Oleh : Amirah Ab Jalil, Tahun 6, Universiti Kaherah
Selepas penubuhan Negara Islam Madinah dan pembukaan Makkah para sahabat tidak hanya menongkat dagu di Masjid Nabawi atau beriktikaf tidak keluar-keluar dari Masjidil Haram. Sebaliknya projek pembukaan tanah umat Islam terus dilaksanakan atas dasar kefahaman terhadap ayat 193 surah Al- Baqarah,
“Sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka”
Kegemilangan ini terus berlangsung dan sehingga empayar Islam meliputi 2/3 dunia. Empayar ini berakhir dengan tragedi apabila Sultan Abdul Hamid II digulingkan.
Sejak runtuhnya khilafah pada 1924 hingga kini, pelbagai pihak cuba mengemukakan penyelesaian untuk mengembalikan ketuanan Islam. Penulis-penulis Muslim seluruh dunia menghantar surat kepada Syeikh Syakib Arsalan mencadangkan muktamar untuk pemilihan khalifah. Namun ditolak dalam satu kata-katanya yang terkenal,
“Adakah kamu ingin mengumpulkan angka-angka kosong? Mahu atau tidak, kita harus memulakan daripada bawah.”
Terdapat usaha-usaha dakwah juga daripada berberapa tokoh terkenal seperti Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan lain-lain.
Pada 1928 Gerakan Islam IM ditubuhkan dan mula menyedarkan orang ramai akan khilafah yang telah hilang dan menyeru ke arah penegakkan semula khilafah islamiyah. Pengasasnya telah mencadangkan satu manhaj (kaedah) perubahan berasaskan kefahaman terhadap sirah dan sejarah. Manhaj ini disimpulkan secara mudahnya dengan istilah yang dikenali ramai pendokong gerakan islam sebagai, maratib amal. Bermula daripada pembentukan individu muslim, keluarga muslim, membimbing masyarakat, membebaskan tanah air daripada kuasa asing, memulihkan kerajaan supaya benar-benar bercirikan islam, mewujudkan negara Islam yang akan membentuk khilafah islamiyah dan akhirnya menjadi kuasa utama dunia (ustaziatul alam). Inilah formula yang digagaskan oleh pengasasnya untuk mengembalikan ketuanan islam.
Relevansi Manhaj Perubahan IM
Kemarahan rakyat Mesir terhadap rejim Mubarak sampai ke kemuncak apabila tercetusnya revolusi 25 Januari. Revolusi ini adalah respon terhadap kekejaman dan pengabaian rejim ini terhadap beberapa aspek kritikal seperti kenaikan taraf hidup, rasuah dan lemahnya projek pendidikan dalam tempoh yang panjang.
IM muncul di tengah-tengah revolusi itu dengan tujuan menyelamatkan revolusi daripada diambil kesempatan mereka yang berkepentingan. Kekuatan gerak kerja dakwah IM dalam membina individu dan keluarga muslim terbukti apabila mampu membentuk satu kekuatan yang bergerak di tengah-tengah masyarakat. Mereka berjaya memberi pengaruh yang kuat dalam memimpin hala tuju revolusi sekaligus menjadi calon favourite bagi menggantikan rejim Mubarak sekalipun berada di bawah tekanan rejim sebelum ini.
Pasca revolusi 25 Januari di Mesir, apabila IM mengumumkan penglibatan dalam pilihan raya presiden sesetengah pihak mendakwa IM tidak lagi berpegang pada manhaj perubahan, sepertimana yang digagaskan dahulu. Timbul persoalan terutama kepada mereka yang menggabungkan diri dengan gerakan Islam, adakah manhaj taghyir IM ini masih relevan?
Beberapa senario semasa harus diambil sebagai perkiraan:
- Kemenangan tipis Dr. Muhammad Mors dalam pilihanraya presiden menggambarkan dokongan terhadap kuasa Islam dan syariah masih belum kukuh dalam kalangan masyarakat tanpa menafikan kemungkinan ada perancangan yang kuat untuk menggagalkan IM. Terdapat juga golongan yang memangkah Dr. Muhammad Morsy kerana tidak mahu revolusi menjadi sia-sia dengan perlantikan Ahmad Syafiq, sisa rejim Mubarak. Bukan kerana mereka mendokong aspirasi Islam yang dibawakan IM.
