Memandu dari Jalan Tuaran ke Pasar Besar Kota Kinabalu pagi ini membawa satu aura yang berbeza. Ya, hari ini 31 Ogos, Hari Kebangsaan.
Dalam kereta, entah kenapa saya berasa sebak dan menitiskan air mata tiba-tiba apabila akh Hamza Derawi, (Pengurus Aman Palestin di cawangan Gaza) mengucapkan tahniah Kepada rakyat Malaysia atas kemerdekaan di radio. Kita dicemburui dari sudut ini.
Membesar selama 27 tahun sebagai anak Malaysia, saya tahu pelbagai pergolakan kecil dan besar, skandal orang atas dan bawah, isu agama, perpaduan, bangsa telah menggoncangkan tanah yang seluas 330 ribu km2 ini. Saya sempat berasa putus asa dengan apa sahaja yang dinamakan politik, keadilan, bangsa dan kenegaraan. Ditambah lagi pemandangan di pasar pagi ini, melihat anak-anak kecil berhingus memunggah ikan-ikan. Entah berpendidikan entah tidak.
Jika hendak merungut, teruskanlah. Saya langsung tidak berminat untuk turut serta. Terlalu bayak yang kita perlu lakukan dan masih perlu lakukan. Jika tidak, membiaklah netizen yang kuat benar mengomen sana-sini tetapi masih terus makan duit kopi dan mengipas-ngipas.
Lafaz syahadah mengajarkan saya untuk tidak putus asa dan selalu berusaha untuk membuktikan kecintaan pada negara dan ia bermula dari diri sendiri. Saya akan tanamkan juga pada anak-anak saya kelak. Malah insyaAllah sanggup mengorbankannya untuk tanah ini.
Seperti kata Syeikh Umar Mukhtar, pejuang nasionalis Libya,
"Manusia hidup pada dua zaman. Zamannya dan generasinya."
Manusia yang hidup untuk membangunkan tamadun, hayatnya lebih lama daripada usianya.
Dari lubuk hati yang dalam,
"Aku Mencintai Malaysia"
Selamat Hari Kebangsaan buat semua rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa dan keturunan.
Ya, saya percaya untuk mencintai negara, tidak perlu menanggalkan baju bangsa.