Sunday, January 15, 2012

Sedaya dan upaya


biar digilis-gilis



Dalam debar Aiman menyudahkan ayat-ayat terakhir daripada Illustrated Text Book of Paediatric atau lebih dikenali sebagai Lissauer oleh pelajar-pelajar Sekolah Perubatan Kasr Al-Ainy. Dr. Tom Lissauer merupakan salah seorang penulis buku teks perubatan kanak-kanak itu bersama Dr Clayden.

“Kesian co-partner dia kena overshadow,” gumam Aiman.

Lissauer ditutup, laptop dibuka. Cekatan Aiman membuka beberapa dokumen kerja untuk diteliti. Matanya seletih jiwanya. Pantas anak panah menyimpang menekan ikon hijau di dekstop. Berkira-kira membuat panggilan rindu ke Malaysia. Debar di dada masih enggan surut.


“Ah!” serentak butang merah ditekan.

Panggilan jauh diputuskan. Kebiasaanya para pelajar akan menggunakan talian internet untuk membuat panggilan ke Malaysia. Jauh lebih jimat berbanding talian darat mahupun handset. Ironinya talian tersebut berangin-angin. Angin baik line clear. Angin mendung, angin taufan, sabar ajelah.

Tapi kali ini, Aiman sendiri yang berangin. Ada yang tak clear.

Tiba-tiba ada notis naik di sudut bawah kanan skrin.

“Ayah online!” jerit Aiman dalam hati. Pantas jarinya menaip,
“Salamalaik ayah. Tau-tau je!”
Ternyata bukan Aiman seorang yang berangin. Belum sempat membaca balasan mesej, talian internet mati. Angin revolusi mungkin.

“Allah, main-main pula internet ni!”
Aiman menekup muka. Bersandar dan melepaskan nafas panjang.

“Allah!”
“Allah? Inikah? Aku yang dah lama tak online dengan Allah? Tau-tau je ayah? Allah lagilah tahu Aiman.”
Aiman pejam mata. Cuba kembara sebentar dari kamar belajarnya. Andaikan sahaja dia sedang kembara merentas masa. Tidak jauh. Hanya dalam metro.  Latar masanya petang kelmarin.

“Diah, penat hidup ni.”
 Aiman bersandar di dinding metro. Meluncur laju di laluan kedua. Stesen As-Syohada’ penuh dengan manusia. Pelbagai ragam. Aiman letih melihat manusia. Dilemparkan pandangannya ke rel keretapi letrik itu. Rel yang bersambung-sambung dari El-Marg ke Helwan seolah-olah  menceritakan kisah tsabat yang tak henti. Setia di situ digilis-gilis keretapi. Masih bertugas selagi terdaya. Tiada kata penghargaan malah digilis siang-malam. Jauh Aiman melayan rasa.

“Kau rasa Rasulullah mcam mana? Kau fikir hadis yang beribu-ribu tu macam mana boleh ada? Makan, duduk, tidur, masuk bilik air, piagam Madinah, perang Badar, pecahkan batu dalam parit Khandak? Kau rasa apa?”

“Kau nak cakap apa?” pantas Aiman memulangkan soalan. Letih berfikir.

“Kalau aku stalk kau 24 jam? Tengok kau lipat baju macam mana, study  ke studo, kau cakap dengan pakcik teksi yang tipu kau macam mana, kau layan mak cik yang pakai high heel pastu pijak kaki kau dalam bas macam mana?”

“Kau jumpa Dr Jekyll and Mr Hyde lah nanti!” tawa Aiman.
 Terbayang-bayang dua watak daripada buku teks sastera Bahasa Inggeris tingkatan dua.

“Aku manusia biasa je Diah. Memanglah sedaya-upaya buat baik tapi kalau dah 24 jam nescaya akan kau jumpa juga Mr Hyde dalam diri aku.” Aiman cuba berseloroh tetapi matanya meredup.

“Rasulullah manusia juga Aiman. Kau rasakan yang baginda itu adalah fulltime Rasul, Penyampai Risalah! Setiap gerak-geri baginda terakam dalam hadis. Cara jalan, cara cakap, cara marah. Kau rasa tak? Setiap masa. Memang kita tahu Allah jaga baginda, tapi kita tahu juga baginda sudi membengkakkan kakinya untuk Allah. Fulltime Aiman! Kita ni kena jadi fulltimer juga Aiman. Sedaya-upaya. Sedaya-upaya kau tu, agak-agak berapa persen daripada sedaya-upaya Rasulullah?”

“Aiman, sedaya tu kita cuba, upaya tu Allah bagi!”

Aiman menghadiahkan senyum yang sama pada Diah. Senyum yang sama setiap kali Diah menuturkan ayat yang sama.

“ Sedaya dan upaya!”


 Aiman mencapai quran terjemahan coklatnya. Ada sehelai nota terselit di situ,

“Aiman,
Carilah hatimu di tiga tempat; temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran, tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Andai tidak jua kau temuinya, kau carilah hatimu ketika duduk bertafakur mengingati mati. Jika tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati~ Imam Al-Ghazali.Aku.”

Aiman cuba menyusun titik-titik yang serupa di detik-detik yang berbeza itu.

“Aku hilang hati kerana sudah lama tidak online dengan Dia yang harus aku lakukan sedaya sehingga Dia sudi memberi upaya.”
Debar di dada mula surut saat air di mata mula bertakung.

Ah, online sekarang!

No comments :