Tuesday, February 2, 2010

inspirasi syita'



"Penjenayah!" mereka kata, kerana aku menolak kezaliman yang besar,
kerana aku tolak hidup berdiam diri, dalam dakapan paksaan yang pahit. ~petikan video di atas.

p/s: Teringinnya nak ke KOBANNA. Alhamdulillah peperiksaan tamat. Mengisi waktu agar tak menjadi derhaka pasca-peperiksaan...

Sunday, January 31, 2010

Pelajaran hari ini










Terkadang apabila aku melihat mereka yang datangnya daripada latar islami yang utuh: sekolahnya, keluarganya, sahabatnya, aku jadi cemburu. Pastinya hati diusik rawan kerana lewatnya aku bangkit dari lena... Tetapi aku ada Syed Qutub, ada Umar Al-Khatab penawar duka. Aku semakin tahu apa itu ukhwahfillah. Aku semakin tahu erti bersahabat hingga syurga. Yang lepas sudah lepas, masa depan sedang menanti. Akan aku jadikan hari ini lebih indah dari semalam, agar hari depanku lebih indah dari hari ini. Kalau bukan aku, siapa lagi?

Sunday, January 24, 2010

Saya suka?


“Mira, apa hobi kamu?”
“Mengumpul setem.”


Ketika sekolah rendah, soalan ini adalah common hatta hingga ke sekolah menengah subjek Bahasa Arab Komunikasi. Seingat saya insya’ (karangan) saya yang pertama dalam bahasa arab bertajuk Hiwayati (hobi saya). Mengumpul setem sejujur-jujurnya bukanlah hobi saya. Cuma untuk mencari satu aktiviti yang ‘boleh’ dinamakan hobi dan lain daripada kawan-kawan sedarjah waktu itu, maka saya pun menjawab begitu. Memang saya ada beberapa koleksi album setem yang diwarisi daripada ayah tetapi rasanya semenjak ayah memberikan saya album itu, mungkin 5% sahaja yang telah saya tambah. Itu pun, setem-setem dari dalam negara, kebanyakannya gambar pokok kelapa sawit. Setem-setem seberang laut, semuanya hasil koleksi ayah saya.

Saya nak bercerita tentang hobikah? Ya dan tidak. Ini cuma secebis catatan buat diri sendiri untuk disemak asal usul diri, untuk sahabat-sahabat yang ingin mengenal diri dan yang paling penting, saya ingin berkongsi sebuah kisah biasa yang mungkin bisa kita raih sesuatu yang luar biasa. Baca sambil berfikir ya!

Setelah pertambahan umur, kali ini soalan yang sama ditanya,

“Mira, apa hobi kamu?”
“Membaca.”



Ya, saya suka membaca. Dari dulu, dari zaman SK Permatang Bertam malah sebelum itu lagi. Perkataan membaca itu, kedengarannya mudah dan simple tetapi cukup bermakna. Bukan sekadar buat saya seorang malah untuk sebuah tamadun. Apatah lagi, wahyu yang pertama adalah iqra!

Genre bacaan, bahasa dan bahan akan membentuk pembinaan diri sesorang. Saya ingat lagi, ketika sekolah rendah, setiap kali melihat patung Barbie (saya tak pernah ada) atau Play Dough saya akan rasa teringin dan berazam untuk menyimpan duit raya bagi membeli mainan tersebut. Namun, akhirnya saya akan laburkan duit raya di Popular CS Sungai Petani. Pada waktu itu Enid Blyton’s Collection berharga RM2.50 sebuah. Biasanya, saya akan beli dua-tiga buah. Saya bermula dengan buku penyiasatan begitu. Saya juga berkongsi minat dengan kawan baik saya ANW. Sering bertukar-tukar koleksi. Pernah sekali ketika darjah tiga, saya membawa sebuah novel cinta yang saya ambil dari rumah nenek saya (mungkin mak teh punya) ke sekolah. Seorang teacher memanggil saya ke mejanya,


p/s: bersambung...doakan baki-baki perperiksaan. Moga kamu sentiasa di dalam rahmat Allah!

