Monday, September 14, 2015

Pesannya, "Berehat di Syurga"



Tapak tangan ibu saya tidak halus. Tapi usapnya melepaskan semua lelah, mengugurkan kekusutan. Suara ibu saya tidak merdu. Tapi dendangnya menenangkan, menguatkan. 
Setiap tatihan saya, langkahan saya diiring semboyan semangatnya. Ibu sering ingatkan,
"Dunia bukan tempat berehat. Berehat hanya di syurga."
Ibu tidak pernah suruh saya ikut usrah, terlibat dengan dakwah tetapi ibu suruh saya berjuang dan menyumbang. Saya tahu ibu rindu apabila saya menghabiskan masa muda saya di perantauan. Saya tahu ibu rindu apabila saya menghabiskan cuti musim panas saya di Mesir dan kini berkelana lagi di Kota Kinabalu tetapi ibu jarang sekali mengungkapkannya apatah menggesa saya pulang, jauh sekali menghalang untuk saya berpergian lagi. Ibu akan iring perjalanan-perjalanan ini dengan pesanan yang mengukuhkan jiwa, peringatan akan ganjaran-ganjaran di syurga. Ibu saya bukan si Khansa yang anak-anaknya syahid di jalan Allah tetapi ibu saya akan benar-benar bersyukur jika kami mampu menjadi kunci syurganya.

Dulu kawan-kawan kata, ayah saya garang. Tetapi itulah tempat saya berdebat setiap hari. Samada ayah saya tidak cukup gerang atau anaknya terlebih degil. Ayah saya seorang pendidik ketika saya kecil, dan kini sahabat yang sangat memahami, memberi ruang dan sangat penyayang. Walaupun saya sudah berjalan merata-rata tetapi apabila bersama dia masih mahu saya menjadi penumpang, dia masih akan risau tentang saya. Tiket sudah beli? Barang sudah siap? Ada duit? 
Dia akan menasihatkan saya jangan terlalu 'stress' mengejar cita-cita dan keinginan. Dia yang akan berkata, 
"Pulanglah jika itu dapat menenangkan. Ayah tunggu di airport."
Dia sentiasa membuatkan saya rasa memang saya satu-satunya anak perempuannya. Dia yang sentiasa kata,
"I knew you. I knew my daughter."
Dia yang lewat telefon akan berkata,
 "Love you. miss you."  

Kedua-dua mereka telah mengajarkan saya sebuah perkara yang berharga. Kedua-duanya bukan dari latar belakang sekolah agama tetapi dinamik 'tarbiyah beit muslim' ini sangat saya rasakan. Saya anak sulung maka saya menyaksikan perubahan-perubahan ini. Saya dibesarkan dengan asalnya tiada solat jemaah di rumah dan kini jarang sekali tanpa solat jemaah. Saya dibesarkan dengan asalnya TV menayangkan apa-apa sahaja tetapi kini hanya rancangan yang memberi kredit untuk iman dan akal. Tiada lagi drama-drama atau rancangan picisan berkumandang di rumah. Adik-adik laki semua faham tuntutan solat di masjid. 

Kami sentiasa di pesan untuk mengejar ilmu, bukannya harta. 

Saya tidak mampu berada di sisi mereka. Dengan jalan yang saya pilih ini mungkin pengorbanan yang paling besar itu daripada mereka. Moga Allah alirkan berkah yang tiada putusnya, pahala yang mencurah-curah buat ibu ayah.

Sunday, September 6, 2015

Kunci

Terkunci rapat lidahku
Terkunci juga sendi jemariku
Lahar yang aku telan, hanya asap-asap nipis mampu aku hembuskan
Terkunci di dalam
Menggelegak dan panas
Hingga nafasku kencang nadi ku resah
Menanti sang hujan memadam rasa panas
Tidak juga turun-turun
Mungkin turut terkunci

Pada yang maha membuka jalan
Pada yang memegang kunci perbendaharaan
Pada yang menjanjikan jalan keluar yang tak dijangkau akal
Aku mohon kunci ini dibuka
Aku ingin memuntahkan lahar panas
yang membuat aku resah
Aku mohon titis-titis rahmat
Mencurah pada merah jingga yang meluap-luap
Aku mohon wahai Allah