Monday, April 30, 2012

An Naziat untuk kita


1.       Sayyid Qutub dalam Tafsir fi Zilalil Quran mengulas kata-kata Firaun dalam Surah An-Naziat ayat 24 :

lalu dia berkata " Aku Tuhan kamu yang tertinggi"




Firaun berkata begitu atas kelalaian rakyat jelata (Bani Israel), tertipu dengan ketaatan dan kepatuhan mereka.

2.       Kata As-syahid lagi: Merekalah (Bani Israel) yang beri belakang mereka untuk ditunggang, beri leher untuk ditarik, tundukkan kepala untuk dilangkah dan mereka serahkan kemuliaan dan kehormatan untuk dilakukan sewenang-wenangnya.

3.       Setiap kisah dalam al-quran signifikan di setiap zaman. Berapa ramai Firaun dan Bani Israel pada zaman ini?

4.       Firaun digelar sebagai seorang yang thogut; yang didefinasikan oleh As-syahid Sayyid Qutub sebagai mereka yang melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan kehendak Allah. Berapa banyak thagut yang berleluasa dalam masyarakat kita, masyarakat muslim khususnya? Masyarakat muslim yang majoritinya diwakili Melayu di Malaysia?

Thogut pemikiran; pluaralisme, liberalisme (semuanya anak cucu sekularisme).
Thogut kepimpinan; rasuah, kroni.
Thogut akhlak; bahasa porno, claim lebih daripada hak, plagarisme, bohsia. 

5.       Bani Israel digelar sebagai kaum yang ghaflah yang bermaksud lalai. Atas kelalaian ini mereka dipijak-pijak Firaun. As-Syahid Sayyid Qutub cuba sampaikan betapa krisis masyarakat ini tidak berlaku kerana kejahilan atau kezaliman sebelah pihak sahaja. Ada faktor ‘penolak’ dan ‘penarik’. Bani Israel ada saham yang perlu dipertanggungjawabkan atas apa yang menimpa mereka. Kelalaian mereka, hati yang kosong daripada iman menyebabkan mereka mudah untuk ditunggangi. Betapa ramai ‘Bani Isarel’ yang bergerak dalam masyarakat kita. Mereka yang sibuk dengan arus hidup sendiri. Mengejar ringgit-ringgit untuk menempah bahagia sementara, malah tidak terjamin. Mereka-mereka ini dibeli jiwa dan harga diri dengan wang. Contoh mudah, rasuah!

6.       As-syahid Sayyid Qutub berpendapat, Firaun-firaun ini tak akan mampu melontarkan kata-kata takbur dan buruk seperti ayat tadi, jika ‘Bani Israel’ adalah manusia-manusia yang ada harga diri. Firaun tak akan mampu kerana pasti akan ada yang bangkit mempertahankan kebenaran.

7.       Contoh mudah, kisah Sayyidina Umar Al-Khatab, seorang wanita dan mahar. Umar yang juga khalifah ketika itu dalam khutbahnya telah menetapkan nilai mahar. Maka sesiapa yang meletakkan lebih tinggi daripada nilai tersebut akan diserahkan bakinya ke Baitul Mal. Tiba-tiba, bangkit seorang wanita, “Apakah kau mengharamkan apa yang dihalalkan Allah?” kerana Allah telah menyatakan dalam surah an-Nisa ayat 20, tidak dibenarkan mengambil kembali mahar yang telah diserahkan. Bahkan mahar adalah hak seorang wanita untuk menentukannya. Keberanian wanita yang berpegang teguh pada kata Allah dan Rasul ini, menyebabkan beliau bangkit dan menegur seorang Umar. Seorang Umar, yang syaitan sekalipun tak akan lalu lorong yang telah beliau lalu. Tambah menakjubkan khalifah kedua umat Islam ini dengan mudah menerima kebenaran daripada rakyat dibawah pemerintahannya. Isunya di sini, bukan sahaja Sayyidina Umar adalah ‘khalifah yang diberi petunjuk’  tetapi rakyatnya juga bukan ‘Bani Israel’ yang tak ada harga diri, yang tak kenal jati diri. Wanita itu bangkit mempertahankan kebenaran kerana tahu harganya sebagai seorang Muslimah. (ada pihak berpendapat kisah ini 'lemah').

8.       Contoh yang lebih dekat lagi, adalah organisasi/persatuan dikeliling kita. Mana-mana organisasi yang islami gaya fikirnya, pemimpin dan yang dipimpin, akan membawa nilai yang serupa dalam kisah ini. Pasti pimpinan tak akan sewenang-wenang menyalahi perintah Allah. Jika tersadung sekalipun, pasti ada yang bangkit mempertahankan keislamian gaya fikir mereka.

9.       Maka kedua-dua faktor iaitu pemimpin dan yang dipimpin ada peranan masing-masing dalam mengangkat ‘harga’ masyarakat. Tidak keterlaluan jika saya katakan, siapa di atas mencerminkan siapa di bawah. Mungkin kita mula menunding jari kepada orang lain disekeliling kita,
“Kaulah orang bawah yang menyebabkan orang sekian,sekian naik atas, menyebabkan sekularisme berleluasa, menyebabkan sistem ekonomi penuh riba. Aku juga kena tempias!” tetapi hakikatnya apabila masyarakat hilang jati diri dan diperhambakan pemikiran thaghut kitalah yang harus semak diri kita. Sejauh mana telah kita sampaikan kepada mereka? Sejauh mana kita telah cuba menyedarkan mereka yang terbelenggu. Sejauh manakah kita berperanan seperti nabi Musa yang bukan sekadar berdepan dengan Firaun tetapi turut cuba menjernihkan gaya fikir Bani Israel.

 Dakwah! Sedang mereka melihat thagut itu indah dan mempesona. 

No comments :