Wednesday, January 20, 2010

Pagiku di bahu Nil


Kala aku menyusuri bahu Nil pagi semalam, mataku menangkap bekas kaca yang menari-nari bersama alur Nil. Seraya tanganku menangkap cekap bekas kaca itu dan ku buka. Sekeping kertas kumal, ada sebuah harapan rupanya. Adakah ini surat cinta yang terputus di tengah jalan? Adakah ini warkah terakhir orang putus harapan pada dunia? Aku baca…

Kapal akan berlayar sebentar lagi
Tengkujuh sudah berhenti barangkali di balik sana
Anakanda akan berangkat
Bonda, puteramu ini sudah dewasa
Telah kau beri makan yang baik-baik
Telah kau beri kasih yang tak terhingga
Telah kau ajar ilmu yang berguna
Bonda, usirlah air matamu
Anakanda bimbang tubuh gagah ini akan kalah dek esak tangismu
Anakanda tak ingin kalah sebelum berjuang
Kapal akan berlayar sebentar lagi
Nahkoda sudah siap mengatur acara sedari tadi
Bonda, kau ajarku supaya tabah dalam duga
Tabahkanlah hatimu juga wahai bonda
Aku turut diruntun sayu
Jika bukan kerana cita-citaku pada bangkitnya ummah
Jika bukan kerana impian kita pada gemilangnya bangsa
Jika bukan kerana harapan kita berdua
Tak samudera luas ini aku redah, bonda
Bonda, kau bilang lama dulu
Telah kau tumpahkan darahmu melahirkanku
Buat kau hadiahkan pada seri bangsa dan agama
Kau bilang itu bonda
Bonda, puteramu ini telah dewasa
Telah kau asuh begini rupa
Jangan kau sesal wahai bonda
Kasih kita abadi hingga syurga
Usah kau bekalkan aku dengan air mata
Selaksa doalah jua yang ku pinta
Bonda, andai pemuda yang kau lihat ini masih anak-anak di matamu
Berserahlah pada Tuhan kita, Dia yang akan menjaga anak ini
Telah Dia pelihara Sayidina Ali di malam hijrah
Percayalah anak ini disekelilingnya orang-orang baik
Yang impian mereka saling tak tumpah denganmu bonda
Bonda, andai kau kira anak ini telah dewasa
Yakinlah pada asuhanmu
Tak lain kau yakinlah pada Allah dan Rasulmu
Akan pemuda ini serikan peradaban dan sejarah dengan kalam tauhid
Kapal akan berlayar
Aku pergi dulu bonda
Aku mencintaimu bonda
Andai tak bertemu lagi siapkanlah pertemuan kita di taman syurga

Tap. Kertas kumal yang akan hancur ini dibasahi air mata. Ah, tulisan jawi ini kemegahan bangsaku. Lingua franca. Bahasa yang diangkat taraf kerana Islam. Tak ku sangka di Nil ini juga ku temui kesan-kesannya. Tap. Air mataku masih tak berhenti. Ibu, aku amat merinduimu. Tap. Lagi. Aku kembalikan warkah itu ke tempatnya lalu ku pulangkan kembali kepada Nil. Moga ada jiwa-jiwa lain yang akan sudi membaca dan menghayati. Aku melangkah pulang ke Mouniera. Aku terfikir andainya duduk-duduk ibuku di tebing selat Melaka, tercapai olehnya bekas kaca itu, ketahuilah aku panjangkan kalam warkah itu, buatmu juga!

