Ada sebuah tulisan,
“ He had bring you back. Why care of running away? Grateful is all you have to! What past was passed, don’t let it steal your present!”
Beberapa quotation yang biasa saya dengar dikumpulkan dalam satu kata-kata, cukup memujuk rasa. Bagaikan tomyam yang menggelegak di dalam periuk, begitu hati manusia. Pelbagai rasa dan warna, berbolak-balik, berubah-ubah. Itu sifat kehidupan. Tiada yang statik. Jika anda rasa tidak mahu ke depan, sebenarnya anda telah ke belakang. Jika anda rasa tidak mahu ke belakang, anda sudah pun melangkah ke hadapan.
Saya pernah membaca buku Jangan Bersedih beberapa tahun lalu dan sejak dua menjak ini saya mula membaca لاتحزن , tulisan asal Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang tak perlu diperkenalkan lagi. Sebelum ini, saya sering tertanya-tanya
“Apa yang best sangat dengan buku ni?”
Saya fikir, saya sudah bertemu jawapan. Al-Quran. Ya, setiap tajuk dikaitkan dengan ayat-ayat Al-quran. Bukankah Al-Quran itu daripada Allah dan Dia yang paling mengenal kita?
“Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan (menjadi tinta) ditambahkan kepadanya tujuh lautan lagi setelah (keringnya) nescaya tidak akan habis-habis (ditulis) kalimat Allah. Sesungguhnya allah Maha Perkasa Maha Bijaksana.” Luqman:27
Ada saja yang menyentuh hati. Ada saja yang mendamaikan jiwa. Walau seteruk mana diri, rasanya Allah masih sudi menerima. Allah, Allah…
Berbalik pada quotation di atas, kita hanya ada masa sekarang. Masa lalu yang mungkin sekali kelam dan masa hadapan yang masih samar, tidak ada gunanya untuk kita berasa emosi akannya. Masa lalu diteruskan muhasabah, masa hadapan diteruskan perancangan dan usaha. Seperti tulisan Dr Aidh dalam bukunya tadi,
“Hasbunallah wa nee3mal wakeel”
Dengan ayat ini, api menjadi sejuk buat Nabi Ibrahim, pertolongan Allah tiba buat Rasulullah di Uhud.
Bayangkan, seorang bayi kecil. Tak ada kerisauan dalam hidupnya selagi ibunya ada di sisi. Lapar menangis, sakit merengek. Ada yang tolong risaukan, tolong selesaikan masalahnya. Ibunya tempat bergantung.
Ikhwati fillah, Allah kasihkan kita lebih daripada seorang ibu menyayangi anaknya. Berapa ramai daripada kita dijemput pulang oleh Allah? Dijemput pulang ke jalanNya, bertemu kasihNya dan hingga mampu berasa rindu dan ingin berjuang di jalanNya? Bersyukurlah!
Saya harus katakan ini sebagai peringatan buat diri sendiri. Mungkin ini sudut pandang peribadi tetapi kerana saya manusia, saya yakin ada manusia lain sepeti saya, yang memahami bahasa saya, tulisan ini untuk mereka juga.
Terlalu indah rasanya dapat pulang ke jalan yang benar dan mengerti tujuan kehidupan. Pernah saya mendaki sebuah pencarian. Dalam kehausan dan kejahilan membaca kompas lalu saya ditemukan sebuah stesen rehat. Saya reguk air dingin dan manis di situ. Belajar membaca peta. Berasa sudah bertemu segala rupa-rupanya tidak. Itukan hanya stesen rehat, maka dipersilakan untuk meneruskan perjalanan. Saya mulakan perjalanan dengan semangat yang tinggi kerana bekalan masih banyak, namun pendakian tetap pendakian. Kesekian kalinya, saya kelelahan. Lalu, ditemukan lagi dengan stesen rehat dan begitu berkali-kali. Hingga akhirnya saya tertanya-tanya
“Sampai bilakah hidupku akan begini? Bilakah aku akan sampai ke destinasi?”
Maka di salah satu stesen rehat saya ditemukan jawapan,
“Pada hari itu banyak wajah yang berseri-seri. Merasa senang kerana usahanya sendiri. Mereka dalam syurga yang tertinggi.” Al-Ghasyiyah: 8-10
Persoalan itu kadang-kadang kembali menyapa dek teriknya mentari dan curamnya jalan tapi kini saya sudah ada jawapan! Apa yang perlu, peringatan yang berterusan supaya berpegang teguh pada janjiNya.
Allah telah menemukan saya jalannya, lalu mengapa harus saya teragak-agak lagi? Mungkin saya akan sesekali terkenang jalan yang dahulu pernah saya lalui tetapi untuk kembali, tidak sesekali. Namun petunjuk itu sesungguhnya ditangan Allah.
“Engkau sesatkan dengan cubaan itu sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki” Al-A’raf:155
Mohon doa yang banyak dan tak putus-putus supaya tetap di atas jalanNya. Sesungguhnya keindahan dunia itu benar-benar mempesonakan melainkan buat mereka yang telah terpukau dengan janji abadiNya di sana.
Maaflah andai bahasa ini sukar difahami kerana inilah bahasa hati seorang saya.
No comments :
Post a Comment