Sunday, February 21, 2010

Kitar mula dan akhir


Permulaan sesuatu adalah pengakhiran sesuatu yang lain
Tetapi tidak pada Yang Baqa'
Tiada mula tiada akhir.

Kita hidup, kita mati
Dunia masih berjalan menurut hukum Ilahi
Kita sahut, kita lari,
Kemenangan pasti, sekalipun kita tak memberi.

Emosi itu berat,
Berat dikendong, berat ditatang,
Rawat yang luka, jangan dibiar melarat,
Sabar di atas sabar,
Pertolongan Tuhan pasti datang.

Malam pergi setelah siang,
Siang datang bawa cerah,
Pasak azam menjadi tiang,
Tiang tegak tak rebah-rebah!

Satu pergi, dua mari,
wahai anak Tujuh, atur langkah, jangan nanti-nanti.
Moga bersama di Tahun 4 nanti..~amiin

~air mengalir, sejuklah wahai hati

Thursday, February 4, 2010

Dari relung jiwa


Usai separo perjalanan hamba di bumi kinanah ini bagi tahun ketiga. Ada sesuatu yang hamba rasa dalam-dalam mengelus halus qalbi. Bingkisan rindu yang hadir menyeka mereda resah. Tahun ini bagai madrasah air mata. Tak membasahi pipi, tetapi cukup merendam hati agar kembali segar. Air mata tak hanya bermakna duka kan? Senyuman tak hanya bererti gembira. Hamba baru tahu. Hamba baru mengerti. Satu pelajaran yang cukup membekas dalam jiwa hingga lahirnya segala kata-kata ini.

Hati-hati yang saling mengenal itu ibarat tentera. Hamba makin tahu apa jenis perang yang hamba tempuhi. Hamba makin kenal siapa sang laksamana, siapa panglima tak ketinggalan musuh durjana.

Wahai sekalian tentera generasi ketujuh, berdarah pahlawan bumi Malaysia, berjiwa pejuang titisan empayar Pengislah-agama yang mewarisi geliga si Pembuka, hamba meyakini sesuatu tentang kita. Kita ada sesuatu yang indah dan istimewa. Sesuatu yang kita yakini akan indah jalannya dan kita bersatu di atasnya. Sekian masa hamba teliti wajah-wajah yang dekat di hati, di situ ada keteguhan menjunjung agama, di situ ada kesungguhan memikul cita-cita. Ah, hamba tak pandai bermain kata! Biarlah masa menjawab segalanya. Yakin, hamba yakin.

Terinspirasi oleh dukturah.


Terkadang sayang itu ada pada senyuman,
terkadang sayang itu pada nasihat,
terkadang sayang itu ada pada rangkulan,
mungkin hanya sebuah pandangan penuh berisi sayang...
sayang itu terkadang jelas kelihatan tapi hilang diucapan

~manusia berubah, perlu berubah, pasti berubah

Tuesday, February 2, 2010

inspirasi syita'



"Penjenayah!" mereka kata, kerana aku menolak kezaliman yang besar,
kerana aku tolak hidup berdiam diri, dalam dakapan paksaan yang pahit. ~petikan video di atas.

p/s: Teringinnya nak ke KOBANNA. Alhamdulillah peperiksaan tamat. Mengisi waktu agar tak menjadi derhaka pasca-peperiksaan...

Sunday, January 31, 2010

Pelajaran hari ini










Terkadang apabila aku melihat mereka yang datangnya daripada latar islami yang utuh: sekolahnya, keluarganya, sahabatnya, aku jadi cemburu. Pastinya hati diusik rawan kerana lewatnya aku bangkit dari lena... Tetapi aku ada Syed Qutub, ada Umar Al-Khatab penawar duka. Aku semakin tahu apa itu ukhwahfillah. Aku semakin tahu erti bersahabat hingga syurga. Yang lepas sudah lepas, masa depan sedang menanti. Akan aku jadikan hari ini lebih indah dari semalam, agar hari depanku lebih indah dari hari ini. Kalau bukan aku, siapa lagi?

Sunday, January 24, 2010

Saya suka?


“Mira, apa hobi kamu?”
“Mengumpul setem.”


