Monday, June 27, 2011

Dinda




Buat dinda yang jauh di mata namun dekat di hati,

Kaherah hari ini selepas asar, sedikit redup walau bahangnya sang mentari di musim panas tetap terasa. Namun keringat tak terasa dek bayu yang bertiup masuk melalui muka balkoni. Saat aku menulis ingatan buatmu ini, aku sedang bergelut dengan peperiksaan akhir tahun empat forensik yang bakal menjelma. Moga kata ‘bergelut’ itu bukan sekadar hiperbola. Moga benar. Moga Allah kabulkan untuk aku terus bergelut.

Dinda,
Mungkin aku dan engkau jauh. Pertemuan kita hanya sebentar, momen kita tidak banyak tetapi aku masih mengingati tupperware kuning yang kau letakkan di bawah mejaku bersama sehelai nota kecil yang tertulis nama samaranmu. Aku hargainya. Mungkin aku pada engkau hanya seorang kakak dikalangan ramai-ramai manusia yang hadir dalam hidupmu. Aku datang dan aku pergi. Biar saja aku jadi pemerhati jauh dan ku kisahkan tentang engkau kepada teman-temanku yang tentu sekali tak mengenali engkau kerana aku sering berkata, “adik saya begini, begini…”

Dinda,
Terkadang gusar menyapaku. Apa hujungnya kisahmu. Apa kau akan terus mendaki puncak cintaNya atau kau lemas dalam dakapan dan pujian manusia-manusia. Apa kau terus berpegang pada taliNya atau kau hilang dibalik timbunan kata-kata kosong yang hanya khayalan dan perjidalan yang tiada henti. Namun aku tahu antara kau dan aku ada Pemilik Alam Semesta yang mengatur perjalanan kita berdua. Aku yakini Al-Wakeel akan memelihara engkau. Aku serahkan engkau dalam jagaanNya. Memang seumur hidup engkau pun, bukan aku yang menjagamu. Seperti aku kata tadi, aku hanya orang yang memerhati dari jauh.

Dinda,
Teguhlah, tsabatlah, teruskan jalan menuju cintaNya. Selama engkau dan aku punya matlamat yang sama, selama itu kasih ini tiada putusnya sekalipun kita di benua yang berbeza, di lingkungan yang berlainan.

Buat engkau yang bakal terbang jauh,
Jadilah seperti bintang malam. Tampak rendah di permukaan sungai, rupanya tinggi melepas awan. Jangan seperti asap menjulang naik, baunya busuk menyesak nafas.

Kerana kasih ini fillah..  

p/s; Mungkin engkau akan terbaca, mungkin tidak. Tidak mengapa, kerana kata-kata ini tidak sepenting doa yang langsung sampai pada Tuhan.

2 comments :

jalilz said...

GANTIKAN DINDA ITU DGN AYAH

Puteri said...

Mana sama ayah. xboleh ganti, kena buat entri lain ^^, ayah kot kena buat satu untuk mira <3