Tuesday, January 4, 2011

Langkah Hijrah

Alhamdulillah. Segala puji bagi Tuhan yang menciptakan langit tanpa tiang. Segala puji bagi Tuhan yang menciptakan jantung yang tak pernah ponteng berdegup melainkan dengan izinNya. Segala puji bagi Tuhan yang menciptakan masa yang terus bergerak tak menderhaka.

Aku melagakan tapak tanganku yang pucat dan kesejukan ke pipi. Hangat terasa. Langkahku hayun laju menuju ke Klinik Pesakit Luar Ophtalmologi yang terletak di dalam universiti. Dari Moniera aku merentasi Sungai Nil. Jambatan sesak dengan kenderaan. Seperti biasa Nilku mengalir tenang. Ah, sudah hampir 4 tahun rupanya aku berhijrah ke bumi ini! Hampir 4 tahun aku menatap Nil yang mengingatkanku pada hero umat kegemaranku, Umar Al-Farouq. Hampir 4 tahun aku cuba membayangkan kisah Nil yang kontang kembali mengalir kerana sepucuk surat dari Saidina Umar, kerana taat dan takutkan Allah.

Aku meneruskan langkah ke universiti. Sekumpulan adik-adik tahun satu sedang makan fathirah di tepi bangunan Anatomi yang berbau formalin. Formalin merupakan bahan untuk mengawet mayat-mayat yang digunakan dalam pembelajaran. Aku senyum sendiri. Aku nampak diriku di situ, di tepi bangunan Anatomi. Diriku yang dulu. Ah, basah pula mataku! Sayu mengenangkan diriku yang dulu. Diriku yang dulu, sebelum aku mulakan langkah hijrah.


3 tahun lalu.

“Awak baca apa tu?” dia menegurku.

“Oh, awak! Ni berita Gaza under attack. Dunia ni tunggu masa je nak kiamat. Rosak. What to do? Wait and see.”

Dia senyum manis lalu berkata,

“Kenapa wait and see? Kenapa tidak work and see?”

“Macam mana?”

Aku pandang mata dia dalam-dalam.

“Dengar ni, Allah berfirman: Sesungguhnya Allah tidak mengubah 
keadaan suatu kaum, kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." 
Ayat Allah dari Surah Ar-Ra’du lancar keluar dari mulutnya.

“Allah tak akan ubah keadaan kita sehingga kita sendiri ubah jiwa kita!” dia senyum lagi.
Akal dan jiwaku memproses kata-katanya,

“Maksud awak berubah, saya kena berubah kalau saya nak dunia ni berubah?”
Dia masih tersenyum, “Hijrah sayang!”

Klinik Pesakit Luar Opthalmologi dipenuhi pesakit-pesakit mata. Aku masih ada setengah jam lagi sebelum kelas bermula. Di kerusi menunggu, seorang budak lelaki sedang mengikat tali kasutnya yang lusuh.  Aku kira dia hanya berusia 10 tahun. Wajah tenangnya mengingatkan aku pada adik-adikku di Kepala Batas.

Ismak eh (siapa nama kamu)?” aku mulakan bicara.

“Ali Abdullah.”

Enta bistanni min? (Awak tunggu siapa?).”

Mama guwwah ‘ eyadah. (Ibu di dalam klinik),” yakin bicaranya.

Enta mish khaif? (awak tak takut),” sengaja aku mahu menduga.

Akhaf leh? Sayyidina Ali nem liwahduh fis sirir sayyidina Muhammad lelit higrah. (Nak takut kenapa? Sayyidina Ali tidur sendiri di katil Nabi Muhammad di malam hijrah),” lancar dijawabnya.

Ya Allah! Aku jatuh sayang pada budak ini. Rupa-rupanya ibu Ali mengalami katarak (kanta mata menjadi legap) yang teruk dan sedang menanti proses pembedahan. Ummu Ali hanya mampu melihat bayang-bayang pergerakan tangan sahaja dan setiap hari Ali yang berusia 10 tahun ini akan menemani ibunya ke hospital. Turun dan naik bas.

Ya Allah! Hatiku bertasbih melihat anak yang taat ini. Kentalnya Ali mengingatkan aku pada Sayyidina Ali. Aku berdoa agar dia membesar dengan jiwa Sayyidina Ali yang pada usia 23 tahun tanpa ragu-ragu menggantikan Rasulullah di tempat tidur baginda pada malam hijrah. Pada usia syabab ini, Sayyidina Ali berlari ke Madinah menyusuli hijrah Rasulullah hingga bengkak dan melecet kakinya lalu tenang hatinya apabila melihat kelibat baginda.

Kelas akan bermula 10 minit lagi. Dalam setiap langkah kaki aku bisikkan pada diriku,

“Wahai diri, teruskan langkah hijrahmu. Jangan berundur, jangan menyerah. Kau yakinlah dunia akan berubah!”
Aku berdoa pada Tuhanku,

“Ya Allah, kepada Engkau aku melangkah. Kepada Engkau aku berhijrah. Kepada Engkau aku pohon sabar dan tabah!”

Wahai sahabat, ayuh mulakan langkah hijrah!
----------------------------------------------------------------------------------------- 
Oleh: Amirah AJ

2 comments :

secret admirer said...

like!

T_T

mahu hijrah sebenar-benarnya juga!

saling mendoakan.

sayang kamu!!!

Puteri said...

Jazakillah kamu. ^^ Jom kita mulakan roun ENT ni dengan lebih semangat! Cam kita sama2 kat Commed. InsyaAllah. Thiqahbillah, i'Allah kullu kheir...