Wednesday, June 27, 2012

Kakak seindah sederhana


sederhana, namun indah ~sumber: FB



Dia sederhana saja. Dengan blouse longgar ataupun t shirt dipadankan dengan kain  berpotongan lurus, tudung dipinkan ke bawah, kaca mata dan senyuman. Ya, senyuman yang mencerahkan. Entah kenapa, ingatanku padanya tak lekang walau kami dipisahkan rantau, masa dan cerita. Mungkin sekali aku yang bertepuk sebelah tangan. Aku tak kisah. Padaku, dia antara sosok yang bertanggung-jawab membawa aku ke muka pintu dakwah. Dia ada saat aku rasakan realnya lagu-lagu nada murni. Sunah berjuang, nun di sana dan lain-lain. Imaginasi aku tentang mujahid dakwah dijelmakan depan mata. Mungkin tidak sesempurna yang aku bayangkan, tetapi cukup bagi aku sekadar kalimah, “Ada!”

Ada manusia yang mewakafkan hidupnya di jalan Allah. Tak dikenali manusia, tidak popular. Mesra, menyentuh hati, murah senyuman. Ada, yang sungguh mengesani hatiku. Masih aku ingat bagaimana mencurah-curah air mataku turun di petang asar itu, tidak dapat menahan rasa terharu bahawa Allah telah membuka satu lagi pintu rahmatNya untuk aku menyentuh pintu-pintu dakwah yang ditunjukkan kader-kaderNya. Ya, memang kemudiannya aku bergabung dengan yang lain, namun masih pada matlamat akhir yang sama, semangat yang serupa meski cara berbeza. Mungkin ini yang membuatkan aku mampu tunduk hormat pada mereka dan ringan berlapang-dada.

Dia antara sosok yang memberi inspirasi. Menjemput aku pergi balik dengan kenarinya. Setia. Dia membaktikan hujung minggunya untuk kami si adik-adik. Aku tahu ada yang masih kekal di jalan ini, ada yang sudah bertebaran. Namun, aku yakin Allah tetap akan memanjangkan pahalanya. Betapa besar jasanya padaku. Menerima aku bertatih di lamannya sebelum aku berangkat ke bumi ribath ini. Dan akhirnya dia telah berjodoh dengan akh yang turut berjasa padaku. Senyumku sampai ke telinga mendengar khabar itu. Moga Allah sudi memanjangkan langkahnya di jalan ini hingga ke syurga.

Moga bercahaya hidupmu J Sungguh aku sampaikan salam pada langit subuh Kaherah, biar awannya menaungi kau sekeluarga.

No comments :