Saturday, July 18, 2020

Jumaat: Antara Dua Jalan




Alhamdulillah. Lebih kurang 1 bulan lebih PKPP akan berkakhir. Walaubagaimanapun dengan corak kadar kes yang sekejap naik turun mungkin sedikit mengundang resah. Pasti semua pihak mengharapkan tiada gelombang baru yang muncul.   

Pada hari Jumaat, 2 minggu yang lepas, saya sempat menjemput ibu yang pulang dari sekolah dalam 12 tengah hari. Dua situasi yang berlaku di depan mata. 

Situasi pertama, lelaki-lelaki yang bergegas ke masjid walaupun baru jam 12. Dengan baju melayu, sejadah yang tergantung di bahu. Kecil, besar. Berkereta, berbasikal. Semua pergerakan tertumpu ke satu arah, pintu masjid. 

Situasi kedua, lelaki-lelaki yang berlegar-legar di depan kedai serbaneka, di tepi gerai-gerai. Mungkin tidak ke masjid kerana ‘dah penuh’ atau ‘tak dapat masuk’. Saya tidaklah naif. Saya tahu sebelum ini pun ada orang yang tak menunaikan solat Jumaat. Tetapi tetap diam di rumah di waktu orang lain solat, setidaknya ada sekelumit rasa malu dan sedar bahawa ianya dosa. Setidaknya itulah bukti wujudnya iman. Cuma dalam situasi sekarang ini, ianya pilihan. Bukan pada saya untuk menilai, tapi ianya titik muhasabah.  

Isunya bukan sangka buruk atau sangka baik. Cuma dua pemandangan ini, menjentik hati saya tentang pilihan hidup kita. 

Sesungguhnya hanya Allah saja yang tahu tentang niat dan alasan kita. Adakah ianya alasan atau bermalas-malasan. Sebab itu ada ayat tentang “fastabiqul khayrat”. Berlumba-lumba untuk membuat kebaikan.

Sesungguhnya hidup ini adalah perjalanan yang pasti ada akhirnya. Untuk bangun malam atau terus berdengkur, ianya pilihan. Untuk meringankan tangan memberi, atau simpan di saku, ianya pilihan. Untuk mengoyak senyuman atau menongkat langit, ia juga pilihan. 

Untuk yang pulang kehampaan selepas pagar masjid di tutup, moga diberi ganjaran atas usaha dan keinginan anda. Sesungguhnya Allah Maha Tahu. Untung yang berjaya lolos menjadi ahli jemaah, itu adalah hadiah daripada Allah yang tak ternilai harganya.

Sekarang, ruang masjid lebih luas terbuka, lebih ramai yang boleh berjemaah. Semoga sukses memposisikan diri di masjid. Semoga kita sukses memposisikan diri di syurga Allah.