Semua inginkan peluang kedua. Semua, tiada terkecuali!
Bismillahirrahmanirrahim~
“Dia bukan Firaun.”
Anis menyelak jendela bilik tidurnya. Udara pagi segar menghembus masuk ke bilik. Hafiz masih nyenyak berkelubung gebar hijau. Subuh hampir berakhir, syuruk makin hampir. Bukan sekali ini subuhnya terbabas.
“Allahu akbar.”
Dalam-dalam Anis memujuk hatinya dengan menyebut nama Allah berulang-ulang kali. Al-Mathurat yang dihadiahkan Umi dibacanya perlahan-lahan. Merangkak-rangkak. Usia perkahwinan mereka menjejak dua tahun. Masih berdua juga. Tiada cahaya penyeri rumah itu. Mungkin belum rezeki mereka.
………………………………………………………………………………………………………………………………………………................
“Anis, nak jumpa akak kenapa?”
Anis hanya tersenyum. Bibirnya bergerak cuba menyusun kata-kata tetapi tiada upaya.
“ Anis, ada masalah? Boleh akak tolong?”
Kali ini kelopak matanya bergerak-gerak. Jauh mendongak ke langit biru mencari cahaya harapan. Tup, tetap jatuh titik jernih membasah mukanya yang putih bersih.
“Kak Umi, kenapa saya rasa sendiri? Akak kata Allah itu dekat?” terluah dua ayat pertama.
Umi mendaratkan tangannya ke bahu Anis. Diusap-usap belakang wanita itu. Dia tahu Anis perlukan reassurance. Bukan Anis berkrisis dengan Tuhan.
“Anis, dalam surah Al-hadid, ayat empat, Allah berkata: Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada. Dan Allah maha Melihat apa yang kamu kerjakan,” Umi menghela nafasnya lalu diraih tangan kiri Anis.
“Anis, cuba rasa denyut nadi Anis. Rasa tak?”
“Rasa, “ tiada lagi titisan yang mengalir di pipi.
“Pernah denyut nadi anis berhenti?” soal Umi.
“Mestilah tak pernah kak. Kalau tak, matilah Anis,” sudah mampu tersenyum.
“Kalau Allah tak ada dengan Anis, kalau Allah tak jaga Anis, sapa yang boleh make sure jantung tak ponteng buat kerja?”
Anis sudah boleh ketawa.
“Ada pula jantung tu ponteng? Semua makhluk Tuhan taat kecuali manusia dan syaitan,” tawanya masih bersisa.
“Dengan izin Allah jugak kan? Allah izinkan jantung Anisah Hamdan berdegup lagi. Itu bukan tanda Dia dekat ke sayang? Anis, Allah tak pernah lupakan kita tapi kita yang selalu lupakan Dia.”
“Akak, Anis rasa hidup Anis sunyi akak. Anis, kecewa dengan diri sendiri, dengan rumah tangga Anis. Anis rasa dah gelap hidup ni. Kalaulah..”
“Maksud hadis Nabi; berkalau-kalau membuka pintu syaitan. Anis, kenapa hukum diri sendiri sedang Allah menyediakan pengampunan yang luas buat hambaNya yang bertaubat? Let by gone be by gone. Bangkitlah Anis. Takkan selamanya Anis nak mengenang masa lalu. Yakinlah cinta Allah tu, akan merawat segala luka dan kesakitan. Cinta Allah sentiasa menanti. Selangkah Anis pada Dia, seribu kali Dia melangkah pada Anis.”
Kembali menitis.
“Akak, Anis nak macam orang lain. Anis nak bina keluarga yang baik. Sejak Anis kenal akak, banyak nama-nama tokoh Islam yang akak sebut. Anis nak anak Anis nanti jadi pembaik agama macam Solahuddin tapi Anis tak nampak jalan. Hafiz…”
Anis mengetap bibirnya.
“Akak, dia bukan imam yang baik.”
Anis tunduk. Kakinya menguis-nguis tanah.
“Anis, anugerah yang ditangguhkan Tuhan pasti lebih mahal harganya. Anis, selalu kata inginkan anak. Mungkin Allah tangguhkan dahulu supaya kalian berdua lebih bersedia. Supaya Solahuddin Anis nanti, lahir pada masa yang terbaik, keadaan yang terbaik.”
“Anis, kata Allah dalam surah Al-baqarah ayat 153: “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar.” Jangan putus-asa. Teruskan berdoa, teruskan berusaha. Pokok tak berbuah dalam sehari. Mungkin Hafiz perlukan masa untuk berubah. Minta sungguh-sungguh pada Tuhan. ”
Dakapan erat. Anis tahu, dia tak mampu berterima kasih atas nikmat yang Allah beri. Umi. Dia selalu ada di sisi sejak dua tahun lalu. Sejak dia ditimpa musibah itu, kerana perbuatannya sendiri.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji, sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. – An-Nur:26
Berulang-ulang dibaca ayat itu. Basah Al-quran terjemahan itu dengan air mata penyesalan.
