“Sihat ke abang?”
“Nampak macam sakit ke?” sebuah senyuman dihadiahkan. Abang kelihatan santai dengan baju Melayu hitam dan seluar jeans. Senyum abang, kakak balas. Lebih lebar.
“Sharp akak sampai!” Langkah dihayun ke teratak berhadapan Sungai Nil. Abang membawa keluartupperware berisi ayam goreng madu, nasi dan sup dari bakul.
“Tak sharp sama dengan zalim!” Kakak menuang sup ayam ke dalam mangkuk plastik. Wap nipis bebas di udara. Baunya cukup membuka selera.
“Dari dulu akak suka cakap macam tu. Syadidlah akak ni,” masih tersenyum. Abang kenal benar kakak dan prinsipnya itu. Abang membasuh tangan. Bersedia untuk mengubat kerinduan pada nasi ayam kakak.
“You know me!” kakak berseloroh. Sambil menambahkan nasi ke pinggan abang. Aliran Sungai Nil mengalir tenang.
“Sibuk ke abang?”
“Biasalah akak. Kelas penuh. Kenapa akak tanya?”
“Kelas memang penuh, yang dalam jiwa tu penuh tak?”
“Ya, orang tahulah akak. Jangan risau. Solat jemaah, Quran, mathurat. Daripada sekolah akak asyik ingatkan benda tu. Abang dah besar akak. Dah nak naik tahun 3. Dah nak jadi doktor dah akak,” sedikit rajuk suara abang. Kakak menambah nasi dan sup ke pinggan abang. Pinggan polisterin yang berbalut plastik.
“Sementara akak ada, akak ingatkan.”
“Ok, ok. Kadang-kadang ada juga miss baca Quran. Tak sempat pi masjid,” abang berterus-terang. Pandangan dilemparkan ke Nil yang mengalir. Bas air berwarna hijau menyelusuri Nil. Kereta bertali arus merentasi Jambatan Universiti yang menghubungkan Manial dan Giza.
Abang tak mampu berbohong dengan kakak. Adakala abang rasa rimas dengan soalan-soalan kakak tetapi kasih yang kakak tumpahkan cukup untuk abang tahu soalan-soalan itu hanya kerana sayang.
“Herm,” hanya ini daripada mulut kakak.
“Ok, ok. Abang cuba susun masa lebih baik lepas ni.”
Kakak senyum.
“Nasib baik senyum. Kalau tak, tak dapatlah abang nak rasa nasi ayam akak lagi!”
*****
Abang melepaskan lelah berjogging di Kournish Nil. Duduk di kerusi menghadap alir Nil. Abang sendirian kali ini. Jauh pandangan abang lemparkan. Sebatang sungai, langit biru tak bertiang, kawanan burung, cahaya matahari yang suam-suam di petang peralihan musim panas dan luruh. Lukisan hidup. Abang pejam mata. Suara kakak kedengaran,
“Hidup ni sekali ja. Boleh jadi umur kita pendek tapi kita hidup lama. Boleh jadi umur kita panjang tapi hidup kita singkat. Kalau kita hidup untuk diri sendiri, hanya fikir macam mana nak isi perut, nak pakai baju apa, nak dapat duit macam mana maka secepat perut kenyang selepas makan, secepat baju rosak apabila dipakai, secepat duit habis apabila digunakan, secepat itulah hidup kita berlalu. Kosong dan tidak ada makna apa-apa tapi…”
“Tapi?”
“Tapi kalau kita hidup untuk orang lain, untuk ummat, untuk Islam maka hidup itu akan sepanjang umur ummat itu. Mungkin saja umur kita pendek tapi bekalan kita ke sana berterusan selama amal baik itu kekal di dunia dan memberi kesan pada manusia. Rasulullah, umur baginda hanya 63 tahun tapi baginda hidup hingga kini. Di sini,” kakak melekapkan tapak tangan ke dada abang.
“Abang, masa tu kehidupan. Masa lebih mahal daripada emas berlian. Satu saat yang berlalu sebahagian daripada diri kita mula pergi. Mati.”
“Betul kata akak, setiap masa sel dalam badan kita ni mati tapi kita tak perasan yang mati tu terlalu hampir.”
“Memang doktorlah abang ni!” kakak ketawa. Tawa yang jarang-jarang kedengaran.
“Sebab tu lah abang, masa ni kita kena urus. Sekali dia datang, tak mungkin akan kembali.”