Ketika sekolah rendah, soalan ini adalah common hatta hingga ke sekolah menengah subjek Bahasa Arab Komunikasi. Seingat saya insya’ (karangan) saya yang pertama dalam bahasa arab bertajuk Hiwayati (hobi saya). Mengumpul setem sejujur-jujurnya bukanlah hobi saya. Cuma untuk mencari satu aktiviti yang ‘boleh’ dinamakan hobi dan lain daripada kawan-kawan sedarjah waktu itu, maka saya pun menjawab begitu. Memang saya ada beberapa koleksi album setem yang diwarisi daripada ayah tetapi rasanya semenjak ayah memberikan saya album itu, mungkin 5% sahaja yang telah saya tambah. Itu pun, setem-setem dari dalam negara, kebanyakannya gambar pokok kelapa sawit. Setem-setem seberang laut, semuanya hasil koleksi ayah saya.

Saya nak bercerita tentang hobikah? Ya dan tidak. Ini cuma secebis catatan buat diri sendiri untuk disemak asal usul diri, untuk sahabat-sahabat yang ingin mengenal diri dan yang paling penting, saya ingin berkongsi sebuah kisah biasa yang mungkin bisa kita raih sesuatu yang luar biasa. Baca sambil berfikir ya!

Setelah pertambahan umur, kali ini soalan yang sama ditanya,

“Mira, apa hobi kamu?”
“Membaca.”



Ya, saya suka membaca. Dari dulu, dari zaman SK Permatang Bertam malah sebelum itu lagi. Perkataan membaca itu, kedengarannya mudah dan simple tetapi cukup bermakna. Bukan sekadar buat saya seorang malah untuk sebuah tamadun. Apatah lagi, wahyu yang pertama adalah iqra!

Genre bacaan, bahasa dan bahan akan membentuk pembinaan diri sesorang. Saya ingat lagi, ketika sekolah rendah, setiap kali melihat patung Barbie (saya tak pernah ada) atau Play Dough saya akan rasa teringin dan berazam untuk menyimpan duit raya bagi membeli mainan tersebut. Namun, akhirnya saya akan laburkan duit raya di Popular CS Sungai Petani. Pada waktu itu Enid Blyton’s Collection berharga RM2.50 sebuah. Biasanya, saya akan beli dua-tiga buah. Saya bermula dengan buku penyiasatan begitu. Saya juga berkongsi minat dengan kawan baik saya ANW. Sering bertukar-tukar koleksi. Pernah sekali ketika darjah tiga, saya membawa sebuah novel cinta yang saya ambil dari rumah nenek saya (mungkin mak teh punya) ke sekolah. Seorang teacher memanggil saya ke mejanya,


p/s: bersambung...doakan baki-baki perperiksaan. Moga kamu sentiasa di dalam rahmat Allah!

Wednesday, January 20, 2010

Pagiku di bahu Nil


Kala aku menyusuri bahu Nil pagi semalam, mataku menangkap bekas kaca yang menari-nari bersama alur Nil. Seraya tanganku menangkap cekap bekas kaca itu dan ku buka. Sekeping kertas kumal, ada sebuah harapan rupanya. Adakah ini surat cinta yang terputus di tengah jalan? Adakah ini warkah terakhir orang putus harapan pada dunia? Aku baca…

Kapal akan berlayar sebentar lagi
Tengkujuh sudah berhenti barangkali di balik sana
Anakanda akan berangkat
Bonda, puteramu ini sudah dewasa
Telah kau beri makan yang baik-baik
Telah kau beri kasih yang tak terhingga
Telah kau ajar ilmu yang berguna
Bonda, usirlah air matamu
Anakanda bimbang tubuh gagah ini akan kalah dek esak tangismu
Anakanda tak ingin kalah sebelum berjuang
Kapal akan berlayar sebentar lagi
Nahkoda sudah siap mengatur acara sedari tadi
Bonda, kau ajarku supaya tabah dalam duga
Tabahkanlah hatimu juga wahai bonda
Aku turut diruntun sayu
Jika bukan kerana cita-citaku pada bangkitnya ummah
Jika bukan kerana impian kita pada gemilangnya bangsa
Jika bukan kerana harapan kita berdua
Tak samudera luas ini aku redah, bonda
Bonda, kau bilang lama dulu
Telah kau tumpahkan darahmu melahirkanku
Buat kau hadiahkan pada seri bangsa dan agama
Kau bilang itu bonda
Bonda, puteramu ini telah dewasa
Telah kau asuh begini rupa
Jangan kau sesal wahai bonda
Kasih kita abadi hingga syurga
Usah kau bekalkan aku dengan air mata
Selaksa doalah jua yang ku pinta
Bonda, andai pemuda yang kau lihat ini masih anak-anak di matamu
Berserahlah pada Tuhan kita, Dia yang akan menjaga anak ini
Telah Dia pelihara Sayidina Ali di malam hijrah
Percayalah anak ini disekelilingnya orang-orang baik
Yang impian mereka saling tak tumpah denganmu bonda
Bonda, andai kau kira anak ini telah dewasa
Yakinlah pada asuhanmu
Tak lain kau yakinlah pada Allah dan Rasulmu
Akan pemuda ini serikan peradaban dan sejarah dengan kalam tauhid
Kapal akan berlayar
Aku pergi dulu bonda
Aku mencintaimu bonda
Andai tak bertemu lagi siapkanlah pertemuan kita di taman syurga

