sumber: internet |
Tidak semua mampu menangis
Begitu gemulah Atuk yang bersipongang di telingaku
Hingga hatiku membengkak
Sarat isinya air mata yang tertahan
Bagai awan kumulus gempal di langit gelap
Namun hujan masih tidak turun-turun
Atuk tambah
Air mata itukan hadiah
Orang tua berdarah pendekar ini masih saja membebel sendiri
Aku memejamkan mata dan bersiul perlahan
Entah apa yang ku tahan
Mungkin darah pendekar atuk mengalir pekat dalam darah
Lagi-lagi dia aku salahkan
Sedang dia sujud berembun pada Pencipta
Janggut putihnya basah dek air mata
Mengingatkan aku Tuan Al Farouk
Khalifah kedua itu
Tidak semua mampu menangis
Aku masih cuba menelan kalimat itu
Pahit air liur aku telan
Atuk kata
Bukan muslim kalau penipu
Aku tak mahu menipu diri menangis sedu-sedan
sedang mata itu masih saja liar
Tapi atuk bilang
Untuk yang ini kau boleh menipu
Perlu menipu
Bukankah air dari mata itu milik Dia?
Kali ini atuk senyum
Tangan tuanya mengusap belakangku
Seolah-olah cuba mengesan bahagian hati yang mana
Yang degil benar
Kata akhir atuk
Lainlah kalau kau dah tak kenal
Dia…
No comments :
Post a Comment