Monday, November 26, 2012

Air mata dan syurga



Setelah beberap ketika, lalu air mata gugur akhirnya.

"Moga halangan-halangan kecil, tak meregut syurga daripada kita."

Cita-cita tak akan terpadam selagi cinta masih menyala.

Al-Quds: Labbaikallah

"Labbaikallah!" =)



Adib hangat sekali mendengar ucap tama Barrack Obama ketika lawatannya ke Thailand,
“Amerika Syarikat sepenuhnya menyokong tindakan penceroboh Israel, atas alasan mempertahankan diri sendiri.”
“Hangat, hangat!”
“Apa yang hangat? Suhu dah mencecah 26 darjah Celcius,” sahut Faris.
“Presiden US yang seorang itulah. Ilmu logik mana yang dipakainya sampai boleh jadi presiden US untuk penggal kedua? Logik sangatlah kalau Israel pertahankan diri dengan bunuh anak-anak. Tak faham, tak faham….”
“Logik ilmu penjajahlah Adib. Logik sekali untuk mereka,” balas Faris.
“Patut kita bom sahaja syaitan dua beradik itu,” Adib mengepal-ngepal penumbuknya.
Haziq tiba daripada belakang menatang dulang berisi teh susu panas dan keledek goreng.
“Mampu?” tanya Haziq.
Adib menggeleng-geleng kepala. Umat Islam masih ketinggalan di sudut ketenteraan. Sejata nuklear buatan Iran mungkin sedikit melegakan namun krisis syiah dan polisi Iran dengan Gaza yang di bawah pimpinan HAMAS masih tidak dapat dipastikan.
“Semalam tengok video Dr. Raghib Sarjani. Dikisahkan kata-kata seorang Yahudi, jika saf umat Islam ketika solat subuh berjemaah menyamai solat jumaat, Israel akan tumbang. Isunya bukan pada bilangan saf solat. Isunya pada jiwa-jiwa yang sanggup tinggalkan gebar dan selimut untuk solat. Tinggalkan nikmat tidur untuk sesuatu yang sangat lazat. Menghadap Allah,” kata Haziq. Tangannya menuang teh susu yang masih berwap ke dalam tiga mug.
“Firman Allah dalam Al-Muzammil, wahai orang-orang yang berselimut. Bangunlah untuk solat pada malam hari kecuali sebahagian kecil.”
“Sedikit sahaja yang menyahut seru bangun solat ini. Sebab susah nak putuskan mimpi-mimpi yang indah. Apatah lagi musim sejuk.”
Faris dan Adib terus memasang telinga.
“Kita memang berharap, akhirnya kita mampu berdepan secara langsung dengan mereka. Tidaklah selamanya berhutang maruah pada HAMAS sahaja sebagai frontliners. Nak juga wakil-wakil daripada negara umat Islam yang lain. Namun, dalam tempoh ini, kitalah yang harus menjadi dan mencari siapa calon-calon syuhada al-muntazhir[1]. Hingga akhirnya masyarakat disekeliling kita adalah orang-orang yang jika di seru mempertahankan agama, jawabnya Labbaikallah[2]! Ubah diri, ubah jiwa sebab Allah tak akan ubah nasib umat kita ini selagi umat ini tak ubah jiwa mereka. Jiwa saya, Abang Faris dan Adib. Biar kita jadi sekental saudara frontliners kita di Gaza.”
Jeda. Tiba-tiba…
“Jangan subuh gajahlah!” usik Faris.
“Woi!” Adib baling bantal, Faris mengelak. Adib mengangguk kepala seraya menghirup teh susu panas.
Pecah tawa.
***
‘Daripada mukmin yang ramai itu, ada rijal yang telah membenarkan perjanjiannya dengan Allah. Dan dalam kalangan mereka ada yang telah gugur dan ada dalam kalangan mereka yang masih menunggu. Dan mereka sedikit pun tak akan menukar janji itu.’
Haziq menghabiskan ayat ke 23 daripada surah Al-Ahzab seraya memejam mata dan mengerut-ngerut dahi.
‘Andai di belakang aku ini F-16 buatan US itu, aku akan mara atau mengerekot ketakutan?’ akalnya mula bicara.
F-16 yang mungkin sekali sumbangan umat dunia kepada Israel melalui agen-agen ekonominya tanpa malu meratah tubuh kecil di pinggir Gaza. Agen makanan segera, rokok, minuman berkabonat. Semua itukan hasil sumbangan umat ini? Ironi sekali. Minum Coca-Cola sambil memakai butang di baju bertulis,
‘Kita akan solat di Al-Quds tidak lama lagi’.
Haziq menggeleng-gelengkan kepala. Dia tutup quran terjemahan lusuh itu. Quran terjemahan yang diangkut kemana-mana sejak kaki menjejak ke bumi Nil ini. Musim sejuk sudah tiba. Mentari segan-segan memunculkan diri. Malam panjang. Sebentar lagi azan subuh bakal berkumandang. Haziq pantas mengejutkan teman sebiliknya Faris.
“Abang, bangun perang!” usiknya dalam mamai Faris.
Faris sekadar tersenyum sambil menggosok-gosokkan mata lalu beredar ke tandas. Lampu di depan sudah cerah. Adib sedang menghabiskan muka surat ketiga daripada surah Al-Kahfi. Pernah katanya,
“Aku ini pemuda kahfi. Tak gentar walau siapa jua.”
Adib bangun awal hari ini. Haziq melemparkan senyuman pada Adib.
“Tahniah!”
Adib sengih.
“Pemuda Kahfi sambut seruan jihad!” balasnya.
“Tak akan pemuda Kahfi kalah dengan gebar dan bantal,” balas Haziq.
Pintu rumah dikunci.
Hayya ‘ala solah, hayya ‘alal falah
Labbaikallah[2]!

