Tuesday, December 22, 2015

Shepard Pie dan Apple Crumble



 Aku meletakkan naskah Umar Al-Khatab Second Chaliphate di meja. 
Seperti biasa, aku yang sememangnya manusia nostalgik sempat memejamkan mata dalam dingin musim sejuk Fustat. Aku bayangkan, inilah tanah yang sama yang dipijak Amr Al-Asr. 

Agaknya inilah bau udara yang sama kota lama ini, cuma kini berganda banyak Carbon 
Monoxide. 
Di sinilah mengalir sungai yang gerun dengan surat hamba Allah Umar Al-Khatab.

“Alya, suka baca buku-buku macam ni?” 
Terkejut aku dari kembara yang sebentar. Kak Samihah duduk bersila di hadapan.
Aku hanya angguk sambil menyedekahkan senyum.

Aku hanya mengenali Kak Samihah malam tadi. Dia datang bermalam di rumah dengan 
bayaran Sherpad Pie yang ummph! Katanya sudah bersahabat dengan rakan sebilikku buatbeberapa ketika.

Mereka datang berdua dari Hayy Asyir. Menaiki 3 bas dengan total perjalanan dicampur 
dengan kesesakan menjadi lengkap 2 setengah jam. Seolah-olah dari Cairo ke Tanta. Membawa ayam fresh, kentang dan bahan-bahan Sherpard Pie.

“Macam tak percaya kisah sahabat-sahabat ini real.” Aku mula bersuara.

“Percayalah,” balasnya. Senyumnya lebih lebar dari senyumku tadi. Lebih manis. 

“Sentiasa akan ada manusia yang hidup dan matinya lillah. Macam yang kita baca setiap 
kali dalam Doa Iftihah tu. Lillah. Wangnya lillah, senyumnya lillah, marahnya lillah, 
professionnya lillah.”

Aku membetulkan letak dudukku.

“Macam apa yang akak buat? Datang nak masak Shepard Pie sahaja?”

Kak Samihah diam. 

“ Macam kisah famous Musaab Bin Umayr yang smart, kaya dan bak kata orang ada segalanya, tapi sanggup melepaskan semua kebahagian superficial tu, berhijrah ke Madinah lillah. Tiada jaminan kekayaan dan kesenangan”

“Huh!” berat nafas ku lepaskan. Beratnya mahu berganjak ke daerah ‘kerana diri’ kepada 
‘kerana Allah.’

“Alya akan buat perkara yang sama jika Alya faham nanti.”

Seusai perbualan pendek itu terjadi lagi episod-episod 
sembang yang membangkitkan. Sehingga aku secara lisannya bersetuju dan berjanji untuk menjadikan segalanya lillah. Moga setiap kudrat yang dicurahkan Kak Samihah dan 
seangkatannya menjadi saksi bahawa tiada mustahil menjadikan seluruhnya lillah dan aku 
juga melakukan perkara yang sama. Sedang dan akan terus. Cuma aku tak pandai buat
Shepard Pie. Apple Crumble bolehlah.

Thursday, December 17, 2015

Menjadi Kaya

Bismillahirrahmanirrahim

Miskin bererti tidak mampu memberi. Ada si miskin sentiasa mengharapkan pemberi. Ada juga yang tak sudi menerima apa-apa. Ada si miskin yang sedaya-upaya bangkit sehingga mampu memberi.

Ketika di Mesir saya selalu pesan pada diri dan orang sekeliling,
" Besarkanlah jiwa. Jadilah pemberi nescaya akan dilimpah kecukupan dan kau sekaligus menjadi kaya!"

Begitu prinsip yang diajarkan Imam Hassan Al-Banna dalam 10 muwasafat muslim: Nafiun Lighayrih- Bermanfaat untuk orang lain.

"Tin kosong tak akan mampu melimpahkan susu"

Ketika zaman belajar, saya selalu berdoa agar Allah mudahkan urusan akademik saya, supaya saya boleh memberi. Memberi pada mengajarkan sahabat-sahabat, memberi waktu untuk kegiatan membaiki diri, memberi tenaga pada jiwa yang memerlukan. Alhamdulillah mungkin itu membuatkan saya berasa cukup kaya.

Bergaji tidak menjadikan anda kaya. 
Setelah berkerja saya akui 'kesempitan' yang saya rasa sedikit demi sedikit menjadikan saya miskin. Miskin senyuman, kata-kata. Hingga posting dan tulisan-tulisan saya mulai memendek dari hari ke hari.

Tiada yang saya mampu lakukan melainkan terus berjalan dan memohon daripada yang Maha Kaya untuk sentiasa mencukupkan.

