Monday, June 22, 2020

Hikmah daripada "Kun"

Hikmah daripada "Kun".
18 Mac 2020, malam bersejarah. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan. Rupa-rupanya ini perancangan agung Yang Maha Kuasa untuk kita menyambut ketibaan 2020 yang lama dinantikan. Bagi bayi akhir 80-an angka 2020 menjadi simbol kemodenan dan kemajuan. Namun teguran Yang Maha Esa menundukkan kita pada nilai kehambaan Rabbani,
“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia.”
Al Baqarah 117
Kepimpinan yang hebat, mencipta peluang dalam kesempitan. Krisis ini telah membuka mata masyarakat awam tentang bentuk-bentuk perkhidmatan yang wujud dalam sektor kesihatan. Mungkin selama ini, masyarakat hanya mengenal pegawai perubatan komuniti, yang sering memberi khidmat nasihat tentang tekanan darah, kawalan gula. Sekarang orang yang sama, turun padang memakai ‘sut putih’ mengesan kontak pesakit COVID-19. Kini, masyarakat tahu keluarga besar sistem kesihatan ini bukan sahaja terdiri daripada pakar-pakar di hospital, malah kita turut ada pakar kesihatan awam, pakar mengurus krisis atau wabak. Kita ada staf sokongan di makmal yang bersengkang mata untuk mengesahkan sebaris ayat ‘COVID-19 not detected’ pada ujian anda. Staf yang memastikan kebersihan kawasan perkhidmatan, staf pentadbiran dan ramai lagi. Semua unit-unit ini diwakili Sang General, Tuan DG yang saban hari memberi maklumat terkini status COVID-19 di negara tercinta ini.
Sebak dada saya saat mencatat kalimat-kalimat ini. Ini belum lagi cerita-cerita dalaman golongan barisan hadapan kita yang bertarung fizikal, mental dan emosi. Belum lagi rencam rakyat yang lain. Sesungguhnya percaturan Ilahi sangat teliti dan hebat. Sejauh mana pun kita melangkah, usahlah mendabik dada dengan sebatas ilmu dan anugerah yang dikurniakan kepada kita.
Kini fasa PKPP, menyaksikan kita ‘dipaksa’ untuk tunduk pada kebiasan baharu. Seharusnya sejarah ini, dijadikan azimat untuk memperkasakan posisi kita supaya dapat lebih memberi kepada komuniti. Setiap individu bertanggung jawab menjaga kesihatan sendiri dan ahli keluarga dengan melaksanakan saranan KKM seperti penjarakan sosial dan basuh tangan dengan kerap. Semuanya bermula daripada seorang.
Negara memerlukan lebih banyak sumbangan kepakaran daripada pelbagai bidang. Ini juga adalah suatu bentuk jihad. Bukan sekadar mengambil gaji hujung bulan. Krisis ini, seharusnya menjadikan kita warganegara yang peka dan empati. Penghormatan yang diberikan kepada frontliner dan KKM di media sosial harus diteruskan dengan saranan-saranan konstruktif untuk memperbaiki mutu perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
Kesedaran terhadap kepentingan menjaga bumi daripada pencemaran dan pemeliharaan eko-sistem harus dipertingkatkan, seiring dengan kesedaran menjaga kebersihan setempat. Ini semua tanggung jawab bersama setiap anak watan.
Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk.
Amirah Ab Jalil
Pengerusi I-Medik Kedah.