“Sebab tu lah akak syadid sangat kan? Mesti sharp! Kalau tak sharp sama dengan zalim,” abang mengusik.
“Akak tak sempurna, abang. Tapi, apa yang akak faham, menepati dan menjaga masa penting supaya kita tak menzalimi diri kita sendiri dan orang lain. Bayangkan berapa masa yang kita habiskan tanpa matlamat dan tujuan disebabkan tiada pengurusan yang baik. Sedangkan ummat ni setiap masa dahagakan petunjuk. Satu jam yang kita melewar di internet tanpa tujuan mungkin cukup untuk kita selamatkan seorang muslim dari terjun ke neraka.”
“Dia yang zalim pada diri dia, bukan kita kak.”
“Memang dia zalim tapi kita juga zalim pada diri kita. Bukan ke Rasulullah pernah sebut, (mafhumnya); Jika seseorang mendapat hidayah melalui kamu lebih baik daripada dunia seisinya. Tak zalim ke kita pada mata, pada jantung, pada jasad kita sedangkan mereka berhak mendapat kebaikan tu?”
“Betullah apa akak cakap tu. Kalau doktor lewat, culas dengan masa, mungkin je pesakit tu mati F.O.C. Zalim!”
“F.O.C?”
“Free of charges,” kakak baling botol Aqua kosong pada abang. Kakak ketawa.
Kakak! Abang buka mata. Matahari jingga akan terbenam. Peluh sudah kering.
“Dah nak maghrib. Jom kaki, kita balik siap-siap pi masjid. Hati, jantung, perut, aku tak nak zalim kat korang.”
Abang atur langkah menelusuri Kournish Nil. Kawanan burung terbang pulang.
*****
“Kakak sentiasa pakai jam.”
Sikap kakak yang abang akan sebut setiap kali orang tanya tentang kakak. Sesetengah orang akan ketawa. Mungkin jawapan itu kedengaran main-main. Bagi abang, jam tangan Q&Q murah, kalis air, berwarna hitam yang sentiasa ditangan kanan kakak besar signifikannya.
Abang tahu kakak sibuk tapi setiap kali abang mengidam nasi ayam kakak, mesti janji diatur dan kakak akan hadir… sharp! Abang pernah tanya macam mana kakak boleh jaga masa. Kata kakak,
“Akak nak hidup lama!”
Kakak urus masanya. Abang tahu kakak buat jadual harian. Abang tahu juga tak semua jadual harian tu berjaya kakak ikut disebabkan keadaan kakak. Tapi kakak, ada saja akal supaya dia tak jadi ‘zalim’ seperti prinsipya yang abang kata syadid tu. Kakak habiskan target of the day untuk tilawah qurannya ketika goreng ayam. Mungkin sebab tu nasi ayam kakak sedap sangat.
Kakak, hidupnya selalu menunggu orang. Yalah, dia kan sharp! Sambil tu, sempat dia menyudahkan bacaan kuliyahnya. Kata kakak, seseorang boleh baca seribu buku tentang cara-cara menguruskan masa, tapi kalau tak ada disiplin, tak rasa muroqabah dengan Allah, kering sifat ihsan akhirnya ilmu tu fi sutur.
*****
“Semua urusan dah selesai bu. Jangan risau. Kita doakan saja. Assalamualaikum,” butang merah ditekan. Panggilan lewat internet dimatikan.
Kakak, memang umur dia pendek tapi insyaAllah dia hidup lama!
Dan jangan sekali-kali kamu mengira orang yang gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka itu hidup, di sisi Tuhannya mereka mendapat rezeki (Ali Imran:169)
Glosari
Sharp: tepat
Mathurat: kumpulan zikir harian
Syadid: keras
You know me: kamu kenal saya
Miss: tidak kena (terlepas)
Free of charges: percuma
Target of the day: sasaran harian
Sutur: garisan
sumber
3 comments :
kesalahan tatabahasa di sini sana dan jalan cerita yg kaku. tapi masihku berharap setiap yg membaca mendoakan aku agar lebih baik daripada 'kakak'~
salam'alayk.
rasa macam jauh sekali untuk menulis cerpen sebaik ini. :'(
subhanAllah, yg memberikan ilham.
t.ksh mira, utk peringatan yg menusuk hati. mg t.ksh utk nasihat "terbalas" dgn amal nnt. amin3.
dan kakak kini merindui abang..
Post a Comment