[1] Syuhada al-muntazhir: Syuhada menanti
[2] Labbaikallah: Aku sahut ya Allah

http://ismamesir.com/v2/2012/11/al-quds-labbaikallah/

Tuesday, November 20, 2012

Kerana itu, aku bersyukur



"Malamnya bagai rahib merintih sayu, 
Dihiris dosa air mata,
Siangnya bagaikan singa di rimba,
Memerah keringat meluah tenaga"

~sunnah berjuang

10 tahun lalu, saya asyik sekali melayan lagu-lagu dakwah Nada Murni. Antara percaya dan tidak akan kewujudan figura-figura mujahid dalam lagu-lagu itu tetapi sungguh, saya asyik.

Perlahan-lahan saya menjejak jalan. Tatkala mendengar tentang perjuangan Ikhwanul Muslimin ketika sekolah menengah yang saya kurang periksa daripada mana, akal saya beberapa kali mendetikkan persoalan-persoalan tentang mereka dan apa yang mereka bawa, namun akhirnya berlalu tanpa jawapan.

Saya ingat sekali saat menelaah tentang Imam Hassan Al-Banna dalam buku Pendidikan Quran dan Sunnah tingkatan lima, saya khusyuk memberi tumpuan. Buat kesekian kalinya hati saya berkata, siapa dia?

Saya dihadiahkan helaian Sekuntum Mawar Berduri, tulisan Fatimah Syarha oleh seorang guru pelatih Fizik. Saya dibalut cemburu pada watak-watak yang punya masul yang berkongsi rahsia hidup, perjuangan. Rabitah usrah yang utuh. Saya tak punya itu ketika bersekolah. Hingga saya takjub saat itu, hal cinta pun dibawa ke halaqah dan dibincangkan dengan penuh matang. Saya fikir itu hanya angan-angan, kalaulah!

Saat cuti menanti keputusan SPM, saya disarankan kawan baik saya Umairah untuk membaca buku Tautan Hati tulisan Fatimah Syarha. Seusai itu, saya mengagumi sosok Asiah Yusro yang giat pergi bilik ke bilik di mahallah UIAM untuk menawarkan halaqah membina iman. Ditolak, dihambur kata-kata kesat. Baru kini saya mengerti mengapa segigih itu dia mencintai manusia-manusia disekelilingnya. Menyampaikan dakwah secara fardi, kepada seorang demi seorang.

