Nak mula dari mana? Ada masa dalam hidup ini segalanya datang secara tiba-tiba lalu segalanya kelihatan bercelaru. Sehingga telur goreng menjadi hitam, teh menjadi susu. Hati mula berkeluh-kesah, asyik merintih. Mungkin tidak dibibir tetapi jelasnya riak di wajah.
Kita pun mula bertanya. Nak mula dari mana?
Jigsaw puzzle 1000 keping. Sila susun menjadi sebuah pasu kaca yang indah. Langkah awal, mestilah kita cuba dapatkan rupa gambar itu secara menyeluruh. Kemudian, mulakan dengan bahagian yang dapat dikenal pasti. Bertahap-tahap. Dari tepi ke tengah. Dari kawasan yang jelas sempadannya ke corak-corak abstrak. Jangan gelojoh. Sabar di atas sabar.
Hidup tidaklah semudah jigsaw puzzle tetapi analoginya itu serupa. Hasil jigsaw puzzle yang telah sempurna mungkin paling jauh keuntungannya, boleh dilelong sekitar USD 20,000 katakan, mungkin kurang, mungkin lebih. Dijadikan pameran di rumah Repley’s atau apa-apa sahaja. Nilainya itu pada material.
Namun, hasil sebuah kehidupan yang disusun berdasarkan manual Allah berharga syurga. Kita sedang menyusun keping-keping puzzle. Detik-detik hidup inilah, keping-keping puzzle itu. Cuma kita tak tahu rupa akhirnya apa. Thiqah billah, percaya pada Allah. Itu penyerahan kita pada Allah kerana kita tahu susunan yang terindah adalah di bawah panduanNya. Sekalipun tak nampak di mata, yakin, yakin. Dengan masa yang berlalu, ada antara kita sudah mencecah separuh hidupnya bermakna telah menyusun separuh daripada kepingan puzzlenya. Ada yang sudah ¾, ada yang baru 2/4 dan seterusnya. Ada yang sudah dapat meneka rupa keseluruhan puzzle itu. Ada yang masih kabur-kabur. Ada yang tersilap susun, mula mengubah strategi di saat-saat akhir.
Begitulah gambaran hidup yang penuh misteri ini. Ilmu Allah terlalu luas, cakupannya di luar kudrat hamba. Masa yang telah Dia hadiahkan dengan belas ihsan, syukurilah kerana masa adalah nafas kita. Pergi masa, sebahagian daripada diri kita turut pergi. Hinggalah kepingan terakhir akan pergi bersama saat yang terakhir.
Wahai hati yang gundah. Wahai jiwa yang resah. Lepaskanlah keinginan kamu pada dunia, kerana ia bakal mengundang kecewa. Rindu dan cinta sedalam-dalamnya pada Dia, duniakan datang melutut, akhirat digenggam tak lurut. Andai rasa sepi, ingatlah di kubur kamu akan sendiri. Bukankah Allah itu sentiasa ada? Bersama, terasing rasanya sama kerana Allah sentiasa di sisi. Percayalah, sesuatu yang indah sedang menanti, cuma sedikit mujahadah yang perlu diberi!