Friday, December 18, 2009

Lari 100m di Stadium Kepala Batas


Al-kisahnya, telah berlangsung satu pertandingan lumba lari 100m. Cikgu Mala menyuruh aku merakamkan suasana hari itu, dalam karangan tidak kurang daripada 120 patah perkataan. Aku pun pergi ke Stadium Chantek Kepala Batas berhampiran Dewan Millenium (tempat aku berakon sebagai pokok ketika pertandingan Puisidra yang lalu~tak suka!). Hari itu begitu gamat sekali. Aku duduk dan melihat pemandangan yang aneh di garisan permulaan sambil menangkap perbualan antara Pakcik Ysub dan Makcik Ydob... Inilah antaranya





Peserta pertama








Tidak fit malah berpenyakit kronik. Perlu melalui proses penyembuhan yang intensif. Perlukan lebih banyak latihan. Malangnya dia perasan bagus! Tak mahu langsung minta atau terima bantuan. Jangan bimbang, aku bukan suu zhon. Dia sendiri yang mengatakan begitu. Paramedik bimbang dia akan jatuh pengsan di pertengahan track. Juri bimbang dia tak sampai-sampai ke garisan penamat sebelum dia dan pertandingan ditamatkan.


Peserta Kedua








Fit tetapi malas. Kalau tak mula lari, bila pula sampainya? Ada shortcut ke?



Peserta Ketiga








Tidak fit tetapi sudah beberapa kali ke pusat latihan sukan. Sudah tiga bulan menjalani diet rendah kolestrol. Sudah sebulan lebih berlari setiap hari di Stadium Kepala Batas. Kadang-kadang ada juga miss latihan. Namun, surat penyesalan telah dihantar.


Peserta Keempat








Fit. Rajin berlatih. Ada style juga. Aku dah daftar masuk FC dia...



Kenapa empat sahaja? Sebab tangan dah lenguh menulis. Tambahan pula, aku nak mendapatkan air kelapa sejuk satu, sebelum pistol perlepasan ditembak . Oh, sebelum itu! Adakah antara kamu yang membaca ini, telah menjadi salah seorang daripada mereka? Kalau kamu orang yang keempat itu, nanti kita atur temu janji boleh? Teringin nak tahu rahsia kamu dan...dan...dan...kawan-kawan aku dan aku (lebih-lebih lagi) nak autograph boleh?


p/s: Dalam perjalanan menuju ke Pakcik Ria Kepala untuk air kelapa muda yang menyegarkan itu aku tiba-tiba terfikir. Kenapa aku duduk menonton saja? Nak juga piala-piala dan bejana emas hadiah pertandingan. Hehe!

Monday, December 14, 2009

Pantang maut sebelum ajal

(kredit cerita yang seronok ini untuk: Suatu Perkongsian)
Seorang rakan dari seberang laut mengirimkan email kepada saya beberapa hari lepas. Sebelum ini memang kami selalu berutus-utus email. Emailnya kali ini berkenaan kisah seekor kuda tua yang terjatuh ke dalam sebuah perigi buta. Tuan kuda tersebut adalah seorang peladang. Kuda tersebut sudah tidak diperlukan lagi oleh tuannya kerana ketuaannya (tidak pasti betul atau tidak istilah ini) merupakan beban kepada tuannya. Setelah menyedari kuda tersebut terjatuh ke dalam perigi buta tersebut, peladang tersebut mula berfikir macam-macam. Adakah dia perlu menyelamatkan kuda tersebut atau membiarkannya sahaja?

Setelah berfikir panjang, dia membuat satu keputusan yang amat dahsyat … di luar dari batas peri kemanusiaan walau pun dia sebenarnya seorang manusia.

Dia terfikir untuk membiarkan kuda tersebut mati di dalam perigi tersebut kerana untuk menyelamatkan kuda tersebut, kosnya tidaklah murah. Kuda tersebut pula sudah tua. Apa yang boleh dia buat dengan kuda tua? Ditambah dengan niatnya sebelum ini untuk mengambus perigi buat tersebut kerana perigi itu sudah tidak berguna lagi.

