Thursday, June 20, 2013

ECG hidup




Matahari garang menyilau di celah-celah dahan. Nil berkilau. Mujur angin tidak turut garang. Sedang-sedang sahaja. Ami menekuni soalan ECG di tangan. Graf aliran elektrik jantung. Semakin ditekuni semakin asyik. Ami tak sedar berapa lama dia berteleku di pinggir Nil dengan buku ECG.

Sebatang tubuh melabuhkan punggung di sebelah. Ami mengangkat muka. Seulas senyuman dilemparkan dan kembali menekuni soalan ECG.

 Dua mangkuk ais krim buatan tempatan terhidang.

" Akak," perlahan suaranya sambil menjilat ais krim badam yang bersisa pada sudu.

"Ya Aliyah," Ami menyuap ais krim berperisa yogurt tempatan. Nikmat sekali lagaknya.

"Akak," semakin redup suara Aliyah.

Ami tutup buku ECG. Mengenjak sedikit. Betul-betul sebelah Aliyah.

"Kenapa Liya?" tangannya dilingkar ke bahu Aliyah.

"Kenapa hidup susah?" bukan sekali soalan itu dilemparkan kepada Ami.

"Baru call rumah?" Ami meneka.

Aliyah sekadar mengangguk. Ami telan air liur. Benar di luar kawalnya. Tak tahu bagaimana harus dibantu. Urusan keluarga, orang tua sering kali sukar diterka. Ribuan batu jauhnya tetap sahaja tidak mengurangkan perit hati Aliyah akan nasib keluarganya. Mereka semua sedang diuji Tuhan. Bukan ujian harta atau kesihatan. Ujian ikatan kekeluargaan.

Aliyah melabuhkan kepalanya ke paha Ami. Hangat air matanya. Paha Ami basah. Ami mengusap-usap kepala Aliyah. Diam seribu bahasa. Mungkin Aliyah mendengar pujukan Ami lewat usapannya. Semakin deras air matanya.

"Liya, dalam hidup ini, ada perkara dalam kawal. Ada perkara luar kawal."

"Liya dah tak terkawal Kak Ami. Semua benda yang Liya peluk, gugur satu-satu. Abah, mama."

"Liya dah peluk impian? Doakan impian yang diulang-ulang dalan senyap. Impian hamba yang disandarkan pada Tuhannya pasti dikabulkan. Allah dah janji kan Liya?"

Aliyah membisu.

"Liya."

"Liya tengah peluk akak."

Pecah tawa.

Aliyah yang tak pernah lekang senyum, seceria mentari. Sesekali mendung menyapa, hujan pun turun. Namun Aliyah masih pantas melukis pelangi.

 "Akak tak mampu bantu Liya, tapi akak mampu sebut nama Aliyah Husni dalam doa-doa akak."

Satu kesimpulan yang Ami belajar. Sekalipun ECG dilihat kompleks, namun bacaan arus kehidupan jauh lebih kompleks. Tiada formula tetap. Hanya perlu ditekuni dengan berjalan terus. Tiada alat yang dapat mengesan naik turun gelombang-gelombang kehidupan. Ianya difatwakan daripada hati.



2 comments :

ha|ana|zak25 said...



اللهم إنى أسألك قلبا سليما

Puteri said...

Allhumma amiin