Hari ini saya ke Padang Terap, sekitar 45 minit perjalanan dari Alor Setar. Berdua ditemani sahabat. Menjalankan amanah Yayasan Maghfirah sebagai wakil I-Medik untuk menyerahkan sumbangan kepada seorang wanita yang diuji.
Beliau dikurniakan 2 orang cahaya mata. Namun bercerai taklik ketika dalam pantang dan disahkan menghidap Papillary Thyroid Cancer tidak lama kemudian. Menguruskan kedua-dua orang anak dalam keadaan berjuang melawan kanser bukanlah sesuatu yang mudah.
Beliau sudah berhenti kerja ketika hamil anak kedua akibat alahan yang teruk. Dengan harapan suaminya akan mengambil semula tanggung jawab menyara kekuarga. Namun harapkan pegar, pegar makan padi. Suaminya hilang tanpa jejak. Atau mungkin jauh disudut hati beliau juga tak sudi lagi menjejaki biawak hidup. Kemudian anak sulungnya didapati menghidap ADHD- attention deficit hyperactive disorder. Alhamdulillah, membaik sejak mengikuti terapi pemulihan.
Seketika fıkiran saya berputar-putar sekitar persoalan " Kenapa ini semua terjadi?"
Mungkin beliau tidak patut menikahi lelaki itu.
Mungkin beliau tidak patut meletakkan kepercayaan setelah dikhianati berkali-kali.
Mungkin beliau patut mengambil "contraception" selagi sang suami tak mampu memberi nafkah zahir dan mungkin batinnya- peranan memberi kasih dan mendidik isteri dan anak. Tiadalah 'beban' yang perlu dipikulnya.
Mungkin dan mungkin ini adalah kalau dan kalau.
Berkalau-kalau yang membuka pintu syaitan.
Mungkin saya ini ada kemungkinan telah lama bermain dalam fikiran beliau saat diri lemah akibat kesan radio-iodine therapy.
Namun, perancangan Allah Maha Hebat, cahaya mata yang hadir telah memberi cahaya untuk beliau bangkit berjuang. Tidak menyerah kerana adanya dua insan cilik. Beliau bangkit atas dasar tanggung-jawab. Bukannya untuk membela 'beban'. Jika tidak kerana dua insan cilik, mungkin beliau sudah kalah berjuang.
Kami hampir sebaya namun perjalanan yang jauh berbeza. Blessing in disguise. Setiap ketetapan Allah, ada hikmahnya. Kita mudah mengalami krisis percaya saat lemah diuji. Siapa yang hadir, bila, di mana sudah pun tersurat.
Kita adalah pemain, tugas kita adalah untuk menjalani kissah kita dengan sebaiknya.
"Pena telah diangkat dan lembaran telah kering"
عبْد الله بن عَبّاسٍ -رَضِي اللهُ عَنْهُما- قالَ: كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَوْمًا، فَقَالَ: ((يَا غُلاَمُ، إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ؛ احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ))
Abdullah bin ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhuma– menceritakan, suatu hari saya berada di belakang Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau bersabda, “Nak, aku ajarkan kepadamu beberapa untai kalimat: Jagalah Allah, niscaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, niscaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah. Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain dari apa yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan andaipun mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakanmu, maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.”
No comments :
Post a Comment