Sekarang hujan lebat membasahi bumi Kota Kinabalu. Moga ia turut membasahi jiwa-jiwa yang merindukan kasih Tuhannya. Jiwa-jiwa yang dahagakan hidayah dan petunjuk. Jiwa-jiwa yang letih dengan kelemahan kemiskinan hamba Tuhan. Moga hujan ini membawa rezeki dan barkah yang cukup banyak, mengkayakan yang miskin.

Moga dan moga. Amin Ya Rabbi.

Thursday, November 12, 2015

3 rasa




Yang saya cari bukan phd holder
tidak apa tiada title doktor
cukup yang sangat mencintai ilmu
rajin meniti jalan mudah ke syurga 
yang pintar menyelesaikan masalah umat
yang handal mengendalikan jiwa
yang pandangan jauh penuh agenda

Yang saya cari bukan berharta
tetapi yang cukup gigih berusaha untuk menjaga
tidak biar saya menggigil kelaparan
tidak biar saya merempat kesejukan
yang faham erti keizahan seorang muslim
yang faham erti tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima

Memang ya indah kalau 30 juzuk di kepala
Lagi indah jika 30nya tersemat dalam dada
Namun tetap tidak apa selagi mahu itu ada
terserlah pada raga

3 rasa pada suatu masa
biar Tuhan menjawab segala
pada tenang dan mudahnya cara
menerima pilihanNya
Moga akhirnya di syurga

Wednesday, October 14, 2015

Langkah Muharamku

Terapi.

Apabila dalam kesukaran dan keputus-asaan saya gemar kembali meneliti tulisan-tulisan lama. 

"Oh ini rahmat-rahmat yang telah pun Allah kirimkan."

Kembali diseru untuk sentiasa yakin dan bersyukur dengan kasihNya. Begitu jugalah hari ini. Saat saya sangat memerlukan kekuatan. tiada lain saya harapkan melainkan bantuan kasihNya.

Tiada yang mampu membukakan jalan melainkanNya.
Tiada yang mampu meringankan yang berat melainkanNya.
Tiada yang mampu menegraskan yang lembut melainkanNya.

Saya sangat sedar akan kesederhanaan diri, cukup sedar akan pertolongan-pertolonganNya disepanjang perjalanan saya, Saya tak mampu membayangkan kehidupan saya tanpa pergantungan kepadaNya.

ولا تكلنا الى أنفسنا طرفة عين ولا أقلّ من ذلك
Jangan dibiarkan kami bertawakal pada diri kami dalam sekelipan mata sekalipun kurang daripadanya

Ya Allah
Ya Allah

Izinkanlah, mudahkanlah perjalananku...

Busyro 
1 Muharam
4.20pm

Thursday, October 8, 2015

Ya Allah, peliharalah



Bismillahirrahmanirrahim

Tempat: Beit Busyro, Jalan Tuaran
Masa: Malam hari ke 7 tagging O&G
Random thought

1. Aku pasti akan mengingat semula saat-saat ini. Moga ia menjadi blessing in disguise. Menitis air mataku saat aku pergi ke Popular, saat mata aku tertancap di deretan buku-buku BESTSELLER terkini. Setiap kali aku ke kedai buku, aku akan bertanya pada diri, "Bilalah tulisan-tulisan aku akan berada di situ?"

Bukan sangat kerana aku mahu menjadi popular atau mahu namaku tercop di cover page, Cuma sedih dengan indikator betapa 'tidak proaktifnya' aku menyedekahkan sendi-sendi yang aku ada ke jalan yang aku cinta dengan cara yang sangat-sangat aku enjoy.

Moga aku bangkit kembali. Menulis walaupun sedikit. Semua orang ada kisahnya. Semua orang ada battle yang sedang dilalui. Semua orang boleh jadi hero dalam kisah masing-masing.

2. Merealisasikan hadis "man raa mungkaran...", kata-kata Sayyid Qutb tentang uzlah syuuriah sangat-sangat tak mudah. Memang hati ni bagai disiat-siat saat membaca Muntolaq Bab Al-Misaq. Aku tanya balik pada diri di mana lafaz perjanjian yang telah aku ungkapkan 3 tahun lalu. Setepatnya di mana diri aku berdiri?

Tidak mudah meringankan bibir menegur pada manusia-manusia stress yang memandang orang lain sebagai alat. Tidak mudah tersenyum saat hati terluka atau maruah tercalar. Tidak mudah menjadi sosok daie yang ingin menebarkan cinta dan kasih Allah pada muka bumi ini.

