sederhana, namun indah ~sumber: FB |
Dia sederhana saja. Dengan blouse longgar ataupun t shirt
dipadankan dengan kain berpotongan lurus,
tudung dipinkan ke bawah, kaca mata dan senyuman. Ya, senyuman yang
mencerahkan. Entah kenapa, ingatanku padanya tak lekang walau kami dipisahkan
rantau, masa dan cerita. Mungkin sekali aku yang bertepuk sebelah tangan. Aku tak
kisah. Padaku, dia antara sosok yang bertanggung-jawab membawa aku ke muka
pintu dakwah. Dia ada saat aku rasakan realnya lagu-lagu nada murni. Sunah
berjuang, nun di sana dan lain-lain. Imaginasi aku tentang mujahid dakwah
dijelmakan depan mata. Mungkin tidak sesempurna yang aku bayangkan, tetapi
cukup bagi aku sekadar kalimah, “Ada!”
Ada manusia yang mewakafkan hidupnya di jalan Allah. Tak
dikenali manusia, tidak popular. Mesra, menyentuh hati, murah senyuman. Ada, yang
sungguh mengesani hatiku. Masih aku ingat bagaimana mencurah-curah air mataku
turun di petang asar itu, tidak dapat menahan rasa terharu bahawa Allah telah
membuka satu lagi pintu rahmatNya untuk aku menyentuh pintu-pintu dakwah yang
ditunjukkan kader-kaderNya. Ya, memang kemudiannya aku bergabung dengan yang
lain, namun masih pada matlamat akhir yang sama, semangat yang serupa meski
cara berbeza. Mungkin ini yang membuatkan aku mampu tunduk hormat pada mereka
dan ringan berlapang-dada.
Dia antara sosok yang memberi inspirasi. Menjemput aku pergi
balik dengan kenarinya. Setia. Dia membaktikan hujung minggunya untuk kami si
adik-adik. Aku tahu ada yang masih kekal di jalan ini, ada yang sudah
bertebaran. Namun, aku yakin Allah tetap akan memanjangkan pahalanya. Betapa
besar jasanya padaku. Menerima aku bertatih di lamannya sebelum aku berangkat
ke bumi ribath ini. Dan akhirnya dia telah berjodoh dengan akh yang
turut berjasa padaku. Senyumku sampai ke telinga mendengar khabar itu. Moga Allah
sudi memanjangkan langkahnya di jalan ini hingga ke syurga.
Moga bercahaya hidupmu J
Sungguh aku sampaikan salam pada langit subuh Kaherah, biar awannya menaungi
kau sekeluarga.