Alhamdulillah...Alhamdulillah
Dah terlampau lama tidak menulis.
Moga Allah terus beri kekuatan sempena Ramadhan ini.
Ramdhan Kareem semua!
............................
............................
Masjid Nabawi |
Ashraff Zaki melangkah keluar dari pintu Masjid Nabawi. Setelah
menunaikan kewajipan Asar, sedikit zikir dan doa, sempat dia disapa Ammu Amr
yang sering duduk di kaki tangga pintu. Pak cik tua yang berumah di Masjid Nabi itu, baru dikenali dua hari yang
lalu.
“Balik hotel Ashraff?”
“Minum petang Pak cik. Dah berjanji dengan Aliyah.”
“Moga diberkati anakku,” doa Amm Amr.
“Waiyyak Ya Amm,” balas Ashraff berbahasa-basi dengan beberapa
patah perkataan Arab yang diketahuinya. Aliyah ada mengajarkan sedikit-sedikit.
Aliyah graduan dari tanah Amr Al-Asr. Bermukim enam tahun lamanya di tanah Arab
itu. Memang fasih.
“Panjangnya berdoa,” manis senyuman Aliyah mengusik
disebalik Rayband hitam yang menutupi sebahagian wajah .
“Lama saya tunggu tau.”
Pagar nombor 15 Masjid Nabawi ini memang ‘spot’ menunggu
kebanyakan jemaah, terutamanya bagi pasangan suami isteri. Masjid kedua umat
Islam ini mampu memuatkan kira-kira sejuta manusia. Bayangkanlah betapa jauhnya
menapak dari satu pintu ke pintu yang lain.
“Saya doakan awak macam dalam surah Furqan ayat 74, selalu
jadi penyejuk mata saya, begitu juga bakal anak-anak kita,” balas Ashraff.
Semakin menggula wajah Aliyah.
Beriringan keduanya
ke kafe Milano yang tidak jauh dari perkarangan Masjid Nabawi. Pendingin hawa
meredakan kepanasan. Suhu bulan Mei itu kira-kira 38 darjah celcius.
Ashraff memesan secawan syai billaban dan untuk Aliyah Nescafe
billaban.
“Sibuk betul orang Malaysia mengulas isu PRU kat FaceBook.
Rumah dah siap pahat berbunyi,” komen Ashraff.
Fathirah bilisytoh disuapkan ke mulut.
“Baguslah. Itu tandanya concern. Kalau tak prihatin
payahlah pula,” Aliyah menghirup Nascafe billaban.
“Overconcern. Keyboard warrior bersepah. Entah mana
yang betul, mana yang tidak.”
Aliyah menganggukkan-anggukkan kepala.
“Betul juga awak cakap tu. Semua nak ubah tapi diri sendiri
tak nak berubah. Mentaliti lama juga. Itu yang sibuk cakap pasal politik
memanjang kat Facebook macam patriotik betul. Tapi masih juga nak claim
overtime yang dia tak kerja. Masih juga buang sampah merata-rata. Masih
juga memandu macam tak pernah ada lesen.
Lagi buruk, yang berbangga sangat dengan bangsa penjajah. Rambut,
cara pakai, cara fikir pun dah tukar kiblat.”
“Isteri saya ni kalau dah bercakap macam nak masuk
bertanding juga,” usik Ashraff.
“Kalau saya bertanding awak bagi ke?” Aliyah tak nak kalah.
“Eh, suami awak ni supportive tau. Memang awak boleh.
Tapi, habiskan exam part 1 awak dulu. Dah bayar!” Ashraff memulangkan.
Aliyah hanya tersengih. Manja. Diambil baki fathirah
bilisythoh daripada tangan Ashraff, dihabiskannya.
Sebulan sebelum berangkat ke tanah suci, Aliyah baru saja
melunaskan yuran peperiksaan kepakarannya dalam bidang perbidanan dan sakit
puan. Sengaja mereka mengambil kesempatan bercuti dalam 3 minggu sebelum Aliyah
fokus dengan peperiksaannya. Lagipun, duit yang disimpan untuk majlis
pernikahan mereka banyak berlebihan. Aliyah menolak majlis perkahwinan
besar-besaran. Katanya cukuplah sederhana saja, asal dapat meraikan
saudara-mara, sahabat dan jiran yang mendoakan mereka.