Dua makhluk yang tidak berguna ini akan dimusnahkan; kuda tua dan perigi buta …..
Mungkin untuk mengambil berkat amal jamaie, dia memanggil rakan-rakannya yang lain untuk membantunya mengambus perigi tersebut lalu menguburkan kuda tersebut di dalamnya. Mereka berkumpul dan memulakan kerja.
Seorang demi seorang mula menyodok tanah dan mencampakkannya ke dalam perigi. Tidak cukup dengan tanah, mereka juga mula membaling kayu-kayu dan sampah sarap di sekeliling perigi tersebut ke dalamnya.

Kuda tua mula menyedari apa yang berlaku. Ingatkan mereka akan mengeluarkannya dari perigi. Lain diharap lain yang berlaku. Kuda tua itu pun mula menjerit-jerit. Apa yang disebutnya saya tidak tahu. Minta tolonglah kot. Tidak lama selepas itu, peladang dan rakan-rakannya tiba-tiba terhenti dari menyodok dan mengambus. Suasana suspen seketika kerana kuda tersebut tidak lagi menjerit-jerit. Kemudian mereka menyambung kembali kerja mereka untuk menyelesaikan apa yang dirancang; menguburkan kuda tua di dalam perigi buta yang dikambus dengan tanah.

Setelah beberapa ketika, peladang menjenguk ke dalam perigi untuk melihat sedalam manakah telah mereka berjaya kambus dan berapa banyak lagi baki kerja mereka.
Terkejut …… Apa yang dilihat oleh peladang di dalam perigi buta tersebut? Sesuatu di luar jangkaannya telah berlaku.

Kuda tersebut masih hidup dan sedang berada hampir dengan mulut perigi. Tanah-tanah yang mereka campakkan ke dalam perigi semuanya berada di bawah tapak kakinya. Rupanya setiap kali tanah dicampakkan ke atas badannya, kuda tua tersebut secara diam-diam menggoyangkan badannya menjatuhkan tanah ke bawah tapak kakinya. Kemudian dia naik memijak tanah tersebut. Begitulah seterusnya; setiap kali dicampakkan tanah, setiap kali itu jugalah dia makin tinggi menghampiri mulut perigi.
Ketika semua sedang kebingungan melihat apa yang berlaku, kuda tua tersebut melompat keluar dari perigi dan berlari menjauhkan diri dari peladang dan rakan-rakannya.
Itulah hakikat kehidupan. Setiap masalah yang berlaku adalah tanah dan beban yang dicampakkan ke atas kita. Jika kita bijak, semua bebanan itu akan kita pijak untuk meningkatkan maqam dan kedudukan kita di sisi Allah.

Di akhir emailnya, rakan saya menulis:

لا تتوقف ولا تستسلم أبدا
مهما شعرت أن الآخرين يريدون دفنك حيا



Jangan berhenti dan jangan menyerah sama sekali, walau pun kamu merasa bahawa orang lain sedang berusaha menguburkan kamu hidup-hidup.
Wallahu a’lam
p/s: saya rasa gembira semula

Monday, December 7, 2009

A.K.A.L


Ini bukan suara-suara escapisme
Ini bukan suara manusia lemah yang hanya ingin berpaut pada gemilangnya silam
Ini suara manusia yang mengorek 'ibrah umat
Mahu menjejak khuthoh kebangkitan umah!
Nasionalisme tak terbataskan oleh sempadan
Di mana La ilaha illa Allah di ungkap, di situ tanah kita
Kita bangga punya datok nenek daripada kesultanan Melayu Melaka
kerana kita tahu berkilauan selat Melaka dek kerana berkilatnya tauhid dalam jiwa
Kita juga tahu datok nenek kita berkawan erat dengan saudara-saudara daripada Abasiyah, Uthmaniyah
Kita bangga menjadi anak Melayu yang gemilangya kerana Islam
dan kita akan ulang kembali indahnya saat-saat itu!
p/s: Ayuh kenali siapa kita? Kenali apa peranan Kesultanan Melayu Melaka dalam khilafah Islamiyah!....tak perlu bawa buku teks sejarah sekolah menengah anda...dan lunch adalah percuma!