Tap. Kertas kumal yang akan hancur ini dibasahi air mata. Ah, tulisan jawi ini kemegahan bangsaku. Lingua franca. Bahasa yang diangkat taraf kerana Islam. Tak ku sangka di Nil ini juga ku temui kesan-kesannya. Tap. Air mataku masih tak berhenti. Ibu, aku amat merinduimu. Tap. Lagi. Aku kembalikan warkah itu ke tempatnya lalu ku pulangkan kembali kepada Nil. Moga ada jiwa-jiwa lain yang akan sudi membaca dan menghayati. Aku melangkah pulang ke Mouniera. Aku terfikir andainya duduk-duduk ibuku di tebing selat Melaka, tercapai olehnya bekas kaca itu, ketahuilah aku panjangkan kalam warkah itu, buatmu juga!

Friday, December 18, 2009

Lari 100m di Stadium Kepala Batas


Al-kisahnya, telah berlangsung satu pertandingan lumba lari 100m. Cikgu Mala menyuruh aku merakamkan suasana hari itu, dalam karangan tidak kurang daripada 120 patah perkataan. Aku pun pergi ke Stadium Chantek Kepala Batas berhampiran Dewan Millenium (tempat aku berakon sebagai pokok ketika pertandingan Puisidra yang lalu~tak suka!). Hari itu begitu gamat sekali. Aku duduk dan melihat pemandangan yang aneh di garisan permulaan sambil menangkap perbualan antara Pakcik Ysub dan Makcik Ydob... Inilah antaranya





Peserta pertama








Tidak fit malah berpenyakit kronik. Perlu melalui proses penyembuhan yang intensif. Perlukan lebih banyak latihan. Malangnya dia perasan bagus! Tak mahu langsung minta atau terima bantuan. Jangan bimbang, aku bukan suu zhon. Dia sendiri yang mengatakan begitu. Paramedik bimbang dia akan jatuh pengsan di pertengahan track. Juri bimbang dia tak sampai-sampai ke garisan penamat sebelum dia dan pertandingan ditamatkan.


Peserta Kedua








Fit tetapi malas. Kalau tak mula lari, bila pula sampainya? Ada shortcut ke?



Peserta Ketiga








Tidak fit tetapi sudah beberapa kali ke pusat latihan sukan. Sudah tiga bulan menjalani diet rendah kolestrol. Sudah sebulan lebih berlari setiap hari di Stadium Kepala Batas. Kadang-kadang ada juga miss latihan. Namun, surat penyesalan telah dihantar.


Peserta Keempat








Fit. Rajin berlatih. Ada style juga. Aku dah daftar masuk FC dia...



Kenapa empat sahaja? Sebab tangan dah lenguh menulis. Tambahan pula, aku nak mendapatkan air kelapa sejuk satu, sebelum pistol perlepasan ditembak . Oh, sebelum itu! Adakah antara kamu yang membaca ini, telah menjadi salah seorang daripada mereka? Kalau kamu orang yang keempat itu, nanti kita atur temu janji boleh? Teringin nak tahu rahsia kamu dan...dan...dan...kawan-kawan aku dan aku (lebih-lebih lagi) nak autograph boleh?


p/s: Dalam perjalanan menuju ke Pakcik Ria Kepala untuk air kelapa muda yang menyegarkan itu aku tiba-tiba terfikir. Kenapa aku duduk menonton saja? Nak juga piala-piala dan bejana emas hadiah pertandingan. Hehe!