“Encik Ashraff, betul apa saya cakap. Ramai yang nak ubah
pemimpin, ubah sistem pendidikan, sistem ekonomi yang lebih baik tetapi tak
ramai yang nak self reflect. Kita sebagai rakyat lebih utama untuk
berubah. Tak payah cakap benda besar-besar. Solat lima waktu daripada umur 7
tahun, sampai 27 tahun surah yang sama dibacanya. Itupun dah kira bagus cukup
lima waktu.”
“Surah apa awak? Surah al-ikhlas, tak pun surah al-asr,”
balas Ashraff. Meledak ketawa keduanya.
“Untuk keluarga kecil kita ini, apa yang awak fikir kita
boleh ubah?” soal Ashraff. Antara kegemarannya, mendengar buah fikiran Aliyah.
Tak pernah jemu.
“Kalau awak cakap pasal anak, jujurnya saya cenderung untuk
fokus pada pendidikan dari rumah. Mungkin kita tak mampu seratus persen tapi,
kalau boleh lima tahun terawal umur mereka biarlah saya banyak habiskan masa di
rumah. Tak apa gaji kita tak bertambah berganda-ganda pun. Apa yang ada cukup
untuk saya, asal tangan ni dapat asuh mereka. Ajar kenal Allah, kenal Nabi,”
Aliyah memandang keluar.
Jauh pandangannya jatuh kearah mimbar hijau. Dibawah
mimbar itu adalah Raudhah, yang menempatkan makam junjungan Rasul tercinta.
Manusia sanggup berasakkan asal dapat berdamping dan menyampaikan salam pada
lelaki hebat ini. Lelaki yang di tangannya kalimah La ilaha illallah bergema
dari hanya seorang hingga sampai ke seluruh pelosok alam.
Aliyah terkenang peristiwa dimana Rasul dan para sahabat
duduk dalam satu pertemuan. Makanan dihidangkan. Di kanan Nabi duduk seorang
anak kecil. Maka Nabi menghulurkan makanan itu kepada orang di kiri baginda,
seorang dewasa. Si anak kecil lantas menuntut hak yang sepatutnya diutamakan. Mula
daripada kanan. Pertama kali mendengar kisah ini, Aliyah terkejut. Sebagai anak
Melayu, dirasakan anak ini kurang ajar. Tetapi tidak baginda. Respon yang
menakjubkan. Baginda kemudiannya memberi makanan tersebut pada anak itu,
menghargai kedudukannya. Anak itu, seorang yang berani. Berani menyatakan
pendapat dan hak. Tidaklah itu dikatakan kurang ajar asal masih dalam
lingkungan adab dan kata yang sopan.
Generasi begini yang dirindukan Aliyah. Bersifat pahlawan.
“Amiin. Saya amiinkan semua doa awak,” Ashraff turut terbawa
dengan mimpi itu.
“Sementara itu, sebelum Allah kurniakan kita tanggung jawab
yang lebih besar, sementara kita hanya masih berdua, saya cadangkan kita lebih
banyak membaca dan menambah ilmu, pergi course.
Parenting. Kalau tak
diguna pada anak-anak kita, kita boleh guna pada anak-anak saudara, anak-anak
murid awak yang datang mengaji kat rumah tu pun boleh,” cadang Ashraff.
Aliyah memandangnya tak berkelip.
“Kenapa Puan? Tak percaya ke?” balas Ashraff melihat riak
Aliyah.
Aliyah mengoyak
senyuman.
“Saya baru sedar parenting skill ni bukan untuk orang
ada anak je. Saya rasa, kita dapat improve diri kita personally juga.
More sensitive towards others, observant, selfless. Itukan selalu sifat
ibu bapa. Memandangkan isteri saya ni, macam makcik-makcik,concern betul
dengan society, kita boleh jadi ibu bapa kepada masyarakat sambil
mendidik diri kita,” sambung Ashraff.
“Makcik pun bolehlah pakcik!” bersinar-sinar mata Aliyah.
Mungkin impian lamanya tak dikendongnya sendirian lagi.
“Jom kita balik hotel siap-siap. Nak iktikaf Maghrib sampai
Isya pula nanti.”
Ashraff menghulurkan wang SR18. Mereka beriringan pulang bersama
impian selepas Asar di Masjid Nabi.
No comments :
Post a Comment