1.
Sayyid Qutub dalam Tafsir
fi Zilalil Quran mengulas kata-kata Firaun dalam Surah An-Naziat ayat 24 :
lalu dia berkata " Aku Tuhan kamu yang tertinggi" |
Firaun berkata begitu atas kelalaian rakyat jelata (Bani Israel), tertipu dengan ketaatan dan kepatuhan mereka.
2.
Kata As-syahid lagi:
Merekalah (Bani Israel) yang beri belakang mereka untuk ditunggang, beri leher
untuk ditarik, tundukkan kepala untuk dilangkah dan mereka serahkan kemuliaan
dan kehormatan untuk dilakukan sewenang-wenangnya.
3.
Setiap kisah dalam al-quran
signifikan di setiap zaman. Berapa ramai Firaun dan Bani Israel pada zaman ini?
4.
Firaun digelar sebagai
seorang yang thogut; yang didefinasikan oleh As-syahid Sayyid Qutub sebagai
mereka yang melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan kehendak Allah. Berapa
banyak thagut yang berleluasa dalam masyarakat kita, masyarakat muslim
khususnya? Masyarakat muslim yang majoritinya diwakili Melayu di Malaysia?
Thogut pemikiran; pluaralisme, liberalisme
(semuanya anak cucu sekularisme).
Thogut kepimpinan; rasuah, kroni.
Thogut akhlak; bahasa porno, claim lebih
daripada hak, plagarisme, bohsia.
5.
Bani Israel digelar sebagai
kaum yang ghaflah yang bermaksud lalai. Atas kelalaian ini mereka dipijak-pijak
Firaun. As-Syahid Sayyid Qutub cuba sampaikan betapa krisis masyarakat ini
tidak berlaku kerana kejahilan atau kezaliman sebelah pihak sahaja. Ada faktor
‘penolak’ dan ‘penarik’. Bani Israel ada saham yang perlu dipertanggungjawabkan
atas apa yang menimpa mereka. Kelalaian mereka, hati yang kosong daripada iman
menyebabkan mereka mudah untuk ditunggangi. Betapa ramai ‘Bani Isarel’ yang
bergerak dalam masyarakat kita. Mereka yang sibuk dengan arus hidup sendiri.
Mengejar ringgit-ringgit untuk menempah bahagia sementara, malah tidak
terjamin. Mereka-mereka ini dibeli jiwa dan harga diri dengan wang. Contoh
mudah, rasuah!
6.
As-syahid Sayyid Qutub
berpendapat, Firaun-firaun ini tak akan mampu melontarkan kata-kata takbur dan
buruk seperti ayat tadi, jika ‘Bani Israel’ adalah manusia-manusia yang ada
harga diri. Firaun tak akan mampu kerana pasti akan ada yang bangkit
mempertahankan kebenaran.
7.
Contoh mudah, kisah
Sayyidina Umar Al-Khatab, seorang wanita dan mahar. Umar yang juga khalifah
ketika itu dalam khutbahnya telah menetapkan nilai mahar. Maka sesiapa yang
meletakkan lebih tinggi daripada nilai tersebut akan diserahkan bakinya ke
Baitul Mal. Tiba-tiba, bangkit seorang wanita, “Apakah kau mengharamkan apa
yang dihalalkan Allah?” kerana Allah telah menyatakan dalam surah an-Nisa ayat
20, tidak dibenarkan mengambil kembali mahar yang telah diserahkan. Bahkan
mahar adalah hak seorang wanita untuk menentukannya. Keberanian wanita yang
berpegang teguh pada kata Allah dan Rasul ini, menyebabkan beliau bangkit dan
menegur seorang Umar. Seorang Umar, yang syaitan sekalipun tak akan lalu lorong
yang telah beliau lalu. Tambah menakjubkan khalifah kedua umat Islam ini dengan
mudah menerima kebenaran daripada rakyat dibawah pemerintahannya. Isunya di
sini, bukan sahaja Sayyidina Umar adalah ‘khalifah yang diberi petunjuk’ tetapi rakyatnya juga bukan ‘Bani Israel’
yang tak ada harga diri, yang tak kenal jati diri. Wanita itu bangkit
mempertahankan kebenaran kerana tahu harganya sebagai seorang Muslimah. (ada pihak berpendapat kisah ini 'lemah').
8.
Contoh yang lebih dekat
lagi, adalah organisasi/persatuan dikeliling kita. Mana-mana organisasi yang
islami gaya fikirnya, pemimpin dan yang dipimpin, akan membawa nilai yang
serupa dalam kisah ini. Pasti pimpinan tak akan sewenang-wenang menyalahi
perintah Allah. Jika tersadung sekalipun, pasti ada yang bangkit mempertahankan
keislamian gaya fikir mereka.
9.
Maka kedua-dua faktor iaitu
pemimpin dan yang dipimpin ada peranan masing-masing dalam mengangkat ‘harga’
masyarakat. Tidak keterlaluan jika saya katakan, siapa di atas mencerminkan
siapa di bawah. Mungkin kita mula menunding jari kepada orang lain disekeliling
kita,
“Kaulah orang bawah yang menyebabkan orang
sekian,sekian naik atas, menyebabkan sekularisme berleluasa, menyebabkan sistem
ekonomi penuh riba. Aku juga kena tempias!” tetapi hakikatnya apabila
masyarakat hilang jati diri dan diperhambakan pemikiran thaghut kitalah yang
harus semak diri kita. Sejauh mana telah kita sampaikan kepada mereka? Sejauh
mana kita telah cuba menyedarkan mereka yang terbelenggu. Sejauh manakah kita
berperanan seperti nabi Musa yang bukan sekadar berdepan dengan Firaun tetapi
turut cuba menjernihkan gaya fikir Bani Israel.
Dakwah! Sedang mereka melihat
thagut itu indah dan mempesona.