“Allah, ampunkan Anis.”
Subuh bakal menjelang. Anis, tahu kehidupannya semakin terisi. Dia makin mengenal dirinya. Umi sekali-sekala akan membuat miscall sebelum subuh mengejutkan Anis untuk bangun malam bermunajat kepada Allah. Anis tahu, ini adalah bekalan mujarab buat dia meneguhkan dirinya yang bagai mati hidup semula.
Mereka dinikahkan pada malam itu juga selepas ditangkap berkhalwat di tepi pantai. Hanya berdua ditemani desiran ombak yang menggoda iman anak remaja. Mereka tak pernah bersunyi-sunyian seperti itu. Entah kenapa malam itu, dibiarkan saja nafsu menjadi raja. Niat di hati hanya ingin duduk berbual-bual melayan angin malam. Anis tahu mereka lupa syaitan peneman ketiga tetapi Allah masih sayang. Sangat Penyayang. Majlis Agama Pulau Pinang menangkap mereka dan dimaklumkan kepada keluarga masing-masing. Jauh di sudut hati Anis, terlafaz kesyukuran berulang-ulang. Jika tidak kerana musibah itu, mungkin musibah lebih besar yang menimpa. Anis tak sanggup menjadi perempuan murah.
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
Anis memecat telekung dan bingkas ke bilik air untuk memperbaharui wudhuknya. Azan subuh sudah berkumandang. Anis, menjengah ke bilik tidur untuk mengejutkan Hafiz. Anis, tak pernah gagal mengejut Hafiz untuk solat subuh. Kadang-kadang Hafiz bangkit. Tak kurang juga mendengus marah, terutamanya jika tidurnya lewat pada malam itu melayan bola di depan tv. Turun naik tetapi Anis tak pernah putus asa. Anis masih menaruh harapan pada Hafiz. Dia tahu, Hafiz sayang akan dia. Cuma, dadanya lompong didikan agama. Bukan salahnya seorang. Mungkin kerana keluarganya yang mengamalkan cara hidup bebas, pendidikan sekular totok. Sejak kecil menetap di Orvault. Baru lima tahun pulang ke Malaysia. Hafiz menghormatinya selama mereka berkenalan tetapi malam itu Anis gagal bertegas dengan dirinya sendiri. Anis terlupa langsung ayat: Jangan mengahampiri zina daripada surah Al-Israa ayat 32. Anis terlupa Allah menegah walaupun hanya menghampiri. Anis tahu cinta mereka bagai debu berterbangan andai tiada berkat daripada Tuhan.
Anis tak pernah ingin bercinta. Dia tahu batasan syariat. Dia belajar dahulu di sekolah tetapi di luar sana keadaan berbeza. Dia sendirian mempertahankan prinsip itu dan akhirnya dia akur dengan trend teman-teman sebayanya. Dia tunduk pada budaya ciptaan Thagut. Jiwanya memberontak untuk disayangi. Mujur Allah masih sayang. Sangat sayang.
Kosong. Hafiz tiada di bilik.
“Cari abang?”
Wajah Hafiz dibasahi wudhuk. Tersenyum. Dia tak pernah menyesal mengenal Anis. Hafiz menghampiri Anis,
“Nah. Abang nak turun subuh kat bawah. Syafiq tunggu, ajak subuh sekali. Nanti abang beli sarapan,” Hafiz masih tersenyum. Melangkah ke pintu untuk berjemaah di surau apartment.
Anis terdiam. Sepucuk surat ditangan daripada Hafiz.
Anisah Hamdan,
Abang tak pandai nak berkata-kata. Terima kasih kerana tak pernah jemu kejut abang bangun subuh. Minta maaf kalau termarah kadang-kadang. Abang sayang Anis. Abang tahu impian Anis. Cuma abang minta Anis tak letih beri abang peluang dan masa untuk berubah. Terima kasih kerana tak henti-henti mendoakan abang. Abang macam budak kecil dalam Islam ni. Tak pernah belajar. Banyak yang tak tahu. Doakan abang ya sayang!
p/s: Never regret for being with you.
Gugur lagi. Air mata Anis gugur.
“Terima kasih Tuhan.”
Lama Anis tenggelam dalam sujud syukurnya pada Tuhan. Angin barakah mula menyapa cinta mereka. Moga redha dan ampunan Tuhan tak henti-henti bersama.
“Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingati Allah, lalu memohon ampun atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.” Ali Imran: 135
2 comments :
kadang kita terlupa yg Allah itu ada untuk diminta, dimanja, dan berharap.
"anugerah yg ditangguhkan itu tentu lebih indah.."
thanks, mira.
take care.
:D
Masih ada lagi peluang kedua, ketiga, keempat dan seterusnya...selagimana nyawa belum sampai di kerongkong.
Allahumma ighfirlana wahdina wa li jami' almuslimin.
Post a Comment