Wednesday, December 23, 2020

Menghitung kebenaran

Tahun ke 6 perkhidmatan di KKM.
Tahun ke 6 menjejak ke realiti kasar kehidupan, jauh daripada Allah.

11 hari berlalu ulang tahun perkahwinan yang pertama.
Hampir 4 bulan berhubung atas udara.

1 bulan berlalu sejak di jabatan yang baru.

Menghitung lagi 2 minggu untuk bertemu. 

Ini semua hanya membuktikan angka-angka itu berlalu. Detik demi detik tak akan kembali lagi. Menjalani hidup dengan keresahan dan kesia-siaan hanya akan diakhiri dengan penyesalan. Kembali terjaga saat tercium bau tanah di kiri dan kanan wajah. Alangkah pasti ingin kembali ke dunia.

Aku sungguh diuji. Emosi yang berbolak-balik memberi tekanan pada jiwa. Namun minggu ini aku sempat berkerja dengan 'orang atas' yang begitu empati. Mengingatkan aku bahawa kehidupan itu lebih daripada sekadar empat dinding. Salah satu yang disebut beliau yang membekas bagi aku, hafazan Al-Quran.

Sekian banyak sisi diri yang aku lupakan, tetapi tidak yang satu ini. Sentiasa menjadi kerinduan yang tak mampu aku ungkapkan. Bagaikan dipasung hati yang semakin hitam dan tidak layak menjadi tempat tinggal ayat-ayat suci. 

Setelah berusia 31 tahun, aku bertanya kembali kepada diri. Bilakah agaknya akan kau rasai nikmat 'qalbun salim'. Hati sejahtera yang merindui wajah Tuhannya. Tenang walau apa saja yang tiba. Berpaksi pada pandangan Tuhan yang pasti tak akan melukakan. Melepaskan kekasaran hamba yang berlagak tuan. Merdeka daripada ketundukkan selainNya. 

Ya Allah, benarlah rasa hamba kepadaMu Adalah kemerdekaan yang hakiki. Ini yang dirindui setiap jiwa di muka bumi. 

Lebih baik menghitung nikmatNya dan kesyukuran daripada menghitung apa kata manusia. Alangkah besarnya nikmat ini. Alangkah luasnya jiwa jika menghitung kebenaran.