Semua itu dulu. Lafaz syukur yang tak mungkin akan setimpal dengan nikmat yang dikurnia. Jalan ini ditemukan Allah kepada seorang demi seorang dengan cara yang berbeza. Pesoalannya bukan bila dan bagaimana tetapi apa yang dilakukan sebagai tanda syukur.

Adakah kita ingin memberi sebahagian saja daripada diri, dan sebahagian lain disimpan buat menjamah lazatnya nikmat-nikmat dunia. Andai itu yang berlaku, percayalah kita pasti akan menyesal! Dikisahkan beit muslim Sayyidina Ali dan Fatimah. Saat itu mereka dihadiahkan sebuah makanan lalu dibedak-bedakkan kepada tetangga sebagaimana lazimnya amalan para sahabat.

Lalu ditanya kepada Sayyidatina Fatimah, "Apa yang tinggal untuk kita?"
Sayyidatina Fatimah menunjukkan sebahagian kecil bahagian.
Kata Sayyidina Ali, "Semua untuk kita, kecuali yang ini."

Semua yang disedekahkan kerana Allah telah dijamin ganjarannya yang kekal, sedang yang masih kita simpan untuk diri kita belum tentu milik kita.

Nikmat memahami agama ini tanpa tasyadud (berlebihan) atau ringan dan longgar, adalah satu nikmat yang mahal di zaman fitnah ini.


عن معاوية رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم 
" من يرد الله به خيراً يفقهه في الدين ". رواه البخاري، ومسلم
Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, difaqihkan(fahamkan) agamanya.


Di saat fikrah manusia bercampur-baur. Pertarungan bukan lagi antara hitam dan putih, tetapi putih-kelabu, putih-krim. Muncul fikrah Islam liberal, Islam moderat dan apa-apa sahaja ideologi yang menyandarkan dirinya dengan Islam namun pastinya tidak sesekali! Islam bukan A+B atau Islam + X. Islam adalah Islam. Tidak ada penambahan atau penolakkan. Tidak kurang dan tidak lebih. Ambil semuanya atau sesekali jangan gelarkan itu Islam.

ياأيها الذين آمنوا ادخلوا في السلم كافة ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين
Wahai orang-orang beriman, masuklah Islam sepenuhnya dan janganlah ikut jalan-jalan syaitan. Sesungguhnya dia bagimu, musuh yang nyata.

Legasi perjuangan ini diwarisi daripada baginda Ar-Rasul. Batonnya bergerak merentas waktu dan sempadan hingga kini diwariskan kepada kita. Ambillah dengan penuh kuat dan tabah. Saat dunia menghindar, kita mara ke depan dan mengangkat bendera kebenaran. Yang kita kendong itu adalah cahaya harapan umat. Samada mereka sedar atau tidak, terima atau tolak, kita akan terus melangkah kerana yang kita inginkan bukan mereka, bukan nama, bukan pengiktirafan manusia. Semata-mata redha Allah seperti yang dihadiahkan kepada para sahabat,

رضي الله عنهم ورضوا عنه
Allah redha akan mereka dan mereka redha akan Allah.

Ya pasti. Saya yang tertatih ini telah melakukan banyak kesilapan. Berkali-kali terjatuh. Dihindar orang. Terkadang qudwah tercalar dek lemahnya sebagai manusia dan hamba Tuhan. Tak menagapalah, jika itu yang saya mampu persembahkan untuk agama ini maka saya bersama kelemahan-kelemahan saya ini tetap akan terus melangkah membawa agenda warisan ini. Cuba membaiki diri dari masa ke masa. Anda yang jauh lebih hebat, pasti boleh melakukannya!

Apakah sukar sekali menjadi hamba yang bersyukur?

 .

Tuesday, November 13, 2012

Waqfah November

Bismillahirrahmanirrahim...

Berderet draf minta disemak (edit) untuk publish. Namun, jiwa separa rasional, mengajak jari bermain-main di laptop ini. Ingin merangsang cas positif sebelum saya terus menelaah kitab clinical cardiology dan helaian sirah Syeikh Ali Solabi. 

