Sunday, May 20, 2018

Lepas Asar di Masjid Nabi


Alhamdulillah...Alhamdulillah

Dah terlampau lama tidak menulis.

Moga Allah terus beri kekuatan sempena Ramadhan ini.

Ramdhan Kareem semua!

............................

Masjid Nabawi

Ashraff Zaki melangkah keluar dari pintu Masjid Nabawi. Setelah menunaikan kewajipan Asar, sedikit zikir dan doa, sempat dia disapa Ammu Amr yang sering duduk di kaki tangga pintu. Pak cik tua yang berumah di  Masjid Nabi itu, baru dikenali dua hari yang lalu.

“Balik hotel Ashraff?”

“Minum petang Pak cik. Dah berjanji dengan Aliyah.”

“Moga diberkati anakku,” doa Amm Amr.

“Waiyyak Ya Amm,” balas Ashraff berbahasa-basi dengan beberapa patah perkataan Arab yang diketahuinya. Aliyah ada mengajarkan sedikit-sedikit. Aliyah graduan dari tanah Amr Al-Asr. Bermukim enam tahun lamanya di tanah Arab itu. Memang fasih.

“Panjangnya berdoa,” manis senyuman Aliyah mengusik disebalik Rayband hitam yang menutupi sebahagian wajah .

“Lama saya tunggu tau.”

Pagar nombor 15 Masjid Nabawi ini memang ‘spot’ menunggu kebanyakan jemaah, terutamanya bagi pasangan suami isteri. Masjid kedua umat Islam ini mampu memuatkan kira-kira sejuta manusia. Bayangkanlah betapa jauhnya menapak dari satu pintu ke pintu yang lain.

“Saya doakan awak macam dalam surah Furqan ayat 74, selalu jadi penyejuk mata saya, begitu juga bakal anak-anak kita,” balas Ashraff.

Semakin menggula wajah Aliyah.

Beriringan keduanya ke kafe Milano yang tidak jauh dari perkarangan Masjid Nabawi. Pendingin hawa meredakan kepanasan. Suhu bulan Mei itu kira-kira 38 darjah celcius.

Ashraff memesan secawan syai billaban dan untuk Aliyah Nescafe billaban.

“Sibuk betul orang Malaysia mengulas isu PRU kat FaceBook. Rumah dah siap pahat berbunyi,” komen  Ashraff. Fathirah bilisytoh disuapkan ke mulut.

“Baguslah. Itu tandanya concern. Kalau tak prihatin payahlah pula,” Aliyah menghirup Nascafe billaban.

Overconcern. Keyboard warrior bersepah. Entah mana yang betul, mana yang tidak.”
Aliyah menganggukkan-anggukkan kepala.

“Betul juga awak cakap tu. Semua nak ubah tapi diri sendiri tak nak berubah. Mentaliti lama juga. Itu yang sibuk cakap pasal politik memanjang kat Facebook macam patriotik betul. Tapi masih juga nak claim overtime yang dia tak kerja. Masih juga buang sampah merata-rata. Masih juga memandu macam tak pernah ada lesen.
Lagi buruk, yang berbangga sangat dengan bangsa penjajah. Rambut, cara pakai, cara fikir pun dah tukar kiblat.”

“Isteri saya ni kalau dah bercakap macam nak masuk bertanding juga,” usik Ashraff.

“Kalau saya bertanding awak bagi ke?” Aliyah tak nak kalah.

“Eh, suami awak ni supportive tau. Memang awak boleh. Tapi, habiskan exam part 1 awak dulu. Dah bayar!” Ashraff memulangkan.

Aliyah hanya tersengih. Manja. Diambil baki fathirah bilisythoh daripada tangan Ashraff, dihabiskannya.

Sebulan sebelum berangkat ke tanah suci, Aliyah baru saja melunaskan yuran peperiksaan kepakarannya dalam bidang perbidanan dan sakit puan. Sengaja mereka mengambil kesempatan bercuti dalam 3 minggu sebelum Aliyah fokus dengan peperiksaannya. Lagipun, duit yang disimpan untuk majlis pernikahan mereka banyak berlebihan. Aliyah menolak majlis perkahwinan besar-besaran. Katanya cukuplah sederhana saja, asal dapat meraikan saudara-mara, sahabat dan jiran yang mendoakan mereka.

