Thursday, May 31, 2012

Ekstrovert yang bisu



Biarlah saya menarik diri sebentar. Isu-isu panas itu benar-benar menyejat iman saya. Dengan bahasa-bahasa perlian bagai pengangur mencari pekerjaan, tak terjumpa lalu mengetuk gendang memberi isyarat pada orang-orang kampung bahawa dia sedang menganggur. Hingga saya yang mujur lalu terasa bingit. Terover dose agaknya saya berlama-lama di situ. Setelah membesarkan akal, berasa terhuyung-hayang. Hati dan anggota turut minta dibesarkan. Lalu iman memanggil pulang untuk saya selesaikan agenda yang lebih utama.

Juga menarik diri, bak kata Sayyid Qutub, beruzlah jiwa. Bersama manusia namun jiwa bersama Tuhan. Saya memang bukan Rabiatul Adawiyah tapi ruang untuk berusaha tak pernah Allah tutup bukan? Mengapa dirumitkan falsafah hidup yang ringkas? Allah mengganjar pada usaha bukan hasilnya. Mempraktikkan hadis berkata baik atau diam dan hadis meninggalkan perkara yang tidak berkaitan (rujuk hadis 40 imam Nawawi).

Juga konflik penting vs lebih penting haruslah saya tatapi dengan segenap tawakal. Menyerah sepenuh pengharapan, minta Allah menjadi pemutus mutlak dengan berlalunya masa. Allah mengajar saya erti tawakal dan percaya padaNya. Dulu saya guna-pakai kebanyakan masanya untuk peperiksaan. Ternyata kini kehidupan yang membesar skalanya melangkau dewan peperiksaan. Apa gunanya melayan rawan di hati, andai sedikit tak mengubah keadaan. Bukan sebaiknya sujud padaNya? Pasti. Dia pasti mengemukakan jalan yang terbaik. Saya hanya harus percaya!

Indahnya Mesir telah saya akui sejak awal kaki menjejakkan kaki ke bumi Sayyidina Musa ini. Kini saya sedang meneroka panorama Abbasiyah. Ternyata akan menjadi mimpi dan kenangan indah seorang dewasa seperti saya.

Apa-apalah saya menulis tanpa sebarang dalil dan hujah ilmiah. Mencatat itu dan ini pakai emosi semata. Namun jangan risau, ayat Allah ada dua. Ayat maktubah (Al-quran) dan ayat yang terbentang pada alam raya. Sekalipun kata ini tiada gunanya buat kamu, manfaatnya ternyata besar buat saya, seorang esktrovert yang bisu. 

Sunday, May 20, 2012

Kisah air daripada mata


Jangan bersedih: kerana kesedihan melemahkan engkau untuk beribadah, melumpuhkan engkau untuk  berjihad, mewariskan engkau akan kehampaan, memanggil-manggil engkau untuk berburuk-sangka dan mencampak engkau ke daerah pesimis.

Safiyyah melabuhkan pandangan pada Nil yang tak henti-henti mengalir. Akal fiksinya menerawang. Andai sahaja ada hikayat Mesir Purba, dan Nil ini adalah air mata para ibu tentu sahaja aku percaya. Cukup luka hatinya melihat air jernih mengalir di pipi seorang ibu. Bahkan yang lebih melukakan, air mata itu diiring senyuman. Seorang ibu kepada anak comel yang membusung perutnya. Apa kata orang di hospital? Ya, ascitis. Hati anak itu rosak. Safiyyah kata, jangan kau salah tafsir kawan. Hati maknawinya tidak kotor, bahkan suci. Hati yang di bawah peparu itu yang rosak.

Safiyyah rawan mengenangkan ini bukan air mata yang pertama bahkan insyaAllah bukan yang terakhir yang akan dihadapkan kepadanya. Hari-harinya kelak akan berdepan lagi dengan kisah air mata. Dia seolah-olah diasak-asak dengan satu persoalan,
“Nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?”

Safiyyah memejamkan matanya yang sudah mula berair. Lagi wajah ibu itu berlegar-legar dengan tenang menyatakan,

“Tiga anak perempuanku sudah pulang bertemu Allah .”

Wahai ibu, dari mana datangnya tenaga itu? Kuasa apa yang mencampak tenang itu? Memang beliau sedang diuji. Keempat-empat anaknya menghidap masalah kesihatan atas sebab genetik.

Safiyyah dalam gigil angin Kaherah mengusap air mata cemburu yang setitis demi setitis jatuh mengalir bersama Nil. Cemburu amat akan si ibu. Kesedihan tak menjadikannya lupa Tuhan. Masih waras dan menyimpan harapan untuk yang keempat kembali sihat. Itu azimat kental ibrah daripada proses kelahiran yang menyakitkan. Sungguh, sakit bertarung dengan nyawa namun akhirnya tangisan si bayi ternyata ubat mujarab buat ribuan salur darah yang terputus. Setiap kesakitan bakal lahir daripadanya harapan.
Sesungguhnya bersama sesuatu kesusahan itu kesenangan yang luas.