3. Jujur aku katakan hidupku pada hari ini tidaklah mudah. Aku yakin Allah sedang mengajarku sesuatu yang besar. Aku yakin Allah sedang memeliharaku. Aku sangat yakin Allah mencintai dan akan menjagaku, simply aku tak rasa ada pergantungan lain yang lebih besar daripada Allahuakbar.

Ya Allah, peliharalah...

Monday, September 14, 2015

Pesannya, "Berehat di Syurga"



Tapak tangan ibu saya tidak halus. Tapi usapnya melepaskan semua lelah, mengugurkan kekusutan. Suara ibu saya tidak merdu. Tapi dendangnya menenangkan, menguatkan. 
Setiap tatihan saya, langkahan saya diiring semboyan semangatnya. Ibu sering ingatkan,
"Dunia bukan tempat berehat. Berehat hanya di syurga."
Ibu tidak pernah suruh saya ikut usrah, terlibat dengan dakwah tetapi ibu suruh saya berjuang dan menyumbang. Saya tahu ibu rindu apabila saya menghabiskan masa muda saya di perantauan. Saya tahu ibu rindu apabila saya menghabiskan cuti musim panas saya di Mesir dan kini berkelana lagi di Kota Kinabalu tetapi ibu jarang sekali mengungkapkannya apatah menggesa saya pulang, jauh sekali menghalang untuk saya berpergian lagi. Ibu akan iring perjalanan-perjalanan ini dengan pesanan yang mengukuhkan jiwa, peringatan akan ganjaran-ganjaran di syurga. Ibu saya bukan si Khansa yang anak-anaknya syahid di jalan Allah tetapi ibu saya akan benar-benar bersyukur jika kami mampu menjadi kunci syurganya.

Dulu kawan-kawan kata, ayah saya garang. Tetapi itulah tempat saya berdebat setiap hari. Samada ayah saya tidak cukup gerang atau anaknya terlebih degil. Ayah saya seorang pendidik ketika saya kecil, dan kini sahabat yang sangat memahami, memberi ruang dan sangat penyayang. Walaupun saya sudah berjalan merata-rata tetapi apabila bersama dia masih mahu saya menjadi penumpang, dia masih akan risau tentang saya. Tiket sudah beli? Barang sudah siap? Ada duit? 
Dia akan menasihatkan saya jangan terlalu 'stress' mengejar cita-cita dan keinginan. Dia yang akan berkata, 
"Pulanglah jika itu dapat menenangkan. Ayah tunggu di airport."
Dia sentiasa membuatkan saya rasa memang saya satu-satunya anak perempuannya. Dia yang sentiasa kata,
"I knew you. I knew my daughter."
Dia yang lewat telefon akan berkata,
 "Love you. miss you."  

Kedua-dua mereka telah mengajarkan saya sebuah perkara yang berharga. Kedua-duanya bukan dari latar belakang sekolah agama tetapi dinamik 'tarbiyah beit muslim' ini sangat saya rasakan. Saya anak sulung maka saya menyaksikan perubahan-perubahan ini. Saya dibesarkan dengan asalnya tiada solat jemaah di rumah dan kini jarang sekali tanpa solat jemaah. Saya dibesarkan dengan asalnya TV menayangkan apa-apa sahaja tetapi kini hanya rancangan yang memberi kredit untuk iman dan akal. Tiada lagi drama-drama atau rancangan picisan berkumandang di rumah. Adik-adik laki semua faham tuntutan solat di masjid. 

Kami sentiasa di pesan untuk mengejar ilmu, bukannya harta. 

Saya tidak mampu berada di sisi mereka. Dengan jalan yang saya pilih ini mungkin pengorbanan yang paling besar itu daripada mereka. Moga Allah alirkan berkah yang tiada putusnya, pahala yang mencurah-curah buat ibu ayah.

Sunday, September 6, 2015

Kunci

Terkunci rapat lidahku
Terkunci juga sendi jemariku
Lahar yang aku telan, hanya asap-asap nipis mampu aku hembuskan
Terkunci di dalam
Menggelegak dan panas
Hingga nafasku kencang nadi ku resah
Menanti sang hujan memadam rasa panas
Tidak juga turun-turun
Mungkin turut terkunci

Pada yang maha membuka jalan
Pada yang memegang kunci perbendaharaan
Pada yang menjanjikan jalan keluar yang tak dijangkau akal
Aku mohon kunci ini dibuka
Aku ingin memuntahkan lahar panas
yang membuat aku resah
Aku mohon titis-titis rahmat
Mencurah pada merah jingga yang meluap-luap
Aku mohon wahai Allah