Tahun Enam, sungguh...

Pengalaman baru. Lebih menghargai dewan kuliyah, beatbox Dr Ashraf Zaki The Legend. Pengalaman dakwah yang baru, amal yang lebih matang.

Ramai yang mengadu penat. Letih. Mencari-cari supplement. Geng pencatu makanan (geng diet) pun, agaknya harus bubar kerana hidup sehari-hari benar-benar menyerap tenaga. 

Kita melalui hidup sehari-hari. Menghadam sedaya mungkin ilmu di dewan kuliyah. Hingga kadang-kadang kita lupa, di sana ada sebab yang mengaitkan kerjaya kita dengan dakwah, iaitu qudwah. Lalu kaki diangkat pergi dan balik, tanpa sepicing rasa untuk mengesani manusia sekeliling dengan cahaya hidayah. Melayan rasa penat dan sibuk memungkinkan sekali untuk kita mentidakapakan orang disekeliling kita. Mana hilang senyumnya? Sudah makankah dia? Apa gersang imannya? Jika dibiar masa berlalu, maka akan terputuslah connection antara kita dan dia, maka walau mata bertentang mata tetap offline.


Menelusuri denai dakwah. Menguruskan kerja idari, mentadbir amal tarbawi, pasti menyerap tenaga dan masa. Jangan dibiar menjadi rutin tanpa jiwa. Haruslah menghayati setiap amal dengan roh perindu syurga, pencinta syahid. Dengan itu, setiap sengal-sengal menjadi hiburan, bibir ringan mengangkat senyuman. Baliklah atas tujuan asal kita menjejakkan kaki ke daerah ini. Bukan untuk menjadi jaguh atau penongkah arus tetapi semata-mata ingin menamatkan nafas sebagai hamba yang mampu mengulang kata-kata baginda di haji wida3, 

الا قد بلغت, اللهمّ فاشهد

Ayuh, terus menghidupkan malam-malam kita. Ayuh, menjaga amal-amal fardi kita. Berhati-hatilah daripada menjadi tong kosong, bising. Berkata mengiku nafsu. Hati penuh amarah dan dendam.

Menapaklah dalam kehidupan dengan penuh tenang. Melangkahlah dengan penuh hati-hati. Namun, siap-siaga membuka kuda-kuda. Semua orang hidup, semua orang penat.
Yang bezanya kenapa?

ورضوان من الله أكبر. ذلك هو الفوز العظيم
dan KEREDHAAN Allah itu lebih besar, itulah kejayaan yang agung!
~attaubah


walau tertatih kaki ini berjalan, jiwa perindu syahid tak akan tergoyahkan...



Monday, November 12, 2012

Bangkit



Kadang-kadang istilah all or none law, tak terpakai.
Kadang-kadang istilah accomplish or do not begin, tak terpakai.
Betapa cita-cita melangit adakalanya menerbangkan aku yang tiada kepak.
Seinci lagi hampir tersembam,
Mujur Allah mentsabatkan langkah
Idea escapisme mula menggodaku

Akhirnya ada kaedah syarak yang mengajar, 
ما لا يدرك كله لا يترك كله
Jika tidak dapat semua, jangan tinggal semua.
Aku bersandar kelegaan...sebentar

Pandanganku tembus di celah dua menara Masjid Nur
Aku kemudiannya menyenarai satu-persatu whishlistku di Mesir
Aku terkadang menggapai-gapai mencari nafas
Ada masa aku rasa ingin duduk di tangga Metro Damerdash dan tak bergerak-gerak
Sekadar memerhati manusia lalu-lalang 
dan aku bakal mencela diriku yang menyerah sebelum berjuang

Ini nota hati, seorang aku yang menghitung baki usia di Mesir tercinta
Aku berhutang seluruh hidupku dengan Mesir serta isinya
Bahkan aku berhutang akhiratku juga.

Aku tidak beriman dengan escapisme
Tidak
Setiap hari adalah hari baru.
Apa yang terlepas bukan rezekiku
Hari ini aku bangkit berjuang lagi!
dan esok, dan esoknya...