Friday, March 25, 2011

Seperti serikandi


Bismillahirrahmanirrahim,


Dia Yang Maha Penyayang dan Dia juga Yang Maha Perkasa,

Rabbana lakal hamd, masuk hari ke tiga di bumi Mesir. Belum sempat menjengah Nil. Hampir selesai membasmi pasir dan habuk, telah membuang sebuah periuk nasi yang berkulat berulat sebanyak nasi untuk 3 orang makan, gara-gara terpaksa meninggalkan rumah secara pantas ketika pra-evakuasi Ops Piramid.

Jom mulakan hidup baru!

Menyuntik semangat baru, saya teringin berkongsi tentang buku di atas yang baru saya tamatkan dalam perjalanan ke KLIA.

Rabiatul Adawiyah, cintanya suci dan tulen pada Tuhan. Sejujurnya, saya masih terfikir-fikir bagaimana mampu RA membuang dunia daripada isi hatinya. Tidak sekelumit pun ada keinginan pada dunia. Tidak menoleh walau sejenak melainkan bercucuran air mata taubat. Saya masih boleh memahami kezuhudan dan wara3nya seseorang yang menolak makan, minum, harta dan pangkat, tetapi Rabiatul Adawiyah, cintanya total pada Allah sehingga tak mampu membahagi cintanya pada Tuhan walau dengan seorang insan yang bergelar suami.

Dalam setahun dua ini, isu kahwin dan jodoh hangat diperkatakan disekeliling saya. Mungkin kerana kami semua semakin hampir menamatkan sesi enam tahun pengajian yang berbaki 2 tahun setengah atau tempias daripada sahabat-sahabat sebaya dan junior yang semakin ramai mendirikan rumah tangga. Daripada isu sekecil-kecil mahu baju bagaimana hinggalah sebesar-besar bagaimana mengisi hadaf sebuah perkahwinan dibincangkan. Terdetik di hati saya bagaimana Rabiatul Adawiyah mampu mengasingkan bukan sahaja diri malah jiwa dan perasan ‘mahu seperti orang lain’. Bukan tiada yang merisiknya. Pinangan datang berisilih ganti. Datang daripada orang kebanyakan ditolaknya, kata orang dia mahukan yang kaya. Datang daripada seorang Sultan ditolaknya, kata orang dia mahukan yang alim beragama. Datang daripada ulama ditolaknya, kata orang dia tak mahukan sesiapa, hanya Cintanya. Ya Allah, i3brah besar buat kita semua.

Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji, sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. – An-Nur:26


Cubalah sedayanya menjaga kesucian diri dan hati kerana di situ terpancar keyakinan pada Ilahi.

Bukan bermakna Rabiatul Adawiyah menolak sunnah nabi tetapi beliau menetapkan tiga syarat pernikahannya yang seorang alim sekalipun tak mungkin mampu menunaikannya. Silalah baca buku di atas jika ingin mengetahui syarat pernikahan beliau.

Menyelusuri kisah hidup Rabiaatul Adawiyah yang dilahirkan dalam keluarga yang susah, dijual oleh sindeket penculikan sebagai hamba, diseksa dengan dahsyat, saya berpendapat beliau adalah manusia yang tak putus tali pengharapannya pada Tuhan. Tak pernah merasa sendiri.

Mengasingkan diri untuk beribadat bukan bermakna Rabiaatul Adawiyah menafikan kewajiban berdakwah. Beliau sendiri mengambil seorang gadis tinggal bersamanya sebgai anak muridnya. Rumahnya sering dikunjungi ulama-ulama besar Baghdad ketika itu. Berlaku diskusi ilmu dan majlis-majlis zikir.

Sungguh saya masih tak percaya (baca: taajub) dengan wujudnya sosok peribadi yang sangat mencintai Tuhan. Koreksi diri. Sila koreksi diri sendiri. Sungguh jika dalam diri wujud cinta Tuhan setiap masa dan setiap ketika,

‘Siapa lagi yang mampu berkata perkataan yang sia-sia?’

‘Siapa lagi yang mampu memandang wajah hero-hero kacak sekadar menjamu mata?’

‘Siapa lagi yang mampu berbelanja besar sekadar meraikan kehendak nafsu yang menggila?’


Rabiaatul Adawiyah menggantung sehelai kain putih di dalam rumahnya. Kain kafan. Buat peringatan untuk dirinya! Mungkin kalau kita sepatutnya dikorek lubang kubur di dalam rumah seperti amalan salafus soleh. Letakkan televisyen di depan lubang kubur, baru sedar yang mana boleh dilihat yang mana tidak!

Seperti serikandi,
Tak pernah rasa sendiri,
kerana cintaNya sentiasa di sisi!
 
ditulis: 11 Mac 2011

2 comments :

ittaqillah said...

memang menusuk ke hati..syukran ukhti habibati..

Puteri said...

syukran lillah ya ukht. ^^ doakan ana~