Sunday, December 11, 2016

Aliyah [satu]

Daun pandan diracik halus. Ruang tamu semerbak dengan bau bunga rampai. Bau klasik bilik pengantin orang Melayu. Zahirah bakal melangsungkan pernikahan. Besok tarikh keramat.

"Berapa lama kau berkenalan? Kau bersedia menerima dia?" Kuntuman janda kaya terpisah kelopaknya di tangan Aliyah.

"Kami sekelas zaman sekolah dahulu. Tiba-tiba di muncul selepas 3 tahun terpisah. Mudah saja bagi aku. Jika benar mahu, datanglah ke rumah bertemu abang long," Zahirah menguntum senyum bahagia.

Begitu mudah Tuhan melorongkan jodohnya. Tidak banyak soal. Syarat yang sederhana. Redha orang tua.

"Kau bersedia menerimanya?" ulang Aliyah sekali lagi.

Zahirah sekadar mengangguk. Sinar matanya memberi isyarat yakin.
Aliyah tergamam. Padanya, menyerahkan percaya adalah isu besar.
Telefon pintar Aliyah berbunyi.

"Ah, dia lagi!"

Wan Saifullah: Memang tanggung jawab besar. Tapi kalau tak mencuba, sampai bila-bila pun tak akan bersedia. Persoalannya sekarang, orang tu, sudikah terima saya?

Aliyah: Jangan main-main

Wan Saifullah: I'm serious.

Aliyah membaca mesej itu. Sepi tak berbalas.

"Persoalannya, saya bersedia tetapi adakah orang itu awak?" Aliyah melontarkan soal pada dirinya namun dibiar tergantung tanpa jawapan.