“Encik Ashraff, betul apa saya cakap. Ramai yang nak ubah pemimpin, ubah sistem pendidikan, sistem ekonomi yang lebih baik tetapi tak ramai yang nak self reflect. Kita sebagai rakyat lebih utama untuk berubah. Tak payah cakap benda besar-besar. Solat lima waktu daripada umur 7 tahun, sampai 27 tahun surah yang sama dibacanya. Itupun dah kira bagus cukup lima waktu.”

“Surah apa awak? Surah al-ikhlas, tak pun surah al-asr,” balas Ashraff. Meledak ketawa keduanya.

“Untuk keluarga kecil kita ini, apa yang awak fikir kita boleh ubah?” soal Ashraff. Antara kegemarannya, mendengar buah fikiran Aliyah. Tak pernah jemu.

“Kalau awak cakap pasal anak, jujurnya saya cenderung untuk fokus pada pendidikan dari rumah. Mungkin kita tak mampu seratus persen tapi, kalau boleh lima tahun terawal umur mereka biarlah saya banyak habiskan masa di rumah. Tak apa gaji kita tak bertambah berganda-ganda pun. Apa yang ada cukup untuk saya, asal tangan ni dapat asuh mereka. Ajar kenal Allah, kenal Nabi,” Aliyah memandang keluar.

Jauh pandangannya jatuh kearah mimbar hijau. Dibawah mimbar itu adalah Raudhah, yang menempatkan makam junjungan Rasul tercinta. Manusia sanggup berasakkan asal dapat berdamping dan menyampaikan salam pada lelaki hebat ini. Lelaki yang di tangannya kalimah La ilaha illallah bergema dari hanya seorang hingga sampai ke seluruh pelosok alam.

Aliyah terkenang peristiwa dimana Rasul dan para sahabat duduk dalam satu pertemuan. Makanan dihidangkan. Di kanan Nabi duduk seorang anak kecil. Maka Nabi menghulurkan makanan itu kepada orang di kiri baginda, seorang dewasa. Si anak kecil lantas menuntut hak yang sepatutnya diutamakan. Mula daripada kanan. Pertama kali mendengar kisah ini, Aliyah terkejut. Sebagai anak Melayu, dirasakan anak ini kurang ajar. Tetapi tidak baginda. Respon yang menakjubkan. Baginda kemudiannya memberi makanan tersebut pada anak itu, menghargai kedudukannya. Anak itu, seorang yang berani. Berani menyatakan pendapat dan hak. Tidaklah itu dikatakan kurang ajar asal masih dalam lingkungan adab dan kata yang sopan.

Generasi begini yang dirindukan Aliyah. Bersifat pahlawan.

“Amiin. Saya amiinkan semua doa awak,” Ashraff turut terbawa dengan mimpi itu.

“Sementara itu, sebelum Allah kurniakan kita tanggung jawab yang lebih besar, sementara kita hanya masih berdua, saya cadangkan kita lebih banyak membaca dan menambah ilmu, pergi course
Parenting. Kalau tak diguna pada anak-anak kita, kita boleh guna pada anak-anak saudara, anak-anak murid awak yang datang mengaji kat rumah tu pun boleh,” cadang Ashraff.
Aliyah memandangnya tak berkelip.

“Kenapa Puan? Tak percaya ke?” balas Ashraff melihat riak Aliyah.

 Aliyah mengoyak senyuman.

“Saya baru sedar parenting skill ni bukan untuk orang ada anak je. Saya rasa, kita dapat improve diri kita personally juga. More sensitive towards others, observant, selfless. Itukan selalu sifat ibu bapa. Memandangkan isteri saya ni, macam makcik-makcik,concern betul dengan society, kita boleh jadi ibu bapa kepada masyarakat sambil mendidik diri kita,” sambung Ashraff.

“Makcik pun bolehlah pakcik!” bersinar-sinar mata Aliyah.

Mungkin impian lamanya tak dikendongnya sendirian lagi.

“Jom kita balik hotel siap-siap. Nak iktikaf Maghrib sampai Isya pula nanti.”

Ashraff menghulurkan wang SR18. Mereka beriringan pulang bersama impian selepas Asar di Masjid Nabi.