Sunday, January 31, 2010

Pelajaran hari ini










Terkadang apabila aku melihat mereka yang datangnya daripada latar islami yang utuh: sekolahnya, keluarganya, sahabatnya, aku jadi cemburu. Pastinya hati diusik rawan kerana lewatnya aku bangkit dari lena... Tetapi aku ada Syed Qutub, ada Umar Al-Khatab penawar duka. Aku semakin tahu apa itu ukhwahfillah. Aku semakin tahu erti bersahabat hingga syurga. Yang lepas sudah lepas, masa depan sedang menanti. Akan aku jadikan hari ini lebih indah dari semalam, agar hari depanku lebih indah dari hari ini. Kalau bukan aku, siapa lagi?

Sunday, January 24, 2010

Saya suka?


“Mira, apa hobi kamu?”
“Mengumpul setem.”


Ketika sekolah rendah, soalan ini adalah common hatta hingga ke sekolah menengah subjek Bahasa Arab Komunikasi. Seingat saya insya’ (karangan) saya yang pertama dalam bahasa arab bertajuk Hiwayati (hobi saya). Mengumpul setem sejujur-jujurnya bukanlah hobi saya. Cuma untuk mencari satu aktiviti yang ‘boleh’ dinamakan hobi dan lain daripada kawan-kawan sedarjah waktu itu, maka saya pun menjawab begitu. Memang saya ada beberapa koleksi album setem yang diwarisi daripada ayah tetapi rasanya semenjak ayah memberikan saya album itu, mungkin 5% sahaja yang telah saya tambah. Itu pun, setem-setem dari dalam negara, kebanyakannya gambar pokok kelapa sawit. Setem-setem seberang laut, semuanya hasil koleksi ayah saya.

Saya nak bercerita tentang hobikah? Ya dan tidak. Ini cuma secebis catatan buat diri sendiri untuk disemak asal usul diri, untuk sahabat-sahabat yang ingin mengenal diri dan yang paling penting, saya ingin berkongsi sebuah kisah biasa yang mungkin bisa kita raih sesuatu yang luar biasa. Baca sambil berfikir ya!

Setelah pertambahan umur, kali ini soalan yang sama ditanya,

“Mira, apa hobi kamu?”
“Membaca.”



Ya, saya suka membaca. Dari dulu, dari zaman SK Permatang Bertam malah sebelum itu lagi. Perkataan membaca itu, kedengarannya mudah dan simple tetapi cukup bermakna. Bukan sekadar buat saya seorang malah untuk sebuah tamadun. Apatah lagi, wahyu yang pertama adalah iqra!

Genre bacaan, bahasa dan bahan akan membentuk pembinaan diri sesorang. Saya ingat lagi, ketika sekolah rendah, setiap kali melihat patung Barbie (saya tak pernah ada) atau Play Dough saya akan rasa teringin dan berazam untuk menyimpan duit raya bagi membeli mainan tersebut. Namun, akhirnya saya akan laburkan duit raya di Popular CS Sungai Petani. Pada waktu itu Enid Blyton’s Collection berharga RM2.50 sebuah. Biasanya, saya akan beli dua-tiga buah. Saya bermula dengan buku penyiasatan begitu. Saya juga berkongsi minat dengan kawan baik saya ANW. Sering bertukar-tukar koleksi. Pernah sekali ketika darjah tiga, saya membawa sebuah novel cinta yang saya ambil dari rumah nenek saya (mungkin mak teh punya) ke sekolah. Seorang teacher memanggil saya ke mejanya,


p/s: bersambung...doakan baki-baki perperiksaan. Moga kamu sentiasa di dalam rahmat Allah!

Wednesday, January 20, 2010

Pagiku di bahu Nil


Kala aku menyusuri bahu Nil pagi semalam, mataku menangkap bekas kaca yang menari-nari bersama alur Nil. Seraya tanganku menangkap cekap bekas kaca itu dan ku buka. Sekeping kertas kumal, ada sebuah harapan rupanya. Adakah ini surat cinta yang terputus di tengah jalan? Adakah ini warkah terakhir orang putus harapan pada dunia? Aku baca…

Kapal akan berlayar sebentar lagi
Tengkujuh sudah berhenti barangkali di balik sana
Anakanda akan berangkat
Bonda, puteramu ini sudah dewasa
Telah kau beri makan yang baik-baik
Telah kau beri kasih yang tak terhingga
Telah kau ajar ilmu yang berguna
Bonda, usirlah air matamu
Anakanda bimbang tubuh gagah ini akan kalah dek esak tangismu
Anakanda tak ingin kalah sebelum berjuang
Kapal akan berlayar sebentar lagi
Nahkoda sudah siap mengatur acara sedari tadi
Bonda, kau ajarku supaya tabah dalam duga
Tabahkanlah hatimu juga wahai bonda
Aku turut diruntun sayu
Jika bukan kerana cita-citaku pada bangkitnya ummah
Jika bukan kerana impian kita pada gemilangnya bangsa
Jika bukan kerana harapan kita berdua
Tak samudera luas ini aku redah, bonda
Bonda, kau bilang lama dulu
Telah kau tumpahkan darahmu melahirkanku
Buat kau hadiahkan pada seri bangsa dan agama
Kau bilang itu bonda
Bonda, puteramu ini telah dewasa
Telah kau asuh begini rupa
Jangan kau sesal wahai bonda
Kasih kita abadi hingga syurga
Usah kau bekalkan aku dengan air mata
Selaksa doalah jua yang ku pinta
Bonda, andai pemuda yang kau lihat ini masih anak-anak di matamu
Berserahlah pada Tuhan kita, Dia yang akan menjaga anak ini
Telah Dia pelihara Sayidina Ali di malam hijrah
Percayalah anak ini disekelilingnya orang-orang baik
Yang impian mereka saling tak tumpah denganmu bonda
Bonda, andai kau kira anak ini telah dewasa
Yakinlah pada asuhanmu
Tak lain kau yakinlah pada Allah dan Rasulmu
Akan pemuda ini serikan peradaban dan sejarah dengan kalam tauhid
Kapal akan berlayar
Aku pergi dulu bonda
Aku mencintaimu bonda
Andai tak bertemu lagi siapkanlah pertemuan kita di taman syurga

Tap. Kertas kumal yang akan hancur ini dibasahi air mata. Ah, tulisan jawi ini kemegahan bangsaku. Lingua franca. Bahasa yang diangkat taraf kerana Islam. Tak ku sangka di Nil ini juga ku temui kesan-kesannya. Tap. Air mataku masih tak berhenti. Ibu, aku amat merinduimu. Tap. Lagi. Aku kembalikan warkah itu ke tempatnya lalu ku pulangkan kembali kepada Nil. Moga ada jiwa-jiwa lain yang akan sudi membaca dan menghayati. Aku melangkah pulang ke Mouniera. Aku terfikir andainya duduk-duduk ibuku di tebing selat Melaka, tercapai olehnya bekas kaca itu, ketahuilah aku panjangkan kalam warkah itu, buatmu juga!