Jangan bersedih: Sesungguhnya Allah bersama engkau, para malaikat memohon ampun bagi engkau, dan para mukmin menyertakan engkau dalam doa mereka di setiap solat, Nabi S.A.W memberi syafaat , Quran menjanjikan engkau akan janji yang benar dan yang lebih baik daripada semua ini rahmat daripada Arham Ar-rahimin.

Safiyyah menyelak helaian demi helaian buku La Tahzan karangan Dr. Aidh Al-Qarni. Ternyata daerah air mata menjadi modal penulis hebat ini. Ternyata Allah meraikan daerah air mata. Terbentang 1001 ayat pujukkan daripada Allah.

2: 153 :Sungguh Allah berserta orang-orang yang sabar
2: 186 : … maka sesungguhnya aku dekat.
2:124 : …sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
3:123 : … Allah telah menolongmu dalam perang Badar padahal kamu dalam keadaan lemah. Kerana itu, bertawakal kepada Allah…
3: 173 : … “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik Pelindung.

Baru surah ke 3. Safiyyah menyanyi-nyanyi kecil, asma ul husna versi Sami Yusuf. Apa yang tiada pada Tuhan kita yang Maha Hebat ini. Azhim! Dengan WadudNya, RahmanNya, RahimNya, HalimNya.

Kehalusan rasa bukan suatu kekurangan. Begitu Safiyyah menyimpulkan. Membuang jauh kegoan pada Tuhan. Mengembalikan hamba pada hakikat penciptaan.

Mentari Kaherah bakal tenggelam, memanggil-manggil Safiyyah untuk pulang. Kering air mata disejat udara sejuk. Sekalipun air daripada mata disorok jauh ternyata ia ada. Kisah air ini akan menemani perjalanan menuju Tuhan.


Musim sejuk 2012 kaherah.

Selamat menyelam dalam Paeds pula, Pembuka-pembuka  Gen07!

Saturday, May 12, 2012

Berkenaan "Menyedari Prestasi Sendiri?"

Bismillahirrahmanirrahim,

"Satu persoalan yang perlu kita bertanya kepada diri kita. Adakah kita ini layak digelar sebagai seorang da’ie? Persoalan ini penting kerana jika kita melihat realiti amal dakwah di kalangan generasi Harakah Islamiah menghadapi sindrom kegersangan dan ketepuan amal dakwah. Hilang identiti dakwah dan operasi dakwah yang praktis kepada sasaran dakwah. Hilang zatiah ad-daiyyah yang menjadi perangsang dan inspirasi amal bagi menggerak dan menjana amal dakwah..."http://www.ismaweb.net/v4/2012/05/menyedari-prestasi-dakwah-kita/ 

Merujuk link web di atas.

Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa saya memerlukan segenap tenaga dan ketenangan untuk menghabiskan tulisan tersebut. Saya juga mengaku telah berhenti membaca tulisan tersebut (sebelum menyambung semula setelah beberapa ketika) kerana jantung yang telah berlubang-lubang akibat ditembak.

Saya juga mengakui bahawa susahnya untuk menongkah arus semasa. Tak mudah untuk cakna isu semasa dan dalam masa yang sama, masih kekal fokus dengan misi dan agenda sendiri.

Maka saya menjemput mereka yang berkenaan untuk turut bermuhasabah dan terus atur langkah. Jangan jadi macam saya yang tersandar resah agak lama juga!

Terutama adik Gombak Disember saya. =)

Selamat exam Gen 7!

Tuesday, May 8, 2012

Lafaz yang tersimpan




Bismillahirrahmanirrahim

Salam pagi selasa. Beberapa hari lagi end round exam untuk Obstetric & Gynaecology. Saya teringat beberapa minggu lalu, saya telah ke labour room untuk melihat proses bersalin (delivery). Setiap pelajar perlu ke labour room untuk buat pemerhatian (observe) sekurang-kurangnya sekali. Hari itu adalah hari pertama saya ke labour room sepanjang pengajian dia Mesir. Teruja. Namun, yang paling penting, sampai sahaja di rumah saya terus membuat panggilan ke Malaysia, untuk bercakap dengan satu-satunya manusia yang telah melalui jerih dan payah yang sama ketika melahirkan saya, Ibu. Menurut ibu, sayalah anak yang paling sakit untuk dilahirkan. Primi gravida! Begitulah.

Hari Ahad lalu, suhu di Kaherah mendadak naik. Tidaklah terlalu tinggi, cuma mendadak. Arteri di kepala saya teruja dengan terkejut-tergemparnya suhu, maka aktiflah dia. Berdenyut-denyut. Saya singgah Nada untuk meletakkan kepala. Pejam mata dan pasang telinga. Saya terdengar lagu lama UNIC: Lafaz yang Tersimpan. Beberapa bait yang masih tak hilang daripada fikiran saya,