kalangan mereka ada yang telah gugur dan ada dalam kalangan mereka yang masih menunggu. Dan mereka sedikit pun tak akan menukar janji itu.’
Haziq menghabiskan ayat ke 23 daripada surah Al-Ahzab seraya memejam mata dan mengerut-ngerut dahi.
‘Andai di belakang aku ini F-16 buatan US itu, aku akan mara atau mengerekot ketakutan?’ akalnya mula bicara.
F-16 yang mungkin sekali sumbangan umat dunia kepada Israel melalui agen-agen ekonominya tanpa malu meratah tubuh kecil di pinggir Gaza. Agen makanan segera, rokok, minuman berkabonat. Semua itukan hasil sumbangan umat ini? Ironi sekali. Minum Coca-Cola sambil memakai butang di baju bertulis,
‘Kita akan solat di Al-Quds tidak lama lagi’.
Haziq menggeleng-gelengkan kepala. Dia tutup quran terjemahan lusuh itu. Quran terjemahan yang diangkut kemana-mana sejak kaki menjejak ke bumi Nil ini. Musim sejuk sudah tiba. Mentari segan-segan memunculkan diri. Malam panjang. Sebentar lagi azan subuh bakal berkumandang. Haziq pantas mengejutkan teman sebiliknya Faris.
“Abang, bangun perang!” usiknya dalam mamai Faris.
Faris sekadar tersenyum sambil menggosok-gosokkan mata lalu beredar ke tandas. Lampu di depan sudah cerah. Adib sedang menghabiskan muka surat ketiga daripada surah Al-Kahfi. Pernah katanya,
“Aku ini pemuda kahfi. Tak gentar walau siapa jua.”
Adib bangun awal hari ini. Haziq melemparkan senyuman pada Adib.
“Tahniah!”
Adib sengih.
“Pemuda Kahfi sambut seruan jihad!” balasnya.
“Tak akan pemuda Kahfi kalah dengan gebar dan bantal,” balas Haziq.
Pintu rumah dikunci.
Hayya ‘ala solah, hayya ‘alal falah
Labbaikallah[2]!

[1] Syuhada al-muntazhir: Syuhada menanti
[2] Labbaikallah: Aku sahut ya Allah

http://ismamesir.com/v2/2012/11/al-quds-labbaikallah/

No comments :