Wednesday, April 24, 2013

Langkah ke Gaza 2#

Hayakumullah!



Saya gosok mata berkali-kali. Masih berlagak sepet menentang mentari pagi. Kami sudah sampai ke Arisy. Lupa pula menyebut satu watak penting yang menemani kami sepanjang perjalanan tarbawi ini, Ustaz Khalid, seorang akh warga Mesir. Beliau banyak meng'arab'kan kami dengan menggesa kami bernasyid sepanjang perjalanan. =) Tinggalkan beliau.

Sesampai di Arisy, kami mulakan siri konsert jelajah Gaza kami. Penyanyinya kami dan pendengarnya kami. Ukhti Fatin K dan zaujnya Ustaz Muawwidz A telah awal-awal lagi menyediakan salinan lirik Islami Ya Quds sebagai lagu tema jelajah tarbawi ini. Mata semakin cerah.

Mikrofon kini beralih tangan. Ustaz Qamar memulakan tawjih tarbawinya. Ada satu point besar yang melekat di kepala saya. CARI BUKTI!

Ya, saya ingin cari bukti di Gaza. Bukti bahawa kegagahan lelaki tua seperti Abu Ayub Al-Ansori berkeras ingin menyertai misi membuka Constantine bukan cerita dongeng. Bukti bahawa ibu kental seperti Khansa bukan satu. Bukti bahawa Asmaa Abu Bakar bukan wanita daripada kayangan.

Dan Gaza menyeru,
Jika anda adalah wanita tua, jadilah seperti Fatimah An Najar yang merindui syahid.
Jika anda adalah ibu kepada anak-anak tercinta, jadilah seperti Ummu Nidhol yang menghantar anakanda ke pintu syahid.
Jika anda adalah pemuda gagah dan tampan, jadilah seperti Yahya Ayyash. Masih bujang saat bertemu Kekasihnya.
Jika anda adalah orang tua yang sakit, jadilah seperti Sheikh Ahmad Yaasin yang digeruni dari kerusi rodanya.
Jika anda adalah doktor yang sibuk, jadilah seperti Abdul Aziz Rantisi yang memilih Apache berbanding cardiac arrest.

Begitu lima nama yang disenaraikan Ustaz Qamar dalam tawjihnya. Alhamdulillah, pulang dari Gaza secara peribadi saya telah menambah lagi dua nama daripada senarai itu. Al ukht Al qaid Jamilah Shantee dan wanita-wanita kerabat Assyahid Al Jaabari. Kenapa? Saya akan ceritakan apabila tiba waktunya.

Kami meneruskan sesi dalam bas. Setiap orang berkongsi niat masing-masing menjejak Gaza. Saya masih berusaha mengikhlaskan hati seperti pesan ibu.
Cukuplah saya kongsikan di sini, saya ke Gaza sebagai booster. Secara specific booster amal fardi, solat saya, tilawah, qiyam. Pelik? Baik saya ke Haramain atau iktikaf di masjid bersejarah kegemaran Masjid Amru wal Asr atau masjid indah Masjid Arrahmani Rahim. Selain kerana sukarnya nak ke Haramain dan peluang ke Gaza terbentang depan mata, jujurnya saya sudah terpaut pada satu nama.
Muhannad at Tohir, seorang Qassamiye.

Saya tak sempat selidik siapa beliau tetapi yang pasti beliau adalah pimpinan Briged Izzudin Al-Qassam. Al-kisah bermula ketika kami duduk-duduk sharing di celah-celah katil transit revolusi Mesir di Jedah, ukht NFJF bercerita tentang Muhannad. Satu point yang saya kekal ingat sampai ke hari ini, untuk memegang keahlian alqassam antara perkara yang wajib dilazimi adalah puasa isnin khamis, dikatakan selama 10 tahun. Wallahu alam. Benar atau tidak, tak penting bagi saya. Apa yang penting, saat itu tumbuh percaya dalam diri yang aku boleh dan kena melayakkan diri untuk berdiri dalam saff tentera Allah. Maka sejak itu setiap kali saya berasa hampa dengan amal fardi sendiri, saya akan segera teringat akh Muhannad Tohir ini walau sekali ini sahajalah saya berkenalan dengan beliau. Walaupun Gaza terkenal dengan bumi jihad dan ribath, kefahaman Islam yang saya imani, jihad hanya akan berdiri apabila diiring jiwa sufi sebening embun yang terikat kukuh dengan pencipta langit dan bumi. Dan sekali lagi, saya tidak kalah atau salah. Dapatan baru saya dapat di rumah As syahid Sheikh Ahmad Yasin. Kisahnya bakal menyusul insyAllah.

30 minit kemudian, kami pun tiba di Rafah. Salah satu antara tiga pintu masuk ke Gaza, selain beratus-ratus pintu bawah tanah yang lain (terowong). Diceritakan ada rombongan tunggu berjam-jam, ada yang sekejap. Kami panjatkan tawakal sambil menikmati sarapan pagi. Taamiyah! Bas berhenti dan akhawat turun berehat di surau di atas kedai kopi betul-betul di sebelah kanan pintu gerbang. Liqa ukhawi kami yang entah berapa lama, mungkin sejam lebih dicelah dengan khabar,
"Kita dah boleh jalan!"

Serentak kami sambut dengan lafaz hamdallah. Bergegas kami kembali ke bas. Sempat saya menoleh ke belakang. Dua orang ukhti sedang sujud syukur. Allahumma taqabbal minna!

Bas berhenti betul-betul di depan pintu imegresen Rafah. Azan zohor berkumandang.

Allahu akbar, Allahu akbar!

Begitukah sambutan rabbani untuk perjalanan ini? Saya tersentuh.

Menanti dengan sabar di imegresen Rafah. Kami anak-anak Nil alah bisa tegal biasa dengan bab tunggu-menunggu. Very accepting.

Esok-esok kita melangkah ke Gaza. Berat benar mata saya.

Hayakumullah! Selamat mengutip ibrah.

1 comment :

fateyn k said...

Allah.. satu satu episod terbayang di mata.. Allah yardha 3anki ya ukhti.. sambung terus ya! much support frm here <3