- Revolusi 25 Januari dilihat sebagai kebangkitan rakyat menentang kezaliman melebihi kebangkitan untuk menegakkan kuasa Islam.
- Penggulingan Dr. Muhammad Morsy baru-baru ini menunjukkan proses ‘pembinaan masyarakat’ yang belum sempurna. Sebahagian masyarakat gagal memahami hakikat pertembungan desakan untuk menjatuhkan kuasa Islam dan isu good governance. Hal ini kerana, sentimen yang dimainkan untuk menecetuskan revolusi 30 Jun adalah seputar isu minyak dan elektrik. Isu ini berjaya mempengaruhi sebahagian orang Islam yang naïf.
Melihat senario ini, ternyata manhaj taghyir yang dicadangkan 1928 dahulu, masih relevan. Sistem dan projek-projek Islam tidak mungkin dilaksanakan secara menyeluruh selagi tiada dokongan yang kuat daripada masyarakat. Hanya masyarakat yang benar-benar kuat jati diri Islamnya mampu dibawa melangkah ke fasa yang lebih mencabar lagi iaitu pembinaan kerajaan dan Negara Islam. Oleh itu, semakin besar projek perubahan, semakin kuat gerak kerja pentarbiyahan dan dakwah harus berjalan agar modal di tangan cukup untuk dilaburkan dalam projek perubahan itu.
Satu anggapan simplistik jika sewenang-wenangnya mendakwa IM telah meninggalkan fasa membimbing masyarakat dan melompat secara tergesa-gesa kepada fasa pembentukan kerajaan dan pembinaan Negara Islam apabila Dr. Muhammad Morsy diisytihar sebagai presiden.
Perlu dinyatakan penglibatan IM secara kuat dalam politik Mesir pasca revolusi lebih bertujuan untuk menyelamatkan revolusi rakyat. Ia adalah bentuk pengecualian demi mengelakkan rakyat Mesir keluar daripada mulut harimau masuk ke mulut buaya. Namun, proses ‘pembinaan masyarakat’ tetap diteruskan dalam masa yang sama. IM masih menjadi entiti berpengaruh dalam masyarakat. Hal ini terbukti sekali lagi apabila Dr. Muhammad Morsy digulingkan, IM berjaya mengumpulkan rakyat merentas latar ; khusunya latar gerakan Islam yang pelbagai, untuk bertahan di Medan Rabaah.
Malaysia vs Mesir
Projek perubahan yang kita cita-citakan adalah projek perubahan bersifat Islam. Bukan sekadar perubahan atas permukaan seperti sekolah islam, bank islam dan lain-lain jenama Islam. Lebih utama lagi perubahan yang mendasar iaitu pengukuhan akidah Islam yang terperinci dalam setiap individu Muslim di tanah air kita. Individu Muslim yang tunduk sujud pada undang-undang dan kehendak Allah di segenap aspek.
Apabila kita menyentuh tentang manhaj perubahan yang menyeluruh sesetengah individu menganggap kita harus meruntuhkan segala sistem yang ada di negara kita sekarang dan menggantikannya dengan sistem yang baru. Saya berpendapat ia tidak tepat kerana Malaysia bukan tanah yang baru mengucap syahadah. Jangan pukul rata dengan mengatakan semuanya tidak Islam. Negara ini adalah Negara Islam sekalipun belum sempurna keislamannya. Kita tidak perlu bermula daripada kosong. Tugas kita adalah menyempurnakan keislamannya di setiap sudut seperti ekonomi, undang-undang, pendidikan dan lain-lain.
Juga dakwah harus dikuatkan samada kerja-kerja memahamkan masyarakat tentang Islam dan tak kurang penting menyedarkan masyarakat tentang akidah jahiliyyah seperti liberal, sekular dan lain-lain. Perubahan besar yang kita cita-citakan pada Negara ini masih sama formulanya. Membina individu muslim dan keluarga muslim yang sentiasa mendokong agenda Islam hingga mampu bergerak dalam masyarakat sehingga memiliki bargain power (kuasa tawar-menawar) yang kuat mengangkat agenda pengislaman sistem-sistem di Negara yang tercinta ini.
1 comment :
Saya ambil berat tentang akidah :) Jangan susah hati. masih ada yang ambil berat tentang akidah ini...sye sentiase doakan..marilah datang ke blog sy kalau sudi..kuatkan semangat ye wahai pelajat Mesir. http://www.azimahshukor.blogspot.com
Post a Comment