Mengimani pertemuan kembali di syurga yang kekal tidak menjadikan perpisahan ini manis. Tetap perit. Apalagi jika harus mengorbankan perasaan orang yang tersayang. Mengorbankan perasaan sendiri mungkin tidaklah seperit itu.
“Setelah setahun berlalu, aku tidak tahu lagi untuk menangis. Yang ada hanya rintihan-rintihan bisu bagai gelombang kecil bersembunyi di dasar lautan yang ada masa-masanya tiba-tiba mengganas bak tsunami. Di waktu itu tiada lagi esak tangis bahkan sedu-sedan yang tak tertahan-tahan. Aku akan tergagap-gagap menyusun bicara. Bibir bawah digetap untuk menyembunyikan getar di kerongkong sedang pipi terus dibanjiri air mata.”
Betapa perjuangan ini memerlukan lebih daripada hanya kata-kata.
-Ummu Musaab, IUG2012
Umairah terjelepok ke tanah. Cuba menelan ayat yang teramat pahit itu. Cuba menenangkan diri dengan mengandai-andaikan dirinya adalah jelmaan Musaab bin Umair yang kacak. Muhajir terawal ke Madinah, kalau boleh digelarkan begitu. Belum ada arahan hijrah secara langsung daripada Allah, tetapi arahan daripada Rasulullah untuk pulang ke Madinah bersama penduduk Yathrib selepas perjanjian Aqabah I. Menjadi duta yang mengetuk pintu hati ahli Yathrib. Angin musim sejuk bertiup kasar, menghulur salam pertemuan. Mujur Allah mencipta bulu mata, jika tidak pastilah berparut korneanya diguris pepasir.
Beza antara dia dan Musaab bukan hanya dia wanita dan Musaab adalah jejaka. Musaab adalah pemuda pilihan Nabi. Wajar dia sehebat itu. Aku tak hebat. Aku tak mampu!
“Bukankah aku juga pilihan? Pilihan Allah. Jika tidak, takkan aku masih di sini menghirup bayu bumi Solahuddin,” bisik jiwa besarnya.
Umairah membuka sneaker biru mudanya yang dibanjiri pasir. Membalik-balikkan. Pasir-pasir halus terbang keluar. Habaan mansura. Debu-debu yang berterbangan. Umairah tak sanggup menggadaikan tiketnya ke syurga. Amal-amalnya bagaikan debu. Apa patut kini dia menyiakan peluang yang hadir sekali seumur nafas?
Umairah membuka sneaker biru mudanya yang dibanjiri pasir. Membalik-balikkan. Pasir-pasir halus terbang keluar. Habaan mansura. Debu-debu yang berterbangan. Umairah tak sanggup menggadaikan tiketnya ke syurga. Amal-amalnya bagaikan debu. Apa patut kini dia menyiakan peluang yang hadir sekali seumur nafas?
Panggilan ke Malaysia semalam benar-benar menyesak nafas.
“Baliklah Maia. Ummi bukan sihat sangat. Balik!” ringkas kata-kata Insyirah sebelum talian mati. Talian internet terputus. Umairah menghamburkan air mata ke lantai bagi menyisihkan resah menggunung di dada.
Andai Insyirah tahu, pilihannya tidak semudah itu. Perjalanan masuk memakan masa berminggu-minggu. Masih Umairah sabar berulang-alik ke pejabat kedutaan. Penahanan berjam-jam di pintu masuk Rafah bertemankan isy baladi semata-mata untuk menjaga pengaliran wang keluar.
“TIADA BAJET PULANG,” begitu dicoret dalam diari kecilnya setiap hari. Motivasi diri!
Jika hanya sebelah kaki dihulur ke luar sempadan sekalipun, dia bakal mimpi siang seumur hidup untuk kembali berbakti di situ lagi.
“Maia, ni ummi nak cakap.”
“Ummi.”
Umairah memandang sayu lapangan Islamic University Ghaza (IUG). Universiti termuda antara 8 universiti di sekitar Ghaza ini menampung kira-kira 20,000 mahasiswa dan mahasiswi. Sayap timurnya hancur kesan amukan Zionis yang tak pernah surut dendam.
“Ah, masih berbaki 3 bulan!”
Umairah sedang mengusahakan sistem perpustakaan baru buat institut pengajian tinggi ini setelah hancur dalam serangan Zionis pada tahun 2009. Mengumpulkan bahan yang sedia ada, membawa masuk bahan dari luar dan menyusun atur. Sepenuh daya. IUG yang hampir lumpuh menelan kira-kira USD35 juta untuk proses membaik pulih. Makmal kejuruteraan dan bioperubatan yang telah musnah pasti diberi tempat duduk yang lebih utama. Maka, sistem sumber ilmu ini terpaksa dianak tirikan buat sementara waktu. . Melainkan jika ada yang suka dan rela membantu. Tiada sistem kod elektronik seperti di Malaysia. Segalanya manual. Sekurang-kurangnya buat masa ini.
Umairah mengetuai sekumpulan anak muda dari Malaysia yang secara sukarela menawarkan diri untuk membangunkan sistem sumber ilmu di IUG ini. Kerja mereka tidak kompleks, tidak hebat. Hanya mereka ini darah muda yang beriman dengan sabda baginda ar-Rasul.
“Sebaik-baik daripada kamu, yang bermanfaat untuk orang lain.”
Mereka pegang utuh pada hadis menyedekahkan sendi-sendi di jalan Allah. Mereka ingin memanfaatkan diri menjadi aset umat, bukan liabiliti.
“Achoo!”
Umairah mengesat hujung matanya yang berair. Alergi. Umairah alah pada udara lembap Malaysia. Umairah mengesat lagi hujung matanya. Makin deras, makin lebat. Bercampur baur antara kesedihan meninggalkan IUG dan bimbang rintangan yang menanti di hadapan. Akhirnya, sireh pulang ke gagang. Belut pulang ke lumpur.
Azimat nafi’un lighayriha akan bertebaran di bumi pendekar. Pendekar beriman itulah mujahid. Umairah membayangkan sentuhan-sentuhan yang bakal menghidupkan jiwa anak singa yang telah lama menjadi kijang. Lalu singa-singa ini meneruskan legasi sentuhan keramat warisan ar-Rasul. Ini manfaat terbesar buat umat yang sedang sakit. Bahkan mungkin lebih besar daripada jerih payah merentas sempadan Rafah.
“Satu rijal seribu umat,
darah pahlawan ku genggam azimat,
diriku manfaat dan aset umat,
akan aku hantar lebih ramai pendekar ke sana!”
darah pahlawan ku genggam azimat,
diriku manfaat dan aset umat,
akan aku hantar lebih ramai pendekar ke sana!”
Glosari
Muhajir : Orang yang berhijrah
Habaan mansura : Debu-debu berterbangan
Nafi’un lingairihha : Bermanfaat pada orang lain
Mujahid : Orang yang berjihad
Rijal : Seorang pemuda
Habaan mansura : Debu-debu berterbangan
Nafi’un lingairihha : Bermanfaat pada orang lain
Mujahid : Orang yang berjihad
Rijal : Seorang pemuda