Sunday, May 20, 2012

Kisah air daripada mata


Jangan bersedih: kerana kesedihan melemahkan engkau untuk beribadah, melumpuhkan engkau untuk  berjihad, mewariskan engkau akan kehampaan, memanggil-manggil engkau untuk berburuk-sangka dan mencampak engkau ke daerah pesimis.

Safiyyah melabuhkan pandangan pada Nil yang tak henti-henti mengalir. Akal fiksinya menerawang. Andai sahaja ada hikayat Mesir Purba, dan Nil ini adalah air mata para ibu tentu sahaja aku percaya. Cukup luka hatinya melihat air jernih mengalir di pipi seorang ibu. Bahkan yang lebih melukakan, air mata itu diiring senyuman. Seorang ibu kepada anak comel yang membusung perutnya. Apa kata orang di hospital? Ya, ascitis. Hati anak itu rosak. Safiyyah kata, jangan kau salah tafsir kawan. Hati maknawinya tidak kotor, bahkan suci. Hati yang di bawah peparu itu yang rosak.

Safiyyah rawan mengenangkan ini bukan air mata yang pertama bahkan insyaAllah bukan yang terakhir yang akan dihadapkan kepadanya. Hari-harinya kelak akan berdepan lagi dengan kisah air mata. Dia seolah-olah diasak-asak dengan satu persoalan,
“Nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?”

Safiyyah memejamkan matanya yang sudah mula berair. Lagi wajah ibu itu berlegar-legar dengan tenang menyatakan,

“Tiga anak perempuanku sudah pulang bertemu Allah .”

Wahai ibu, dari mana datangnya tenaga itu? Kuasa apa yang mencampak tenang itu? Memang beliau sedang diuji. Keempat-empat anaknya menghidap masalah kesihatan atas sebab genetik.

Safiyyah dalam gigil angin Kaherah mengusap air mata cemburu yang setitis demi setitis jatuh mengalir bersama Nil. Cemburu amat akan si ibu. Kesedihan tak menjadikannya lupa Tuhan. Masih waras dan menyimpan harapan untuk yang keempat kembali sihat. Itu azimat kental ibrah daripada proses kelahiran yang menyakitkan. Sungguh, sakit bertarung dengan nyawa namun akhirnya tangisan si bayi ternyata ubat mujarab buat ribuan salur darah yang terputus. Setiap kesakitan bakal lahir daripadanya harapan.
Sesungguhnya bersama sesuatu kesusahan itu kesenangan yang luas.

Jangan bersedih: Sesungguhnya Allah bersama engkau, para malaikat memohon ampun bagi engkau, dan para mukmin menyertakan engkau dalam doa mereka di setiap solat, Nabi S.A.W memberi syafaat , Quran menjanjikan engkau akan janji yang benar dan yang lebih baik daripada semua ini rahmat daripada Arham Ar-rahimin.

Safiyyah menyelak helaian demi helaian buku La Tahzan karangan Dr. Aidh Al-Qarni. Ternyata daerah air mata menjadi modal penulis hebat ini. Ternyata Allah meraikan daerah air mata. Terbentang 1001 ayat pujukkan daripada Allah.

2: 153 :Sungguh Allah berserta orang-orang yang sabar
2: 186 : … maka sesungguhnya aku dekat.
2:124 : …sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
3:123 : … Allah telah menolongmu dalam perang Badar padahal kamu dalam keadaan lemah. Kerana itu, bertawakal kepada Allah…
3: 173 : … “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik Pelindung.

Baru surah ke 3. Safiyyah menyanyi-nyanyi kecil, asma ul husna versi Sami Yusuf. Apa yang tiada pada Tuhan kita yang Maha Hebat ini. Azhim! Dengan WadudNya, RahmanNya, RahimNya, HalimNya.

Kehalusan rasa bukan suatu kekurangan. Begitu Safiyyah menyimpulkan. Membuang jauh kegoan pada Tuhan. Mengembalikan hamba pada hakikat penciptaan.

Mentari Kaherah bakal tenggelam, memanggil-manggil Safiyyah untuk pulang. Kering air mata disejat udara sejuk. Sekalipun air daripada mata disorok jauh ternyata ia ada. Kisah air ini akan menemani perjalanan menuju Tuhan.


Musim sejuk 2012 kaherah.

Selamat menyelam dalam Paeds pula, Pembuka-pembuka  Gen07!

No comments :